browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Persepsi, Debat & Media

Posted by on November 4, 2012

Calon Presiden US : Mitt Romney & Barack Obama sedang berdebat

“Aku tengok Mitt Romney boleh menang Pemilihan Presiden US!”, kata rakan saya dengan yakin.

“Kenapa pula?”, saya bertanya.

“Sebab gaya bercakap Romney lagi bagus daripada Obama”, jawab beliau.

“Tahu ke apa yang Romney dan Obama nak perjuangkan? Faham ke apa yang dia cakap?”, saya bertanya lagi.

“Aku tengok siapa yang hebat bercakap saja, apa yang nak dibawa tu tak payah ambil kira. Yang penting Amerika perlukan seorang pemimpin yang hebat berdebat. Aku rasa Malaysia pun kena ada debat juga macam ni. Anwar lawan Najib. Mesti Anwar menang punyalah!”, jawab rakan saya itu dan sempat pula memberi pendapat.

Tahukah dia bahawa Obama mahu membawa pulang tentera AS di luar negara dan menamatkan perang di Iraq, manakala Romney mahu meneruskan tekanan kepada Iraq dengan menghantar lagi askar ke sana? Jangan menilai melalui gaya bercakap semata-mata tanpa melihat mesejnya. Itu di Amerika, sama ada Republikan atau Demokrat yang menang tetap menjadi proksi kepada Yahudi dan Israel, itu tidak perlu lagi diperdebatkan.

PERSEPSI

Jika kebanyakkan rakyat Malaysia hanya memilih pemimpinnya melalui kehebatan bercakap semata-mata (lihat sahaja persepsi kepada gaya bercakap calon Presiden US itu tadi) saya kira kita belum cukup matang dalam berpolitik.

Bayangkan jika Debat diadakan hanya untuk melihat kekuatan pemimpin kita bercakap dan memburukkan pihak parti lawan, eloklah Debat itu dimasukkan ke dalam tong sampah sahaja! Bagi saya mengadakan debat lebih membawa keburukan daripada kebaikkan jika perkara ini terus berlaku.

Memang tidak dapat dinafikan debat memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak untuk menyampaikan mesej, tetapi tidak ramai yang dapat menerima mesej itu melalui mata hati yang terbuka. Lihat sahajalah di Parlimen sendiri, ada ahli Parlimen yang seperti monyet di dalam sarkas. Maaf cakap!

Sekarang sudah banyak forum-forum perbincangan isu-isu semasa yang melibatkan kedua-dua pihak dan dibincangkan secara harmoni. Tahniah untuk itu.

PEMBANGKANG ADA KELEBIHAN

Menjadi pembangkang banyak kelebihan. Di masa pihak kerajaan banyak menghabiskan masa menguruskan negara, pihak pembangkang pula sibuk mengasah bakat berpidato setiap malam di pentas politik. Al-Maklum mereka tidak ada tanggungjawab untuk menguruskan negara, tetapi hanya mencari dan menunggu masa kerajaan melakukan kesalahan.

Bercakap tentang kesalahan orang lain adalah mudah. Tetapi kadang kala membangkitkan isu-isu tertentu akan memberi satu perubahan yang baik kepada rakyat, dengan syarat pemimpin pembangkang harus ikhlas dalam perjuangan. Jangan kata orang lain kroni, tetapi apabila mereka pula diberi tanggungjawab, mereka juga kroni seperti kerajaan dulu. Kata peribahasa “Paku Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Dia Yang Lebih”.

Kuasa PERSEPSI sangat hebat. Manusia akan mendengar kata apabila berpersepsi baik kepada seseorang. Bayangkan seorang yang telah dicop sebagai penipu dan semua orang mempercayai dakwaan itu, siapakah yang akan mempercayai kata-kata si “Penipu” itu?

Dalam konteks politik Malaysia, pembangkang sudah menanam kebencian di hati rakyat bagi menjatuhkan kerajaan semenjak sekian lama. Semua yang buruk berlaku adalah SALAH UMNO, sehinggakan kucing hilang pun disalahkan UMNO.

Saya pernah mendengar kata-kata seorang yang terjatuh akibat tersepak batu, perkara pertama yang keluar daripada mulutnya ialah “Celaka betul, ini kerja UMNO-lah letak batu kat sini”. Tidak pula menyebut “Innalillah” sebagai tanda terkena musibah.

Persepsi juga boleh dikaitkan dengan belas kasihan. Lihat sahaja gambar Anwar Ibrahim yang lembam biji matanya yang didakwa ditumbuk oleh Ketua Polis Negara telah menyebabkan ramai orang kesian dan berjuang mempertahankannya.

Skandal mata lebam

Walau pun sudah didedahkan video lakonan beliau di penjara, tetapi ramai orang tetap menyokongnya. Kerana apa? Kerana persepsi “BELIAU DIANIAYA” itulah yang menyebabkan orang percaya. Ditambah pula dengan kehebatan pidato beliau yang sangat hebat menyebabkan lebih ramai orang terpengaruh.

Contoh juga boleh diberikan dalam kes video lucah Anwar Ibrahim dengan China Doll, semua ahli partinya menolak dengan sekeras-kerasnya. Hukum Qazaf yang memerlukan 4 orang saksi, tidak boleh bersaksikan kamera dan sebagainya dikeluarkan sebagai pendinding diri.

Bayangkan jika video itu melibatkan Datuk Seri Najib, agak-agak kita apa yang mereka (pembangkang) akan lakukan? Lihatlah kes skandal Chua Soi Lek yang mengadakan hubungan seks dengan rakannya, habis CD-CD video tersebut diedarkan oleh orang-orang pembangkang sendiri.

Oh! Saya tidak mengatakan orang di dalam video itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuma saya mahu berkata tentang persepsi. Bagaimana pembangkang bertindak jika terkena kepada batang hidung sendiri dan bagaimana pula mereka bertindak jika terkena kepada lawan.

Itulah Persepsi. Bagi saya, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan dan didakwa, biarkan kepada mahkamah yang menentukan hukumannya. Jika salah tetap salah, jangan mempertahankan perkara yang tidak benar. Seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang didakwa atas kesalahan rasuah dan sebagainya, saya lihat orang UMNO tidak menegakkan benang yang basah. Sekali lagi, yang salah tetap bersalah!

MEDIA

Soal media juga menarik minat saya. Dari dulu saya mendengar Utusan Malaysia, Buletin Utama dan RTM adalah alat kerajaan, sehingga ada yang mengatakan Utusan Malaysia sebagai Utusan Meloya.

Media satu medium penting dalam politik – Gambar Hiasan

Selepas itu, timbul pula media-media alternatif seperti Malaysia Kini dan Malaysian Insider yang dikatakan sebagai media bebas. Kewujudan media ini dikatakan sebagai media yang seimbang melaporkan tentang hal-hal semasa.

Apabila diperhatikan dan timbul pula dakwaan bahawa media-media ini mendapat dana Yahudi bagi meneruskan operasi, sudah nampak bibit-bibit pembangkang di dalam media tersebut. (Opss! Sekali lagi saya tidak mahu terus mengatakan Malaysia Kini mendapat dana Yahudi secara total, biarkan pihak berkuasa dan mahkamah yang menentukannya).

Seperti kata seorang wartawan, Johardy Ibrahim : “Jika anda hendak membaca Malaysia Kini, boleh. Tetapi jangan kata mereka media bebas, tetapi katalah OPPOSITION”.

Saya juga banyak melihat blog-blog kepartian yang mengeluarkan gambar-gambar super-imposed yang menjatuhkan maruah pemimpin lawan. Perkara ini tidak kiralah dari pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang. Bagi saya, sarang tebuan kalau tidak dijolok manakan tebuan hendak menyerang kita.

Sejak dari kecil lagi saya sudah memerhatikan pihak-pihak pembangkang lebih awal membakar api kemarahan dan memburuk-burukkan kerajaan seperti kartunis Zunar dan sebagainya. Oleh kerana itulah, timbul pula blog-blog dan kartunis yang berpihak kepada kerajaan yang melawan balik apa yang dibuat oleh puak pembangkang.

Adatnya, apabila orang memburuk-burukkan kita pastinya kita akan berasa marah bukan?

Pihak pembangkang mengadakan demonstrasi LYNAS di Kuantan dan mendesak agar kerajaan membatalkan projek tersebut yang didakwa membawa kesan yang buruk kepada rakyat. Sedangkan ahli Parlimen PAS sendiri (YB Dr. Che Rosli) sebagai pakar nukleur sendiri mengatakan LYNAS adalah selamat. Takkan YB PAS kena bayar dengan UMNO untuk cakap LYNAS selamat, apakah beliau tiada kredibiliti?

Saya berasa hairan mengapa pembangkang marah apabila sudah ada dari pihak kerajaan yang sudah berani menentang mereka. Contohnya pembangkang mengatakan BN memutarbelitkan isu air di Selangor dengan mengumpulkan rakyat yang mendesak kerajaan negeri membenarkan projek LANGAT 2, sedangkan pakar-pakar air sudah mengatakan projek itu perlu diteruskan bagi membekalkan air yang cukup kepada rakyat Selangor.

Melalui kedua-dua kes ini, dapat dilihat permainan persepsi diambil kira. Pembangkang sudah merasakan bahawa mereka sudah hebat dengan sokongan rakyat yang kuat. Kekuatan persepsi yang berpengaruh untuk media mereka menyebabkan mereka boleh membuat apa sahaja bagi menjatuhkan kerajaan walaupun menegakkan benang yang basah.

MAAFKAN DIRIKU

Maafkan saya apabila menulis artikel ini. Saya hanya menulis dengan apa yang saya lihat. Jika saya menulis seperti ini, bukanlah saya buta dengan salah laku yang dibuat oleh pemimpin kerajaan. Saya tidak buta dan perkara ini perlu ditegah untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya.

Ramai yang telah menulis untuk menegur kerajaan, tetapi saya yang menulis untuk menegur pembangkang mungkin tiada kesannya. Coretan saya hanya kecil dari seorang kecil bernama rakyat. Kadang-kadang kita lupa dengan diri sendiri selepas banyak berkata tentang orang lain.

Dalam buku Politik Baru karya Datuk Saifuddin Abdulllah, governas baru yang bebas daripada politik cari makan dan politik caci mencaci perlu dibentuk. Jika kita ‘bersih’ daripada sifat-sifat buruk itu, sangat bagus untuk kita mula berdebat dan membincangkan hala tuju negara secara terbuka.

Jika persepsi masih menguasai, mana mungkin Buletin Utama dalam dibersihkan dari kerajaan jika Pakatan Rakyat menguasai kerajaan? 2 kali 5, 5 kali 2, jawapannya 10.

Sama sahaja.

UTUSAN MELOYA VS HARAKAH MERAKAH?

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 4 November 2012.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);