browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Aku Menulis Tanpa Segan

Posted by on January 30, 2013
Penulisan adalah wakil untuk mempersembahkan pendapat - Gambar Hiasan

Penulisan adalah wakil untuk mempersembahkan pendapat – Gambar Hiasan

Kata orang, nak menulis dengan baik kita seharusnya banyak membaca.

Membaca itu jambatan ilmu, dan ilmu itu datangnya dari banyak cara. Pembelajaran secara formal atau tidak formal, pengalaman, ilham dan sebagainya. Tetapi pokoknya, ilmu itu harus dicari dan tidak hanya tunggu bulan jatuh ke riba.

Zaman dahulu, penulis hanya terdiri daripada orang-orang berpengaruh, wartawan dan orang berpendidikan. Ruangannya juga agak terhad, sebagai contoh Tun Dr. Mahathir mula menjadi penulis ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, Singapura. Beliau beruntung kerana ketika itu tidak ada blog dan tidak banyak surat khabar yang diterbitkan, tetapi tulisan Tun berjaya diterbitkan dan dibaca oleh ramai orang dengan nama pena CHE DET.

Jika disoroti kembali pengalaman penulis-penulis yang awal di Malaysia, mereka menempuh banyak onak dan duri. Ada yang menulis sehingga dimasukkan ke dalam ISA seperti yang berlaku kepada Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas Ketua Pengarang NSTP/bekas Timbalan Menteri) kerana ketegasan beliau dalam memberikan pendapat dalam penulisan.

Contoh penulis yang lain juga seperti Subky Latif yang pernah saya temui ketika membuat liputan tentang anaknya, Imam Muda Adan. Beliau banyak menulis buku-buku terutamanya tentang politik PAS dan pernah menjadi Pengarang Harakah suatu masa dahulu.

Nama-nama lain seperti Ahmad Boestamam, Burhanuddin Al-Helmi, Abdul Rahim Kajai (Mastika) dan ramai lagi mencetuskan fenomena akhbar dan penulisan sehingga terbitnya majalan Al-Imam, Utusan Melayu dan sebagainya. Bagi saya, mereka menjadikan penulisan sebagai satu wadah dalam perjuangan mereka dan kualiti penulisan mereka bukan calang-calang walaupun kita membaca pun tidak faham dengan gaya bahasanya!

DUNIA PENULISAN ZAMAN SEKARANG

Zaman sekarang sudah berlainan, semua orang boleh menjadi seorang penulis. Dengan capaian kepada perkhidmatan Internet membolehkan siapa sahaja tidak kira kaum, pangkat dan keturunan boleh menjadi penulis atau BLOGGER.

Jika dahulu, penulis menaip menggunakan mesin taip yang bising itu, atau menulis sendiri di atas kertas sebelum editor menaip semula ke dalam akhbar. Tulisan mereka nampak lebih ‘ikhlas’ kerana mereka menulis sendiri daripada hati mereka.

Kini, kita sudah boleh menaip di mana-mana sahaja dengan menggunakan komputer riba atau telefon bimbit. Kita sudah terbiasa dengan cara menaip seperti ini sehinggakan kadang-kadang saya sudah tidak reti untuk menulis di atas kertas dan tulisannya semakin buruk!

Tun Mahathir juga sudah menceburkan diri ke dalam dunia blog selari dengan keadaaan semasa

Tun Mahathir juga sudah menceburkan diri ke dalam dunia blog selari dengan keadaaan semasa

Walau bagaimanapun, saya berharap apa yang ditulis ini dapat menyentuh hati si pembaca walau tulisan saya ini tidak sepopular orang lain atau mungkin tulisan ini hanya akan dijumpai oleh generasi yang akan datang. Siapa tahu?

Berbalik kepada Bloggers, kini terdapat banyak genre penulis Blogger. Ada yang menulis catatan harian, perkembangan politik, gosip sana gosip sini, portal berita ataupun sekadar berkongsi koleksi gambar di dalam blog, itu adalah cerminan kepada personaliti atau gaya seorang penulis.

