browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Kebimbangan Terhadap PRU-13 Jika BN Terus Memerintah?

Posted by on January 12, 2013
Siapa tidak mahu masuk pejabat yang indah?

Siapa tidak mahu masuk pejabat yang indah?

Dari Abu Hurairah Ra. ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda. “Akan keluar di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat dari kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang banyak, dan perkataan mereka lebih manis dari gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang buruk). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku ? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (HR. Tirmizi)

Saya pernah berkongsi hadith ini di Facebook sebagai peringatan kepada kita sebagai orang Islam agar tidak tergolong dalam golongan yang menjual agama.

Hadith itu juga menyebut tentang akan tiba di akhir zaman golongan yang berpakaian zuhud tetapi hatinya macam serigala. Menggunakan agama sebagai tarikan untuk mendapat sokongan orang lain untuk menyokongnya.

Siapalah saya, saya bukan seorang ulama untuk membicarakan tentang hadith ini, lebih-lebihlah lagi untuk melabel mana-mana pihak tentang golongan yang disebut dalam hadith tersebut. Tiba-tiba ada FRIEND di Facebook yang gayanya seperti memarahi saya, mempertikaikan hadith ini yang kononnya hadith ini terpalit kepada pemimpinnya dalam PAS.

Katanya : “Hadith ini hadith sahih. Tapi fahaman dan dakwaan kita terhadap seseorang tidak boleh dianggap sahih. Mungkin juga ianya akan terpalit semula kepada orang yang melabel orang lain. Dan saya beranggapan bahawa golongan yang dikatakan oleh Nabi ini adalah Ulama’ UMNO, bukan Ulama’ PAS”.

Saya bersetuju dengan beliau yang mengatakan bahawa kita tidak boleh menganggap fahaman kita dalam sesuatu hadith sahih itu sahih. Setiap daripada kita mempunyai pendapat dan pemahaman yang berbeza dan ianya memang patut dihormati.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan tadi, kerana beliau adalah penyokong Pas yang terkenal dengan ego dan tidak boleh ditegur. Beliau boleh pula melabel Ulama’ UMNO menjual agama tetapi marah apabila dakwaan itu terpalit kepada dirinya. Pulangkan semula kata-kata “Mungkin juga ianya akan terpalit semula kepada orang yang melabel orang lain” kepada beliau, serahkan kepada Allah.

Itulah tabiat pembangkang, setiap hari membangkang, itu dan ini tidak betul, memburukkan kerajaan, menggunakan apa sahaja cara termasuk fitnah dengan alasan untuk menjatuhkan kerajaan UMNO adalah dibenarkan, dikatanya kerajaan menyekat hak kebebasan bersuara tetapi apabila C.N Al-Afghani menulis buku Air Mata Memali, buku itu diharamkan kepada penyokong PAS, ke manakah perginya pula hak kebebasan bersuara yang dilaungkan dalam kes ini?

IKLAN AIR MATA MEMALI

Saya amat risau dengan perkara ini. Di sebalik kerajaan BN yang berusaha untuk berubah menjadi yang lebih baik kerana sering ditegur oleh pembangkang, bagaimana pula dengan jika naiknya Pakatan Rakyat sebagai kerajaan Malaysia? Pakatan Rakyat dilihat semakin ego dan akan memecat ahlinya yang bersuara menegur pemimpin mereka, bukankah itu menjadi sukar kepada rakyat untuk menegur pemimpin Pakatan Rakyat?

Sekarang bolehlah menggunakan perkataan rakyat : “Pakatan Rakyat”, “Kebangkitan Rakyat”, “Jelajah Rakyat” dan lain-lain, kerana ianya dilihat dapat memberi pengaruh yang besar kepada mereka disebabkan rakyat terpesona dengan pemimpin PR yang kononnya dekat di hati rakyat.

Lihat nanti apabila berkuasa, sudah tahu celah mana untuk buat duit, pemimpin akan mula sibuk dengan mengkayakan kroni, pengundi dan rakyat pula sudah dilihat sebagai beban dan dihimpit dengan desakan manifesto yang belum ditunaikan.

Dalam buku “Kafirkah Aku?” karangan C.N Al-Afghani ada menyentuh soal ini. YB-YB Pas sebelum menjadi wakil rakyat mengutuk YB BN kerana menggunakan kereta mewah yang dikatakan membazir duit rakyat, tetapi apabila YB Pas pula jadi kerajaan, mereka juga menggunakan kereta mewah dengan alasan : “Jangan kufur nikmat, dah ada peruntukan kita ambil, takkan YB nak naik kereta yang harganya RM30,000 saja?”.

Oh! YB BN pakai kereta mewah dikatakan membazir duit rakyat, tapi YB Pas guna kereta mewah dikatanya pula “Jangan Kufur Nikmat”. Politik apakah ini? Lebih baik cakap begini : “Aku sebenarnya cemburu orang lain dapat kereta mewah”.

KE MANA ISLAM SELEPAS PRU 13?

Pakatan Rakyat mendakwa Islam akan terus mekar dalam pemerintahan mereka. Buktinya kerajaan negeri Selangor mengadakan ceramah Ustaz Azhar Idrus pada malam ambang tahun baru dan ramai anak-anak muda datang pada malam itu.

