browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Jangan Diberi Ke Pengemis Itu !!

Posted by on March 9, 2010

“Tolong saya encik, saya dah 2 hari tak makan..Saya orang susah encik..” rayu si pengemis di tepi jalan.

Seorang demi seorang yang simpati melihat keadaannya menghulurkan bantuan berupa wang, dan dimasukkan ke dalam mangkuk si pengemis itu.

Masa terus berlalu, apabila petang bertandang, Si Pengemis itupun pulang ke rumahnya. Kebetulan ketika itu, seorang pemuda yang memberi sedekah kepada pengemis itu tadi, ingin melawat rumah rakannya. Betapa terkejutnya pemuda itu apabila mendapati rumah Si Pengemis itu (bersebelahan rumah rakannya) lebih besar dari rumah rakannya sendiri.

Menyesal Si Pemuda memberi sedekah kepada Si Pengemis tadi.

PENGEMIS VS RAKAN PEMUDA ITU

Rakannya seorang petani, dari pagi hingga ke petang membanting tulang mengusahakan tanaman sayurnya di kebun. Orangnya agak susah, dengan menanggung bilangan anak yang ramai, pastinya memberi sedikit kesulitan kepada beliau. Namun dia tetap tabah dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Si Pengemis itu pula hidup dalam keadaan yang selesa. Dari pagi hingga ke petang, kerjanya hanyalah menagih simpati orang ramai di tepi jalan di pekan. Bukannya tidak sihat, tetapi dia telah menjadikan kerjanya sebagai peminta sedekah.

Kisah ini adalah kisah yang benar-benar berlaku yang telah diceritakan oleh seorang sahabat. Pada pendapat anda, siapakah yang lebih layak untuk menerima sedekah? Mari kita umpamakan, jika Si Pengemis memperoleh RM 50 sehari dari hasil meminta sedekahnya, manakala rakan pemuda itu memperoleh RM50 juga, dengan mengusahakan kebunnya, dan membanting keringat untuk mendapatkan duit sebanyak itu. Siapakah yang anda akan bantu dan layak dibantu?

Orang yang berusaha atau orang yang hanya duduk goyang kaki menagih simpati orang?

Ramai yang mengambil peluang di atas keperhatinan masyarakat yang selalu bersedekah. Tidak hairanlah ramai orang yang memilih untuk menagih simpati orang ramai berbanding berusaha sendiri untuk mendapatkan keperluan hidupnya. Belum lagi dikira daripada kes-kes kumpulan yang sengaja mengupah kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya untuk bekerja dengan mereka dengan cara meminta sedekah di tempat awam.

Pengalaman saya berkunjung ke Jakarta telah cukup untuk memberi gambaran terhadap masalah ini. Begitu juga di tempat sendiri. Pengemis terlalu ramai dan sekarang bolehlah dianggap sebagai satu profession kerjaya yang menguntungkan pula. Dengar khabarnya ada yang memperolehi pendapatan sebanyak RM 5000 sebulan dari hasil kutipan sedekah itu. Wallahua’alam.

Saya bukannya menbenci golongan tersebut, mungkin ada juga yang meminta sedekah itu benar-benar orang yang susah, tetapi tindakan itu bukannya satu tindakan yang bijak. Kerajaan telah banyak menyediakan prasarana dan bantuan untuk menolong orang-orang yang susah ini, mintalah bantuan dari sumber-sumber yang telah disediakan.

Dan yang paling dirisaukan ialah sedekah yang kita beri itu tidak memberi manfaat kepada orang lain dan diri kita sendiri!! Mengapa ye?

Mungkin ada yang kurang selesa dengan pendapat ini, hal ini saya utarakan untuk menyedarkan masyarakat tentang fenomena peminta sedekah ini (mengambil kesempatan) dan bukannya untuk menghalang orang  memberi sedekah kepada orang lain. Hakikatnya, sedekah yang ikhlas tetap diterima oleh Allah SWT.

HAKIKAT SEDEKAH
 

Di dalam buku ‘Ajaibnya Sedekah’ karangan Muhammad Muhyidin ada menyebutkan bahawa, sedekah yang diterima sebagai amalan bukan sekadar memberi sesuatu kepada orang lain, tetapi ianya merangkumi niat, cara dan tujuan yang betul.

Tidak seperti membaca Al-Quran yang melibatkan individu sahaja, sedekah ialah amalan yang melibatkan hubungan antara dua pihak iaitu orang yang memberi sedekah dan orang yang menerima sedekah. Apa kaitannya niat, cara dan tujuan yang betul dalam konteks amalan dua hala ini?

Pertama, jika berniat dengan niat yang ingin menunjukkan yang kita ini bersedekah, (niat untuk riyak), maka ianya akan merosakkan pahala sedekah itu sendiri, malah ianya mendatangkan kesan yang tidak baik kepada si pemberi sedekah. Begitu juga kepada orang yang menerima sedekah, perasaan membenci terhadap orang yang riyak akan menyebabkan hatinya tidak tenang (meluat dengan orang sombong). Jadi sedekah itu ‘merosakkan’ kedua-duanya.

Kedua, cara yang tidak sesuai juga boleh merosakkan sedekah itu sendiri. Cara yang tidak sesuai ini merangkumi ‘kepada siapa kita bersedekah’, ‘bagaimana kita bersedekah’, ‘bila dan di mana kita bersedekah’ serta ‘dengan apa yang kita bersedekah’.