Saya tidak tahu saya boleh dikategorikan sebagai penulis dalam genre mana. Kadang-kadang saya menulis tentang politik, kisah seram, info, nasyid dan sebagainya. Pendek kata, saya menulis apabila saya rasa perkara itu perlu saya tulis.

Blog Jamal Rafaie Dot Com adalah implementasi daripada diri saya. Ianya adalah satu wadah kepada saya untuk bersuara dan tidak mewakili mana-mana organisasi dalam penulisan saya.

DICOP SEBAGAI PENCACAI UMNO

Apabila menulis tentang politik, kita akan berhadapan dengan individu atau puak yang ekstrem dalam berpolitik. Saya pernah dicop sebagai pencacai atau anjing UMNO kerana banyak menulis tentang parti itu dan saya menulis tentang perkembangan politik berdasarkan pemerhatian saya.

Sehingga artikel ini ditulis, saya belum menyertai UMNO dan untuk pengetahuan para pembaca, buat masa ini hanya satu persatuan sahaja yang saya anggotai iaitu Persatuan Belia Kg. Pasir Tuntong selepas tamat pengajian di UiTM Pulau Pinang sehingga sekarang.

Buat masa ini, saya bergerak sendiri dan menulis apa yang dirasa perlu dalam pemerhatian saya di dalam blog ini.

Kadang-kadang saya berasa kesal apabila sentimen yang suka melabel ini berluasa di kalangan kita. Kita harus mengakui bahawa setiap orang harus diberi hak untuk menyampaikan pendapatnya.

Bagaimana harus kamu menggelar saya pencacai UMNO sedangkan diri kamu sendiri menulis menghentam UMNO? Tidakkah saya juga boleh mengatakan kamu adalah pencacai PKR/PAS/DAP? Saya tidak pernah menggelar siapa-siapa hatta sahabat saya sendiri tidak sependapat dengan saya, saya tidak harus melabelnya dan terus memutuskan silaturrahim.

Adakah begitu murah maruah diri saya sehingga boleh dikatakan UMNO membayar saya untuk menulis? Berapa banyakkah duit yang harus UMNO bayar kepada saya untuk menulis menghentam pembangkang?

Dalam penulisan saya, saya tidak suka menulis menggelar-gelar, hanya kritikan yang tersirat.

Politik Baru : Karangan Dato' Saifuddin Abdullah yang berbicara tentang amalan politik matang

Politik Baru : Karangan Dato’ Saifuddin Abdullah yang berbicara tentang amalan politik matang

Jika saya menyokong UMNO pun, saya tidak menyokong salah dan silap yang telah UMNO lakukan. Saya tidak mahu menjadi “Yes Man” kepada pemimpin UMNO dah saya tidak mahu diam hanya kerana takut kehilangan kuasa atau tidak dapat naik pangkat!

Jika pun saya menyokong Pembangkang, saya juga tidak menyokong salah dan silap mereka. Tetapi saya tidak mahu menjadi ‘pemimpin/ulama’ bisu yang takut untuk bersuara dengan suara kebenaran. Jika tercakap perkara yang benar tetapi tidak memberi keuntungan kepada parti, pasti dipecat, dibuang keahlian dan dilabel sebagai Anjing UMNO!

Parti adalah satu wadah, tetapi jangan terlalu taksub sehinggakan orang lain semua salah dan apa yang kita buat adalah betul belaka. Tidak kisahlah parti kita mendokong sentimen agama atau apa ideologi sekalipun, tetapi yang salah adalah tindakan kita dan bukannya ideologi itu.

Jika suatu hari saya menyertai UMNO, saya harus mengakui bahawa ramai rakan dan taulan yang saya kenali adalah orang-orang PAS. Dari segi politik, PAS dan UMNO adalah berlainan dari segi ideologi. Tetapi dalam hati saya, saya tetap percaya bahawa akan tiba masanya silaturrahim itu akan muncul jua.

Kita sesama bangsa apatah lagi sesama agama adalah sama. Sedangkan hari ini PAS (ideologi Islam) pun boleh bersama-sama makan kek dengan DAP (ideologi sekular/Malaysian Malaysia), apatah lagi PAS dan UMNO, pasti boleh bergabung suatu hari nanti.

