RAYA : Adakah Tidak Semeriah Dahulu?

Kenangan : Di pagi raya pada tahun 1995

“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar”

Setiap rumah di kampung bergema dengan takbir raya. Kehadiran kumpulan Baraan di rumah menghidupkan suasana malam raya dengan Takbir dan membesarkan Ilahi.

Suasana itu cukup harmoni, disamping kita ghairah membuat persiapan berhari raya, malam itu diselangi pula dengan sunnah Nabi iaitu bertasbih, bertahmid, dan bertakbir kepada Allah tanda kemenangan kita berpuasa selama sebulan.

Mercun pula berdentum di sana sini. Masih teringat lagi, Bapak membeli mercun sehingga penuh bonet keretanya. Puas kami sekeluarga bermain mercun pada malam itu.

Di dalam rumah pula sibuk mengayam ketupat dan memasak kuah kacang untuk santapan di pagi raya, kadang-kadang malam itu juga ketupat dah dibedalnya.

Kad raya bertimbun-timbun sampai dah tak tahu siapa yang menghantarnya. Terlalu banyak!

Sepanjang berhari raya jarang kami sekeluarga lekat di rumah atau rumah sunyi dari kunjungan tetamu. Ada sahaja rumah yang belum diziarahi, inilah masanya berkunjung-kunjungan setelah hampir setahun tidak bertemu.

Kuih raya? Jangan cerita, habis rosak oven di dapur! Pagi raya hanya balang yang tinggal, kuihnya habis diratah sang manusia.

ITU DULU.. KINI..

Kumpulan Baraan dari rumah ke rumah untuk menghidupkan malam raya sudah terkubur. Penangan kepartian yang menguasai masjid sudah mula menjarakkan perhubungan di kalangan penduduk kampung. Akhirnya, orang kampung mula buat hal sendiri dan AJK Masjid syok sendiri di malam raya takbir sorang-sorang di masjid.

Mercun pula sudah diharamkan dek kerana ‘jurutera-jurutera’ yang pakar dalam bidang bom tersalah letup sehingga hilang jari jemari. Yang hairannya, semasa Hari Raya Cina tidak pula kedengaran ada mangsa putus jari! Ke mana silapnya?

Ketupat sudah semakin sedikit. Walaupun masih ramai lagi yang boleh mengayam, tetapi tidak kurang hebatnya dengan ketupat segera yang berlambak di pasaran, mudah dan cepat! Sarung ketupat pun sudah banyak yang dijual di pasar, untung orang yang ambil upah buat sarung ketupat, ramai yang ambil cara mudah dengan membeli sahaja, maklumlah sibuk dengan kerjaya.

Sekarang, saya tak berapa pasti Posmen sibuk ke tidak di musim perayaan ni. Kad raya sudah jarang dihantar melalui pos, sekarang sudah mula menggunakan Facebook, tag sana tag sini. Kaedah yang murah dan mudah tanpa mengeluarkan wang yang banyak. Tapi ada feel ke kalau guna cara online ni? Terpulang pada pendapat masing-masing.

Sewaktu saya menghadiri majlis Screening Raya terbitan Astro, terdapat banyak rancangan-rancangan yang disediakan untuk tatapan penonton di sepanjang raya. Tidak kurang hebatnya stesen TV lain yang turut menghidangkan rancangan menarik. Akibatnya, ramailah orang melekat di depan TV dan dah tak ingat sedara mara yang hendak diziarahi atau yang bertandang ke rumah. Bahaya tu, TV lebih penting daripada berkunjung-kunjungan?

Kuih raya sudah main tunjuk-tunjuk saja sekarang. Dah tak ada masa untuk buat sendiri di rumah walaupun rancangan masakan dah berlambak di TV. Boleh ikut sahaja resepi yang ditunjukkan, tapi apakan daya masanya ngak ada. Alhamdulillah, tahun ini adik saya rajin nak buat kuih, 100% tahun ini tiada kuih tunjuk di rumah kami.

Itulah di antara perubahan yang berlaku di zaman ini berkenaan suasana raya. Saya pasti anda juga merasainya.

Walau bagaimanapun, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin. Taqabballahu Minna Wainkum. Semoga Allah menerima amalan saya dan semua di sepanjang bulan Ramadan yang berlalu pergi.

“Bocah cilik mangan sego,
Sego dipangan karo gulo,
Wes suwi orak ngomong Jowo,
Dino royo njalok ngapuro”

SALAM AIDILFITRI 1433H

REMIND : Amalan sunat yang boleh diamalkan di pagi raya (Klik Sini)

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 3.50am 18 Ogos 2012.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge