Perspektif,  Rencah

KEBERSIHAN TANDAS BERNILAI 30 SEN

[Sumber : nynjbengali.com]

.

Saya bercuti ke Bandung Indonesia 3 tahun yang lalu.

Biasalah, orang yang jarang pergi melancong akan mengalami kejutan budaya apabila berada di tempat lain. Begitu juga saya, kiraan dan nilaian mata wang di Indonesia sedikit memeningkan.

Tidak hairanlah saya terkejut apabila menggunakan tandas (dipanggil kamar kecil jika di Indonesia). Bayaran untuk menggunakan tandas di sana adalah sebanyak Rp500! Mahalnya!

Tunggu, 500 rupiah bersamaan dengan RM0.20 sen (lebih kurang) di Malaysia! Angka yang besar, nilai yang sama. Namun, kebiasaannya di Malaysia, bayaran menggunakan tandas awam adalah sebanyak 30 sen sekali guna. Lebih mahal dari di Indonesia saya kira.

Saya tidak mahu membandingkan tahap kebersihan tandas di Malaysia dan Indonesia kerana saya menggunakan tandas yang bersih dan tidak pula terjumpa tandas yang kotor di sana (mungkin tandas itu khas buat pelancong). Tetapi saya yakin, masalah tandas kotor terjadi di mana-mana kerana sikap manusia yang mencorakannya.

TANDAS AWAM KOTOR?

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, sebanyak 3,000 daripada 5,764 tandas awam adalah kotor. Laporan ini tidaklah mengejutkan, bahkan diakui. Lihatlah tandas-tandas awam yang ada, kebanyakkannya kotor.

Siapakah yang patut dipersalahkan?

Kerajaan? Pengusaha Tandas Awam? Pencuci tandas? Atau pengguna tandas awam itu?

SIKAP MANUSIA SUKAR DIUBAH

Kebersihan tandas bermula dari pengguna yang pertama. Jika pengguna pertama sudah tidak menjaga kebersihan, apatah lagi pengguna yang kedua.

“Alah.. Apa guna bayar 30 sen kalau kita basuh, biarlah tukang cuci tandas yang basuh”, kata seorang pengguna tandas awam.

“Jirus sikit-sikit sudah, bukan orang tahu pun siapa punya.. Hehe..”, kata pengguna seterusnya.

“Aku basuh pun, kalau orang lepas ni masuk kotor jugak tandas ni. Baik tak payah basuh”, kata pengguna yang berfikiran ‘jauh’.

“Tak payah flush, membazir air jer”, kata seorang pengguna yang buat-buat berjimat walhal pemalas.

Jika setiap pengguna tandas awam bersikap seperti di atas, memang masalah tandas kotor ini tak akan selesai sampai bila-bila.

Apa salahnya jika setiap pengguna membersihkan sendiri hasil buangan masing-masing? Kita bukannya lagi seorang bayi yang perlu dibersihkan oleh sang ibu. Sikap manusia memang sukar diubah kan?

TANDAS : TEMPAT IKLAN PERCUMA!

Gambar Hiasan – Sumber : Oh Malaysia

.

“Mencari teman? Hubungi saya 01*-35******”

“Nak Awek cun? Kol saya sekarang..!”

Aduh.. Sedih melihat iklan-iklan yang tak tentu arah ini. Mengikut pengalaman saya, di mana ada tandas awam pasti ada iklan ini, walaupun di tandas masjid!

Ia juga melibatkan sikap manusia, takkan pula pihak pengusaha tandas awam perlu memasang CCTV bagi membendung masalah ini di dalam tandas. Alamatnya kita tak akan guna tandas itu kerana di’skodeng’!

Hargailah kemudahan tandas yang telah disediakan. Walaupun sikap manusia sukar diubah, tetapi sekurang-kurangnya kita telah menjalankan satu khidmat sosial dengan membersihkan tandas yang kita guna. Insya-Allah, di sisi Allah ada ganjarannya.

Jangan biarkan mentaliti kita membunuh tamadun. Apa guna negara berprestasi tinggi jika rakyatnya masih di tahap yang lama?

Adakah bayaran masuk tandas semurah mentaliti penggunanya?

KEBERSIHAN SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.


Comments

comments

Powered by Facebook Comments

11 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge