browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Adakah Rakyat Terima Kamera AES?

Posted by on October 25, 2012

Kamera AES ini mempunyai kehebatan merakam salahlaku pemandu dengan tepat

Saman ekor atau Speed Trap sudah lama diperkenalkan di Malaysia.

Cuma kamera Speed Trap yang biasa ini dikelolakan oleh PDRM dan bersifat Portable, kejap ada kejap tak ada mengikut jadual operasi yang dijalankan oleh pihak Polis. Kebiasaannya, kita dapat melihat kamera ini selalunya dipegang sendiri oleh pegawai Polis di tepi atau di tengah pembahagi jalan.

Jika ada pun kamera Speed Trap (biasa) yang statik dan 24 jam, hanya beberapa tempat sahaja yang diletakkan kamera tersebut dan jumlah saman yang perlu dibayar selalunya sebanyak RM150 dan boleh lebih murah ketika musim diskaun apabila diberikan oleh PDRM.

Sekarang, Automated Enforcement System diperkenalkan dan menaikkan kemarahan segelintir rakyat. Kamera ini lebih efiisien bagi merakamkan salahlaku pengguna jalan raya seperti melebihi had laju, memotong garisan berkembar dan melanggar lampu isyarat.

Info tentang Kamera AES

Kamera AES ini biasanya dipasang di tepi jalan dan akan merakam salah laku dengan pancaran cahaya (flash) bagi mendapatkan imej yang lebih jelas.

Saya pernah membawa kereta pada waktu malam di kawasan Seremban yang gelap, tiba-tiba flash terpancar di depan mata! Kesemua kenderaan yang melalui jalan itu menekan brek dengan serta merta kerana terkejut dan ada yang hampir melanggar kenderaan lain!

Jelas ia membahayakan pengguna jalan raya dengan flash yang mengejutkan ramai orang. Apa lagi yang orang tidak puas hati dengan AES ini?

TIDAK PUAS HATI

Saya agak keliru, pihak JPJ dan Kementerian Pengangkutan mengatakan bahawa projek AES ini masih dalam tempoh percubaan dan kementerian masih lagi dalam proses mendengar cadangan daripada rakyat.

Masih dalam tempoh percubaan tetapi mengapa saman sudah dikeluarkan? Jumlah kompaun yang harus dibayar juga agak tinggi iaitu sebanyak RM 300 dan tidak boleh dikurangkan. Bayangkan jika seorang pengguna terkena 3 kali perangkap AES sehari, tidakkah sehari mereka perlu membayar sebanyak RM900?

Rakan saya telah menghubungi pihak AES bagi menanyakan tentang pembayaran saman, pihak AES memberitahu bahawa jumlah saman yang perlu dibayar akan digandakan sebanyak RM 800 jika pesalah tidak melangsaikan saman sebelum tarikh akhir tempoh pembayaran saman. Tindakan ini seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga.

Tempat yang diletakkan kamera ini juga agak tidak sesuai, iaitu di tempat 70, 80, 90 KM/J dan di kawasan Lebuhraya juga diletakkan kamera tersebut. Saya agak pelik, mengapa lebuhraya yang begitu cantik jalannya dan tidak ada sebarang bahaya diletakkan kamera itu? Tidakkah itu satu penganiayaan? Sudahlah perlu membayar Tol, saman pula yang kita dapat.

KELAJUAN ITU MEMBUNUH?

Saya bekerja sebagai pengurus artis, kerja saya memerlukan saya berkelana ke serata tempat di Malaysia dan tidak dapat mengelak daripada menggunakan Lebuhraya.

Satu ketika saya bermusafir ke Utara Tanah Air dan bertolak daripada Kuala Lumpur. Oleh kerana peraturan syarikat tidak membenarkan Talent membawa kenderaan, maka hanya saya seorang yang akan memandu daripada Kuala Lumpur ke Bukit Kayu Hitam.

Agak sukar bagi saya untuk mengawal pedal minyak bagi mengekalkan had laju yang ditetapkan. Jika terlebih had laju pun hanya sekitar 110 ke 120 KM/J sahaja. Kadang-kadang kita memandu di tengah malam, jalan raya pula begitu selesa, dan tidak banyak kenderaan ketika itu, tidak mengapa bagi saya jika memandu laju sedikit untuk segera sampai untuk berehat awal di destinasi disamping mengekalkan pemanduan dengan cara yang selamat.

Adalah satu kebodohan untuk memandu perlahan dengan tiada pemandu lain di atas jalan raya, jalan yang selesa dan perjalanan pula masih jauh.

Lokasi Kamera AES Fasa 1

Oleh kerana kamera AES yang masih dalam percubaan itulah, saya telah disaman di Taiping dengan had laju yang malu untuk disebut, iaitu melebihi 1KM/J sahaja! Melebihi 1Km/J sudah perlu membayar RM 300? Lebih baik saya membawa 160 KM/J! Adakah berbaloi dengan gaji sehari hanya RM 100 dan duit BR1M RM 250 yang masih belum diperolehi?

Bagi saya, pihak AES dan JPJ perlu mengkaji semula lokasi kamera dan had laju Malaysia yang sedia ada. Dengan kualiti jalan raya yang semakin meningkat, bagi saya tidak lagi relevan untuk meletakkan 110 KM/J untuk Lebuhraya. Bagi jalan bandaran, kerajaan tidak perlu risau jika pemandu memandu laju kerana pemandu memang sedia perlahan kerana kesesakan lalu lintas.

