Anda Akan Didakwah!!

“Jom pergi dengar ceramah”,  ajak seorang rakan kepada rakannya yang lain.

“Tak nak lah.. Setakat dengar ceramah je nak wat pe. Nak sembahyang? Sembahyang kat rumah pun boleh kan?” jawab rakannya tadi.

Sedih.

Sedih mendengarkan alasan itu. Itulah hebatnya Allah Subhanahu Wataa’la, hanya Dia-lah sahaja yang mampu untuk mengerakkan hati manusia seperti saya dan anda untuk menuju redha-Nya. TETAPI! Hidayah dari Allah SWT bukannya alasan untuk tidak mencari keimanan kepada-Nya.

“Jom kita puasa”, kata seseorang kepada rakan karibnya.

“Hehe.. Hidayah Allah tak sampai lagilah. Tak sampai seru, dah sampai nanti aku puasa la. Jangan risau, nanti aku puasa tiap-tiap hari.. Huhu.. “, jawab rakannya dengan selambernya. Nauzubillah..

Apakah perasaan anda jika mendengar kata-kata seperti itu? Mungkin kemarahan akan menjelma ketika itu kan? Sabarlah dan terus bersabar. Seorang da’ie tidak kenal erti putus asa. Bukan kejayaan yang Allah lihat, tetapi kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa itulah yang menjadi perhatian Allah SWT. Lagi dan lagi berusaha berdakwah..

TAKUT DIDAKWAH?

“Panas.. Panas!! Aku tak boleh dengar lagu-lagu nasyid ni. Aku jadi terbakar nanti!”, kata seorang teman kepada saya suatu ketika dahulu.

Terbakar ke apabila mendengar ayat-ayat Allah, hanya syaitan sahaja yang lari bertempiaran apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT. Mengapa pula apabila mendengar HOT.FM tidak terbakar pula? Haha..  Kita sengaja meletakkan Allah itu jauh dari diri kita, kerana itulah kita sukar mendapatkan-Nya. 

Dakwah adalah satu perkataan yang sangat ditakuti kebiasaannya. Kebanyakan orang akan mentafsirkannya atau menyamakannya dengan gerakan pencegah maksiat. Pernah suatu ketika saya ke pusat bowling dengan memakai kopiah, ramai yang menjauhkan diri kerana takut melihat saya dan takut saya ber’ceramah’ kepada mereka, walhal saya mahu bermain bowling sahaja. Waduh..

Mengikut pengalaman saya, ramai orang melarikan diri apabila sekumpulan pendakwah seperti tabligh datang ke tempat mereka. Bila tiba waktu jemaah melakukan usaha ziarah atau ghash, semua pakat-pakat menyorok masuk dalam rumah dan mendiamkan diri.

Hal ini juga terjadi kepada saya semasa kecil dahulu, sebagai seorang yang ‘berpengalaman’ dalam hal takut didakwah ni, saya ingin membuat satu kesimpulan yang kita sebenarnya jauh dengan suasana dakwah kerana masyarakat kita telah pelik dengan usaha dakwah itu sendiri. Saya melarikan diri kerana saya tidak pernah melihat sekumpulan manusia yang berpakaian jubah putih berjalan beramai-ramai, saya berasa takut bukan kerana takut didakwah, tetapi tidak biasa dengan keadaan itu.

Kata-kata Nabi Muhammad SAW adalah benar iaitu di akhir zaman, sesiapa yang membawa Islam akan diherdik dan dikatakan pelik.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang­ orang yang asing”.
 (Hadis Riwayat Muslim)
Benar. Islam sudah dikira dagang (pelik dan asing). Orang bersolat dikatakan jumud. Orang menutup aurat dikatakan ketinggalan zaman dan tak mengikut fesyen semasa. Itulah yang berlaku sekarang, beruntunglah orang-orang yang ‘pelik’ itu. Masukkan kami ke dalam golongan yang ‘dagang’ itu Ya Allah.. Amin..

Antara lain mengapa kita takut didakwah ialah kita berasa terpaksa dan dipaksa oleh orang yang mendakwah. Pernah suatu ketika semasa saya di sekolah menengah di tingkatan 1, pelajar-pelajar senior akan menganalisis kami setiap minggu, sesiapa yang tidak solat sunat rawatib atau meninggalkan solat sunat itu walau sekali, akan disepak terajang oleh pelajar senior. Akhirnya semua pelajar junior akan mengikut suruhan itu walaupun dalam keadaan terpaksa.