Saya faham dengan PAS yang serik bergabung dengan UMNO suatu ketika dahulu sehinggakan kita dapat melihat Tok Guru Nik Aziz begitu dendam dengan UMNO sehingga kini. Kisah lama mungkin ada silapnya, tetapi yang akan datang masih ada sinarnya. Insya-Allah.

Jika bukan di zaman Nik Aziz kita dapat bergabung kembali, mungkin di zaman pemimpin yang akan datang. Itulah harapan saya buat bangsa saya, orang-orang Melayu Islam dapat bersatu kembali. Insya-Allah.

AKU MENULIS TANPA SEGAN

Berani Tanpa Segan : Buku Karangan Tan Sri Abdullah Ahmad

Berani Tanpa Segan : Buku Karangan Tan Sri Abdullah Ahmad

“RAMAI orang kata dia kebal, sebab itu dia berani menulis apa sahaja. Tetapi bagi Tan Sri Abdullah Ahmad, atau lebih dikenali ‘Dolah Kok Lanas’ @ ‘DKL’, dia menulis apa yang dirasakan perlu. Katanya : “Saya tidak ada kekebalan, yang ada hanyalah kebenaran”

Golongan lapis baru (generasi muda) mungkin kurang mengenali Tan Sri Abdullah Ahmad, saya juga tidak begitu mengenali beliau. Saya mula tertarik apabila menonton Bicara Minda Tun Mahathir yang diadakan di Karangkraf yang turut melancarkan buku terbaru beliau yang bertajuk “BERANI TANPA SEGAN”.

Beliau lahir di Kelantan dan mendapat pendidikan awal di sana. DKL memasuki sekolah elit MCKK dan menjadi Alumni Cambridge dan Harvard. Menerima latihan politik daripada Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dan pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen, anggota Kabinet dan Duta Khas Malaysia ke PBB.

Pengalaman yang paling bermakna buat beliau ialah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times di mana dia memperoleh kemahiran menulis.

Apa yang saya kagum ialah kelantangan beliau dalam penulisan dan memberi pendapat. Walau pun beliau adalah seorang ahli politik UMNO dan pernah menganggotai kabinet, tetapi beliau adalah salah seorang yang pernah ditangkap di bawah ISA kerana dipercayai mempunyai ideologi Komunis.

Orang seperti ini sangat sukar ditemui dalam politik. Tidak kira mana-mana parti, golongan yang mampu berkata benar walaupun pahit sangat sedikit. Dalam UMNO jika banyak bercakap dan mengkritik, mungkin sukar untuk naik pangkat.

Dalam Pembangkang pula (DAP/PKR/PAS), apabila sudah ada keyakinan untuk menang, barangsiapa pemimpin yang menegur kesalahan sendiri akan dikecam. Oleh kerana itu kita dapat melihat ada beberapa pemimpin pembangkang yang dipecat atau keluar daripada parti. Lebih menakutkan mereka ialah akan dicop sebagai ‘dibeli UMNO’ adalah satu kebimbangan kerana ianya melibatkan maruah.

Oleh sebab itu, kita dapat lihat ramai politikus yang berdiam diri daripada menegur kesalahan parti sendiri, dan lebih banyak bercerita tentang parti lawan. Parti mana-mana pun hampir sama, kerana itu adalah real politic.

Saya harus tidak segan dalam penulisan. Tidak segan bukan bermaksud boleh mencarut, lucah dan fitnah. Tetapi lebih kepada penyampaian yang kritis, idea yang berguna dan ke arah mobilasi perpaduan ummah.

Semoga kita terus maju dan menjadi bangsa yang minat untuk membaca!

MENGAPA HARUS SEGAN? AKU BAYAR BLOG INI, KAMU BACA PERCUMA?

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 30 Januari 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

2 Responses to Aku Menulis Tanpa Segan

  1. puteraduyong

    suatu luahan hati ikhlas… semoga semua dapat fahami…
    puteraduyong´s last blog post ..10 TANDA LELAKI ITU SEORANG YANG ROMANTIK

    [Reply]

    Jamal Rafaie Reply:

    Terima kasih.. 🙂

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);