browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Makcik Masak Untuk 50 Orang?

Posted by on January 13, 2010

“Makcik.. Makanan tak cukup, baru 24 orang makan dah habis dah. Kami order untuk 40 orang”, tanya Roy kepada Makcik Bedah menerusi telefon bimbitnya.

“Ha?? Makcik buat untuk 50 orang tau, kenapa boleh tak cukup?”, jawab Makcik Bedah.

Baca seterusnya>>

Malam itu (9.1.2010), kami serumah mengadakan jamuan kecil di rumah sewa kami. Jemputan yang hadir terdiri daripada JPK Zamrud dan kawan-kawan Kenny Rogers. Persiapan jamuan bermula dari sebelah pagi apabila kami ke Tesco untuk membeli barang2 memasak.


Kami hanya menyediakan menu-menu sampingan untuk tetamu. Untuk menu utama kami meminta jasa baik Makcik Bedah untuk menyediakannya disebabkan kami tidak mempunyai peralatan memasak yang mencukupi.

MALAM JAMUAN

“Ambik sorang satu je ye”, Roy meminta jasa baik para jemputan untuk ber’disiplin’ sewaktu mengambil makanan kerana kebiasaannya ramai yang tidak berdisiplin ketika mengambil makanan. Tidak ingat orang di belakang.

Bukannya kedekut atau berhelah. Maklumlah, bukan suatu kebiasan pelajar membuat membuat jamuan untuk rakan2. Ini adalah pengalaman pertama saya tinggal di rumah sewa selepas 5 semester menginap di Kolej Zamrud.

Pertama kali masak sendiri dan buat jamuan untuk kawan-kawan. Pengalaman yang cukup berharga.

“Roy.. Nasi dah habis”, kata seorang tetamu kepada Roy.

Kata-kata itu mengejutkan kami, kami menempah makanan untuk 40 orang, tetapi baru 24++ orang makan, nasinya sudah habis sehingga ke kerak nasi. Pastinya banyak masalah yang berlegar di dalam benak fikiran kami.

Tanpa membuang masa, Fitri dan Roy terus keluar mencari makanan di luar untuk menampung jumlah tetamu yang akan tiba tak lama lagi.

Tiada mampu kami berbuat apa-apa ketika itu, hanya berserah kepada Allah s.w.t untuk memudahkan cara.


Sambil menunggu makanan tambahan tiba. Saya teringat dengan cerita burung Hud-Hud yang ingin menjamu seluruh makhluk ketika zaman Nabi Sulaiman a.s dahulu..

HUD-HUD MENJAMU NABI SULAIMAN A.S DAN TENTERANYA

Pada suatu hari burung Hud-Hud berkata pada Nabi Sulaiman a.s, “Aku bercadang hendak mengundang engkau menghadiri jamuan makan pada suatu hari yang ditentukan”. Nabi Sulaiman a.s berkata “Hanya diriku?”. Hud-Hud menjawab, “Bawalah bersama bala tenteramu.”

Pada hari yang ditetapkan, Nabi Sulaiman a.s bersama bala tenteranya pun berangkat menuju ke jamuan yang diadakan burung Hud-Hud. Apabila Nabi Sulaiman dan bala tenteranya sampai di tempat Hud-Hud, iapun terbang ke udara dan menghilangkan diri buat beberapa ketika.

Kemudian ia datang semula dengan seekor belalang di paruhnya. Belalang itu dimatikan dan terus dilempar ke laut. Setelah itu, iapun berkata kepada Nabi Sulaiman a.s, “Wahai nabi Allah, silakan makan bersama bala tenteramu. Sesiapa yang tidak dapat merasai daging belalang, memadailah dia merasa kuahnya sahaja.” Nabi Sulaiman a.s ketawa dengan gelagat Hud-Hud ini dan dikatakan baginda ceria setiap kali teringat akan penjamuan Hud-Hud itu.

ALLAH MAHA MEMBERI REZEKI (AR-RAZAK)

Kemampuan makhluk untuk memberi makan kepada semua makhluk sangat terbatas. Saya sangat terkesan dengan peristiwa yang berlaku ke atas kami serumah. Kita semua sangat lemah dan sangat miskin.

Allah Maha Kaya dan Maha Memberi Rezeki.

Pernahkah kita berfikir dan merenung bahawa jumlah ikan-ikan di laut tidak pernah berkurang sedikit pun. Walhal setiap hari para nelayan akan menangkap ikan-ikan tersebut untuk dijual di pasar dan menjadi makanan kita sehari-harian? Para nelayan juga sibuk menangkap ikan tanpa menyusahkan diri untuk memberi ikan-ikan itu makan.

Setiap hari juga manusia akan menyembelih ayam dan memakan telurnya dengan jumlah yang sangat banyak. Tetapi jumlah ayam dan telur juga tidak habis-habis.

Begitu juga dengan beras, lembu, kambing, sayuran dan lainya di makan manusia dengan pelbagai resepi masakan namun ternakan dan tanaman itu masih juga tidak pupus.

Memang benar ada manusia yang menjaga dan menternak haiwan-haiwan itu, tetapi tanpa kekuasaan-Nya, manusia tidak akan mendapat manfaatnya. Inilah bukti betapa luasnya khazanah gudang kekayaan Allah s.w.t.

Kita perlu mengambil pengajaran dan bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t.


Peristiwa ini mengingatkan saya tentang lemahnya kita untuk memberi makan kepada orang lain. Jamuan ini juga dapat mengeratkan ukhuwah sesama rakan-rakan yang kami tidak lagi bersama mereka dalam perwakilan. Menjemput tetamu datang ke rumah juga menambahkan rezeki (sabda nabi).

Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”
(Surah Saba : 39)

Terima kasih kepada Roy, Fitri dan Kecek di atas kesungguhan menjayakan jamuan kecil-kecilan kita. Kepada rakan-rakan yang lain yang tidak bersama kami pada malam itu, janganlah bersedih, murah rezeki kita akan buat lagi. InsyaAllah.. Terima kasih juga kepada makcik di atas kesudian menyediakan makanan buat kami semua.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang
13 Januari 2010

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);