browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

REVIEW : Hantu Kapcai

Posted by on October 1, 2012

Filem Rempit yang lain dari yang lain

Filem ini juga saya tonton secara tidak dirancang. Malam itu mak dan adik-adik saya mengajak untuk menonton filem ini. Kebetulan petang itu saya dengar di radio ada yang kata filem ini akan menyebabkan anda tidak kering gusi sampai di akhir filem.

Betulkah boleh buat orang ketawa?

Saya, adik dan mak pergi ke panggung wayang tengok HANTU KAPCAI!

SINOPSIS FILEM HANTU KAPCAI

Filem sulung arahan Ghaz Abu Bakar ini mengisahkan Ajib, seorang mat rempit yang meninggal dunia selepas terlibat dengan lumba haram. Dia menjadi roh yang terperangkap di antara dunia hidup dan mati. Bagi meneruskan ‘kehidupan’, dia perlu menyelesaikan masalah dengan keluarganya. Namun dia menyedari bahawa dia tidak berdaya untuk melakukan apa sahaja, sehinggalah dia sedar bahawa dirinya boleh dilihat oleh Ibrahim.

Klasifikasi: 18
Genre: Komedi / Seram
Tarikh Tayangan: 27 September 2012
Pengedar: UNITED STUDIOS
Pengarah: Ghaz Abu Bakar
Pelakon: Zizan Razak, Fizz Fairuz, Remy Ishak, Neelofa

ULASAN SAYA TENTANG FILEM INI

Walaupun nama filem ini ada perkataan “HANTU” tetapi sebenarnya filem ini bukanlah filem yang menyeramkan. Lihat sahaja pelakonnya sahaja kita sudah tidak seram!

Filem kita di Malaysia ini masih belum keluar daripada kepompong kelompok Mat Rempit. Latar cerita seperti filem KL Menjerit dan Hantu Bonceng yang mengangkat Mat Rempit dalam filem menyebabkan filem Hantu Kapcai ini nampak klise daripada filem-filem lain.

Barisan Pelakon Filem Hantu Kapcai

Tunggu, walaupun latarnya nampak sama iaitu berkisar tentang Mat Rempit, tetapi saya berani katakan filem Hantu Kapcai ini adalah lain daripada yang lain. Yang lain itu adalah jalan ceritanya yang menarik.

Filem ini adalah filem komedi pertama pengarah filem Ghaz Abu Bakar. Apa yang saya perhatikan gaya bahasa dan cara humor dalam filem ini nampak segar dengan idea-idea yang baru.

Plotnya nampak tersusun dan nampak pengarah Ghaz Abu Bakar begitu rajin dengan hasil kerjanya menggunakan CGI.

APA YANG MENARIK?

1. Ajib Sebagai Hantu
Apa yang menarik dalam filem ini adalah watak Ajib (Zizan) yang dijadikan hantu. Selepas mati di atas jalan raya akibat terpijak kulit pisang. Ajib ‘diberi’ peluang untuk menjadi hantu dan hanya Ibrahim (Fizz Fairuz) sahaja yang nampak Hantu Ajib.

Watak Ibrahim dan Ajib sangat melucukan dan dianggap gila

Tugas Ibrahim ialah menyampaikan berita kepada adik Ajib iaitu Akim (Hairulazreen) untuk menyelesaikan masalah dan membalas dendam kepada Tiger (Remy Ishak) yang telah main kotor dalam perlumbaan.

Tugas Akim juga ialah melangsaikan hutang Ajib yang bertimbun dan menuntut bela di atas kematian Ajib. Watak Akim nampak lembut dan lucu tetapi apabila dicabar oleh Tiger, nampak tegas dan bersungguh-sungguh.

2. Imam Muda?
Antara lain yang menarik minat saya ialah Ibrahim yang berubah daripada seorang Mat Rempit kepada ‘Ustaz’ yang nak masuk program IMAM MUDA. Saya yang terlibat secara langsung dengan Imam Muda tersengeh apabila Ibrahim beria-ria sebut undinya dalam Imam Muda.

Kalau dia masuk Imam Muda dulu, mungkin jumpa saya untuk ditemuduga!

3. Pemilihan Pelakon
Pelakon yang dipilih Ghaz Abu Bakar dilihat sangat bertepatan dengan watak yang diberi. Apa yang memeranjatkan, Remy Ishak dapat melakonkan watak seorang samseng dengan baik. Tidak ketinggalan juga dengan Izzue Islam (Greng) yang bajet samseng tetapi lucu.

Terpikat pula dengan Neelofa yang bertudung. Huhu!!

Neelofa juga sangat cantik dan memang sesuai dengan gadis desa yang anggun! Cuma watak ayah Akim dan Ajib (Sabri Yunus) yang macam tak masuk dengan wajah anak-anaknya. Tapi tak mengapa beliau hanya pelakon pembantu sahaja dan rupa-rupanya bapaknya adalah juara rempit juga!

4. Elemen Akidah
Di awal filem ini, penerbit sudah memaklumkan bahawa filem ini agak bertentangan dengan prinsip akidah Islam. Di mana tiada roh yang mampu tinggal di dunia walau pun sudah mati.

Watak Ajib dan babak terakhir filem ini di mana Ajib dan Bapaknya di alam kayangan (syurga) menunjukkan sedikit percanggahan dalam agama kita. Ianya seperti ala-ala filem Hollywood zaman Yunani. Oleh kerana itulah, filem ini diberi klasifikasi 18 oleh Lembaga Penapisan Filem.

KESIMPULAN

Jika anda menonton filem ini, Insya-Allah anda tidak akan kering gusi dengan lawak-lawaknya yang bersahaja dan tersusun. Filem ini adalah filem rempit lain dari yang lain dan mempunyai jalan cerita yang kemas dan mudah untuk difahami.

Tahniah buat Pengarah (Ghaz Abu Bakar), penerbit UNITED STUDIOS, para pelakon di atas kejayaan filem ini. Saya memberi 8/10 untuk filem ini.

Terima Kasih.

NOTA : KE ARAH GENERASI BEBAS LUMBA HARAM!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
53100 Setapak, 1 Oktober 2012.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);