Bagi yang dapat menerimanya, paksaan itu lama kelamaan akan menjadi kerelaan. Bagi yang tidak dapat menerimanya, pastinya hasrat untuk terus menyambung pelajaran di sekolah agama akan dilupakan (saya juga berpindah sekolah tetapi bukan kerana alasan ini, jangan salah faham ye..). Mungkin sebab ini juga menjadi alasan mengapa kita takut didakwah selain sebab keimanan yang nipis di dalam hati.

LAYAKKAH KITA BERDAKWAH?

“Ko pun banyak buat dosa, nak dakwah orang pulak”

“Ko nasihatkan orang, tapi buat jugak”

“Kita bukan ulama, mana boleh cakap hal-hal agama ni”

Kata-kata yang biasa kita dengar dan mungkin juga kita yang menyebutnya. Benar. Kita bukanlah seorang a’lim atau ulama yang mempunyai ilmu yang menggunung dalam bidang agama, kita insan yang dahagakan ilmu agama sebenarnya. Tetapi agama itu nasihat, semua yang kita tuturkan (yang baik) adalah dakwah. Janganlah menyebut soal hukum yang berat-berat, kerana bukan di bawah bidang kuasa kita, hanya sekadar ilmu yang kita tahu dan sebutlah berkenaan akhlak, adab dan hal-hal lain yang simple-simple sahaja (mengikut tahap ilmu).


Bukankah Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa sesiapa yang mengucapkan syahadah, maka dia adalah seorang pendakwah? Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan agama walaupun sepotong ayat. Dakwah orang biasa jangan disamakan dengan pendakwah bertauliah, jika disamakan, maka ramailah yang tidak mahu berdakwah nanti. (tauliah diberikan untuk membendung ajaran sesat).

Dakwah yang paling mudah ialah menunjukkan akhlak yang baik. Insya-Allah semua mampu melakukannya. Tiada alasan untuk tidak berdakwah dan janganlah menyempitkan makna dakwah itu sendiri. Saya dan anda adalah pendakwah dan orang yang didakwah. Kerana ianya proses mengenal TUHAN. Nabi Musa a.s yang mempunyai kelebihan untuk bercakap terus dengan Allah SWT pun ditarbiyah oleh Allah SWT. Ini menunjukkan manusia ini perlu sentiasa didakwah, ditarbiyah dan ditazkirah.

“Allah berfirman “Aku sepertimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku akan bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku di dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk). Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku mendekatinya dengan berlari”
(Hadis Qudsi Riwayat Bukhari)

Walaupun kita tidak mahu berubah, tetapi sekurang-kurangnya tetapkan di dalam hati yang kita mahu ditarbiyah dan mahukan agama. Kerana ianya pintu hidayah kepada kita. Seperti Saidina Umar r.a yang memerangi Islam dan Nabi SAW. akhirnya beliau memeluk Islam kerana hatinya terbuka mahukan agama (kisah beliau ingin melihat Al-Quran dari adiknya).

Saya tidak sempurna, saya juga melakukan banyak kesilapan dan iman saya juga turun dan naik. Bacalah dengan niat untuk mendapat manfaat dan janganlah melihat kepada diri saya yang serba kekurangan ini. Insya-Allah kita berada dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa beringat dan saling memperingati. Dan dakwah cara Nabi SAW adalah cara yang terbaik!!
KITA AKAN DIDAKWAH DAN MENDAKWAH!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

4 thoughts on “Anda Akan Didakwah!!”

  1. Alhamdulillah.. Sama-samalah kita mengambil manfaat.. Kadang2 saya pun lemah dalam hidup ini, lalu saya menulis untuk bagi semangat balik.. Bila lupa dan tak semangat datang lagi, baca balik.. Tq Farisha..

  2. salam…tahniah..best artikel nie…mohon diambil untk risalah BADAN UKHWAH DAKWAH ISLAMIAH kat sekolah…semoga kite dpatt sama2 menegakkan syiar ALLAH di muka bumi nie….

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *