browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Ulama, Pengikut & Ketaksuban

Posted by on December 12, 2012

Ulama’ pewaris Nabi, mereka perlu kita hormati – Gambar Hiasan

Saya pernah mengajak rakan saya untuk pergi mendengar majlis ilmu yang akan disampaikan oleh Ustaz Kazim Elias.

Katanya, “Tak mau la Ustaz Kazim, dia kritik PAS. Aku dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus saja sebab dia orang PAS”.

Saya menggelengkan kepala. Mengapa masyarakat kita terlalu taksub dengan seseorang. Kita telah dihidangkan dengan situasi ketaksuban yang tinggi dalam kalangan ahli jemaah dan perkara ini menjadi barah di kalangan kita seperti yang berlaku kepada Jemaah Al Arqam.

Tidak dapat dinafikan setiap daripada kita mempunyai individu khususnya pendakwah yang kita sukai. Saya secara peribadi amat meminati dan selesa dengan gaya ceramah Ustaz Kazim Elias. Namun, di sebalik ‘meminati’ itu kita tidak seharusnya begitu taksub dengan pendakwah tersebut sehingga membenci pendakwah yang lain.

Saya juga secara peribadi kurang minat dengan ceramah Ustaz Azhar Idrus, bukan atas sifat beliau orang PAS atau apa yang diajarnya itu salah, tetapi dari segi keselesaan. Tidak dinafikan, Ustaz Azhar Idrus mempunyai ramai peminat dan gaya ceramahnya yang lucu memberi satu bentuk ‘hiburan’ baru kepada para pemuda dalam mencari ilmu.

Apabila saya bercakap seperti ini bukan bermakna saya benci dengan Ustaz Azhar Idrus dan beliau harus dihormati sebagai seorang yang a’lim. (Semoga Allah membebaskan saya dengan dosa mencerca para ilmuwan Islam).

Kita berhak untuk meminati orang itu dan orang ini, kerana sifatnya manusia ada kegemaran dan keselesaan. Tetapi jangan kita terlalu taksub dan terus melabel orang dengan gelaran yang buruk jika ada pendakwah lain yang tidak sependapat dengan pendakwah yang kita minati itu.

Sejarah telah membuktikan bahawa terlalu banyak KHILAF di kalangan para ulama. Perkara ini tidak terlepas juga kepada Ulama’ terulung seperti Ulama’ 4 mazhab kerana masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri.

Contohnya, mazhab Syafie meletakkan tangan di pusat sewaktu solat. Manakala mazhab lain ada yang letak tangan di dada, di bawah pusat dan sebagainya. Adakah kita boleh mengatakan bahawa mazhab-mazhab yang lain salah dan mazhab Syafie sahaja yang betul?

Imam Asy-Syafie Rahimahullah pernah berwasiat :

Wasiat para imam maz-hab ini adalah benar akan tetapi perlaksana-annya tidaklah semudah yang disangkakan. Sese-orang itu tidak boleh menghukum imam maz-hab sebagai silap sema-ta-mata kerana satu atau dua hadis sahih yang baru ditemuinya.

Apabila kamu dapati di dalam bukuku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka berpeganglah kepada Hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau tuliskan). SUMBER

Teliti juga apa yang diwasiatkan oleh Imam Malik Rahimahullah :

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah.

Para ulama’ 4 mazhab tidak pernah menyalahkan di antara satu sama lain malah menghormati setiap pandangan masing-masing kerana setiap hukum yang difatwakan didukung dengan dalil-dalil yang sahih. Para Imam juga jauh sekali menyuruh para pengikutnya agar taksub dan menyalahkan mazhab lain.

HINDARKAN DARI ULAMA’ BERCAKARAN

Jika orang awam berdebat dan bercakaran sesama sendiri itu dikira biasa. Tetapi apabila para ilmuwan bercakaran sesama sendiri itu sudah merunsingkan saya.

Ketidakpuashatian yang terserah menerusi Twitter atau media baru boleh mengeruhkan keadaan kerana ianya boleh mengelirukan orang awam seperti kita.

Contohnya baru-baru ini ada seorang bekas mufti telah mempertikaikan kenyataan seorang Ilmuwan Muda UMNO dalam soal Palestin. Selepas itu Ilmuwan Muda UMNO ini telah membuat satu sesi penjelasan (ceramah) untuk menerangkan tentang kenyataan sebenar beliau kepada umum.

Seperti yang kita fahami, setiap daripada ulama atau orang alim mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam satu-satu perkara yang dibincangkan. Bagi saya jika berlaku salah faham, para ulama perlu berjumpa dan berbincang secara harmoni bagi mendapatkan kepastian.

Jika ada kesalahan yang dilakukan oleh seseorang ulama’ itu, baiklah kiranya jika ada ulama’ lain yang menegur kesalahan itu dengan cara yang berhikmah dan bukannya secara terbuka.

Hujjah dipatahkan dengan hujjah, jika tidak dapat menjawab hujjah usah melabel seseorang – Gambar Hiasan

Siapalah saya untuk menegur ulama yang mempunyai ilmu yang tinggi. Tetapi saya risau dengan keadaan ketaksuban yang tinggi sebenarnya.

Ironinya, setiap ulama mempunyai pengikutnya. Lebih-lebih lagi jika ilmuwan itu dikaitkan dengan politik. Bayangkan dan ternyata kes ini (teguran secara terbuka) telah menyebabkan para pengikut keliru dan menyalahkan di antara satu sama lain.

Para pengikut kebiasaannya akan menyokong ulama di pihak mereka khususnya bagi pendokong parti. Apabila emosi sudah menguasai diri, hilang sudah hujjah-hujjah yang diberikan dan permusuhan semakin membara di kalangan umat Islam.

Nasihat untuk kita bersama, ketaksuban boleh membutakan ilmu. Dalam perbincangan sesama ulama’ prinsip hujjah dipatahkan dengan hujjah perlu dititikberatkan. Usah kita melabel seseorang ulama’ dengan ulama’ jahat, ulama’ fulus, dan sebagainya. Jangan jadi seperti Arab Jahiliah yang mengelar Nabi sebagai ahli sihir dan penipu apabila tidak dapat membalas hujjah yang Nabi Muhammad utarakan kepada mereka.

Tapi sayang itulah yang selalu berlaku di zaman ini. Ketaksuban meroboh kehormatan sesama sendiri dan akhirnya Islam tidak bersatu dan rahmat perpaduan itu tidak turun kepada kita. Nauzubillah.

Semoga Allah memberi rahmat kepada para ulama’ dan kita pula dapat memuliakan mereka walaupun bukan di pihak kita.

Walallahua’lam.

HUJAH DIPATAHKAN DENGAN HUJAH

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 12 Disember 2012.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);