Saya juga difahamkan, kamera perangkap had laju tidak dapat merakamkan kereta yang memandu melebihi 160KM/J, benarkah begitu? Jika benar, maka beruntunglah orang yang mempunyai kereta berkuasa tinggi dan tertekanlah pemandu kereta yang biasa-biasa sahaja. Amboi!

SINGAPURA DAN SALAHLAKU YANG HARUS DIREKODKAN

AES sudah lama dilaksanakan di Singapura. Kesannya, rakyat Singapura menggeruni kamera yang dipasang di seluruh jalan raya mereka. Buktinya, mereka akan memandu selaju-lajunya apabila memasuki wilayah Malaysia. Di Singapura kecut perut, di Malaysia pula dialah hero!

(Kisah ini pernah saya nukilkan di dalam artikel saya sewaktu melawat Singapura dahulu)

Penurunan kadar kesalahan di sana ternyata berkesan dengan tindakan yang tegas dikenakan kepada pesalah undang-undang di negara tersebut. Rakyatnya tidak memandu laju dan pastinya mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Kita yang masuk ke negara mereka pun akan turut merasai betapa ketat dan efisiennya pelaksanaan kamera AES di sana.

Itu di negara Singapura yang negaranya kecil berbanding di Malaysia. Bawa laju di Singapura pun tiada guna kerana kawasan mereka tidaklah begitu jauh. Di Malaysia lain, banyak jalan yang jauh dan kita mengejar masa untuk sampai ke satu-satu tempat.

Formula 1 dipandu melebihi 300 KM/J – Gambar Hiasan

Bagi saya, kelajuan bukanlah satu perkara yang benar-benar menjadi punca berlakunya kemalangan. Tetapi punca-punca utama berlakunya kemalangan ialah sikap pemandu yang memotong barisan, melanggar lampu isyarat, memandu di laluan kecemasan, menukar laluan tanpa isyarat dan sebagainya.

Kesalahan inilah yang lebih patut disaman dan dititikberatkan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Usah mengambil kesempatan menggunakan undang-undang had laju JPJ untuk mengambil keuntungan daripada rakyat! Pemandu memandu laju macam mana pun tetapi memandu dalam keadaan selamat tidak ada masalah.

Bagaimana pemandu F1 tidak kemalangan sedangkan mereka membawa kereta melebihi 300 KM/J? Itulah yang saya katakan tadi, memandu laju dengan selamat tidak ada masalah, cuma pemandu lain yang bermasalah membuatkan kemalangan berlaku.

APA YANG SAYA CADANGKAN KEPADA KERAJAAN

Saya ingin memberi cadangan agar pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran atau extra Speed Limit sebelum mengenakan saman ke atas pemandu. Contoh bagi had laju 90 KM/J, pemandu hanya dikenakan saman apabila melebihi 110KM/J. Manakala di had laju 110KM/J, pemandu hanya dikenakan saman selepas melebihi 130 KM/J.

Saya juga memberi cadangan kepada pihak AES agar mengkaji semula kawasan-kawasan yang dipasang dengan kamera agar lebih sesuai. Saya pernah mendengar keluhan rakan yang kecemasan mahu ke Hospital Serdang, dalam perjalanan menghala ke Hospital itu dipasangnya kamera AES, orang yang kecemasan pasti memandu laju dan akhirnya akan disaman. Sudahlah sakit nak ke hospital, disaman pula.

Penduduk meminta JPJ mengkaji semula lokasi AES di laluan ke Hospital Serdang

Seterusnya, kadang saman yang dikenakan juga harus relevan dengan kesalahan yang dilakukan. Kita bukan termasuk dalam OPS SIKAP yang mengenakan bayaran maksimum RM 300, mengapa pula guna AES kena bayar saman maksimum? Saman itu nak guna untuk bayar harga kamera itukah?

Saya hanya rakyat marhaen yang tiada suara apa-apa. Tetapi saya memohon kepada pihak yang bertanggungjawab agar mendengar pendapat dan keluhan rakyat sebelum meluluskan apa-apa tindakan. Apa guna kita ada Dewan Rakyat untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan kebajikan rakyat?

Hari ini sudah ada kamera AES yang dilanggar secara sengaja oleh pengguna jalan raya, mungkin akan ada lagi yang dilanggar esok lusa. Bertindak sebelum terlambat. Saya amat menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, tetapi kerajaan perlu mendengar juga keluhan rakyat.

Walau bagaimanapun, saya juga memuji langkah yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pemanduan yang perlahan dan berhemah sangat penting untuk mengelakkan dari berlakunya kemalangan. Bagaimana mahu membuatkan pemandu berhati-hati di kawasan kemalangan? Caranya adalah dengan memasang kamera bagi memperlihatkan kesalahan sesiapa sahaja yang bersalah.

Saya percaya kenyataan yang membenarkan pemandu menggunakan GPS untuk mengesan kamera dan papan tanda amaran yang akan dipasang secara berperingkat sebenarnya menunjukkan kerajaan sudah mendengar keluhan rakyat.

Apa yang kerajaan mahukan ialah pemandu memandu dengan baik di kawasan kemalangan dan bagi sesiapa yang masih melanggar peraturan lalu lintas memang diri sendiri yang mencari nahas, signboard dah ada masih mahu laju lagi?

Insya-Allah, lama kelamaan rakyat akan faham mengapa kerajaan berbuat sedemikian dan kerajaan juga harus menimbang pandangan rakyat dalam isu ini.

Apa yang anda akan buat jika anda nampak Malaikat sedang mencatit amalan anda?

NKRA KERAJAAN BARISAN NASIONAL: MENGURANGKAN JENAYAH

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 25 Oktober 2012.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);