Bersedekah kepada orang yang tidak sepatutnya seperti pengemis ‘kaya’ tadi haruslah dihindarkan. Seboleh-bolehnya, carilah rakan-rakan kita yang keadaannya ketika itu sangat memerlukan bantuan, maka sedekah itu menjadi manfaat kepada kedua-dua pihak. Hindarkan juga (dalam konteks sedekah) memberi sesuatu yang kita tak perlukan lagi, seperti memberi baju-baju terpakai dan lusuh kepada orang miskin. Bukannya tidak boleh, tetapi ianya dapat mencacatkan seni sedekah itu sendiri iaitu menunjukkan seperti memberi dengan tidak ikhlas. Memberi sesuatu yang baru dan baik kepada orang lain dapat mengukur keikhlasan seseorang itu (hanya Allah yang tahu hakikatnya).

Ketiga, tujuan tidak banyak beza dari maksud niat. Tetapi niat lebih kepada ‘kenapa aku buat’ dan tujuan pula ‘apa yang aku nak’. Bersedekah dengan tujuan mahu mendapatkan penghargaan dan balasan dari orang yang kita beri sedekah juga akan mengundangkan bahana. Bayangkan jika kita bersedekah dengan tujuan mahu mendapat pujian terima kasih dari orang itu, tetapi orang itu tidak mengucapkan terima kasih kepada kita, mesti kita akan berasa kecil hati kan? Ramai orang yang tak tahu berterima kasih, maka janganlah mengharapkan pujian apabila memberi, lagi menyakitkan hati nanti.

Ali Bin Abi Talib berkata : “Ada golongan yang menyembah Allah kerana mahukan ganjaran, inilah ibadah seorang pedagang. Ada golongan yang menyembah Allah kerana takut, inilah ibadah seorang hamba. Ada satu golongan yang menyembah Allah kerana syukur, inilah ibadah orang yang merdeka”

Erti hidup pada memberi (saifulislam.com), sangat mendalam maksud ayat ini. Ianya membawa maksud setiap apa yang kita lakulan perlulah dalam keadaan memberi, maknanya memberi dengan rasa syukur dan tak mengharapkan balasan dengan apa yang kita berikan. Apabila sedekah kita terhindarkan dari ciri-ciri di atas, maka keajaiban sedekah itu akan datang dengan sendirinya.

AJAIBNYA SEDEKAH

Ali Bin Abi Talib berkata, “Pancinglah rezeki dengan bersedekah.”

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Segeralah bersedekah kerana bala tidak pernah mendahului sedekah,” “Ubatilah penyakitmu dengan bersedekah”, dan “Banyakkan sedekah kerana ia dapat memanjangkan umur.”

Daripada riwayat yang dinyatakan di atas, didapati sedekah ini mempunyai keajaibannya yang tersendiri, iaitu:

  • Sedekah dapat menolak bala ataupun bencana
  • Sedekah dapat menyembuhkan penyakit
  • Sedekah dapat memanjangkan umur
  • Sedekah dapat memperluaskan ataupun menambahkan rezeki

Bagaimana sedekah boleh mendatangkan semua itu? Baiklah, penulis buku “Ajaibnya Sedekah” ada memberi contohnya. Bagaimana sedekah dapat menolak bala? Allah SWT telah berfirman bahawa semua kerosakan yang terjadi di bumi ini adalah disebabkan tangan-tangan manusia itu sendiri. Dengan memberi sedekah, bala itu dapat dialihkan ke tempat lain. Lihatlah sekarang, bala terus menerus mendatang kerana ramai orang yang tidak bersedekah ataupun bersedekah dengan cara yang tidak betul.

Bagaimana sedekah dapat menyembuhkan penyakit? Apabila kita bersedekah dengan hati yang ikhlas, maka hati pun akan menjadi tenteram dan tenang. Itulah kunci penyembuh penyakitnya. Orang yang hatinya dalam keadaan tenang dan tenteram sukar untuk menghidapi apa-apa penyakit. Kerana hati yang resah memberikan kesan yang tidak baik kepada diri kita seperti darah tinggi dan sebagainya.

Bagaimana sedekah dapat memanjangkan umur? Contoh di dalam buku ini menyebut berkenaan dengan musuh. Selalunya, orang yang bersedekah dan berbuat baik akan disukai oleh ramai orang, sangat sedikit orang yang dengki terhadapnya. Jadi, dia akan terhindar dari ugutan bunuh dan khianat orang lain. Bukankah itu juga dapat memanjangkan umur kita?

Bagaimana sedekah dapat menambahkan rezeki? Secara logiknya, sedekah akan mengurangkan apa yang kita ada. Tetapi cuba bayangkan, seorang peniaga memberi sedekah kepada pelanggannya, pastinya pelanggan itu sangat gembira dengan kebaikan peniaga itu. Maka dia akan memberitahu kebaikan peniaga tersebut kepada rakan-rakannya yang lain, secara tidak langsung makin ramai yang datang membeli dari peniaga itu. (salah satu contoh).

Kesimpulannya, sedekah dapat menjaga kemakmuran masyarakat. Dengan bersedekah juga dapat menghubungkan silaturrahmi sesama kita. Saya ingin berkongsi kata-kata nasihat dari Bapak saya, katanya: “Paie.. Walaupun seringgit yang kita ada bukan semuanya milik kita. Allah bagi kita duit tu untuk kita kongsi dengan saudara-saudara kita yang lain. Ingat tu!”.

“Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir benih dan daripada setiap butir, tumbuh pula 100 butir benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah Maha luas kurnia-Nya lagi Maha mengetahui”
(Surah Al-Baqarah : 261)

Sama-samalah kita mengambil pengajaran. Untuk saya, anda dan semuanya. Insya-Allah.. Bersama kita menuju keredhaan-Nya dengan menjadi hamba-Nya yang merdeka. Buku ‘Ajaibnya Sedekah’ karangan Muhammad Muhyidin boleh dibeli dengan harga RM 11.90 sahaja. Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);