Bukan soal ceramah dan majlis ilmu, tetapi soalnya adakah hukum-hukam Islam akan terbela dalam kerajaan? DAP pasti akan membenarkan PAS untuk mengadakan ceramah agama kerana tidak mahu hilang sokongan. Bab ceramah biar Pas pegang, tapi pentadbiran biar PKR dan DAP pegang. Itulah udang di sebalik batu politik pembangkang.

Mungkin suatu hari nanti Pas hanya diberi tugas sebagai badan yang menjaga agama Islam dan adat istiadat Melayu seperti mana Raja-Raja dan pembesar Melayu dalam sejarah Tanah Melayu dijajah dahulu. Tidakkah sejarah boleh berulang?

Sekarang boleh dikatakan bahawa ‘raja dan pembesar Melayu menjaga Islam dan adat istiadat Melayu” adalah PAS, manakala DAP dan PKR mengurus tadbir negara dan mengumpul hasil negara seperti penjajah Inggeris, Jepun, Belanda dan Portugis.

Akhirnya, PAS keluar mulut singa masuk mulut buaya. Jadilah mereka parti yang pandai berceramah dan mengumpul ahli untuk berhimpun di jalanan.

Pas adalah kuda tunggangan DAP. Fikirkan jika tiada Pas dalam Pakatan Rakyat, siapa pula yang akan memenuhkan jalan-jalan raya semasa demontrasi? Ahli PKR bukan ramai sangat pun.

Di negeri Selangor, Dr. Hasan Ali ditendang daripada menjadi EXCO Selangor hanya kerana ingin menegakkan hukum Allah di Selangor. Sebelum menang di Selangor, ada khabar berita mengatakan bahawa Dr. Hasan Ali ada membawa rakyat dengan bas ke kilang arak di Shah Alam dan mengatakan : “Hari ini Pakatan Rakyat menang, esok kita tutup kilang arak!”.

Apa yang berlaku? Kilang arak masih beroperasi sehingga kini tetapi pejabat Dr. Hasan Ali pula terpaksa ditutup! Itu baru sekelumit daripada tanda-tanda Pas ditunggangi DAP. Bayangkan pula jika berjaya menjadi kerajaan Malaysia dalam PRU 13?

Belum pun menjadi kerajaan pusat, PAS dilihat sudah banyak mengikut rentak PKR dan DAP. Sudah dapat dijangkakan bahawa Pas akan membuat pendirian menyokong orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah dalam Bible walaupun sebelum itu ada pemimpin Pas yang menafikan Pas menyokong pendirian itu. Hari ini lain pula jadinya.

Hadi Awang diapit oleh Mat Sabu, Anwar dan Lim Kit Siang, adakah Hadi Awang 'dipaksa' menyokong?

Hadi Awang diapit oleh Mat Sabu, Anwar dan Lim Kit Siang, adakah Hadi Awang ‘dipaksa’ menyokong?

Dari segi politik, bagaimana harus Pas tidak menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam? Kekuasaan telah dijanjikan, Putrajaya sudah hampir dicapai, kerusi empuk Menteri sudah disusun, adakah nak membunuh semua itu jika tidak sokong DAP? Bagaimana mahu menaiki ‘Cruise Tasik Putrajaya dengan percuma’ kalau tidak dapat undi daripada DAP dan PKR?

Disebabkan itu, mereka terpaksa ‘menjual agama’ untuk kepentingan mereka. Ke mana Islam di masa akan datang? Adakah berbangga dengan ceramah agama yang bertujuan politik sahaja yang dibanggakan?

TAKUT NASI SUDAH MENJADI BUBUR

Saya secara peribadi masih beranggapan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih relevan. Biar pun dikritik kerana menangkap pesalah sebelum didakwa adalah satu yang bercanggah dengan Islam dan hak asasi manusia, saya tetap mengatakan bahawa ianya masih relevan. Mengapa?

Bayangkan, jika sekarang pun orang sudah berani menghina Islam, Raja-Raja dan merendahkan martabat orang lain, bagaimana pula jika di masa akan datang akan hadir golongan kafir secara terang-terangan menyampaikan dakyah agama mereka, mempersendakan Islam dan menyebarkan fitnah sehingga boleh mencetuskan huru-hara dan pergaduhan?

Bagaimana mahu menghalang mereka? Apabila nak tangkap, mereka kata : “ISA dah tak ada, mana boleh tangkap-tangkap sebelum didapati bersalah? Kita ada hak kebebasan bersuara la…”.

Mahupun kita yakin bahawa golongan ini bersalah, tetapi bagaimanakah caranya untuk menghalang mereka? Belum sempat lagi didakwa, mungkin lebih banyak dakyah, fitnah dan kekecohan yang akan berlaku.

Ketika itulah, orang-orang yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara, membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible dan mengamalkan demonstrasi jalanan menepuk dahi kerana sudah tidak mampu untuk menghalang puak-puak cauvinis tersebut.

Oh! Hal ini belum berlaku! Mana boleh percaya kan? Tapi agak-agak boleh berlaku? Fikirkan..

PERIHAL ORANG MUDA

Orang muda darahkan membara. Orang muda juga selalunya semangatnya terlebih. Kerana itulah kadang-kadang apabila diajak berdemonstrasi di jalanan mereka begitu semangat. Bagi mereka, menjatuhkan kerajaan dan terpekik terlolong adalah satu perjuangan.

Orang muda sebelum merdeka dengan orang muda sekarang jauh bezanya. Jika dahulu, golongan muda berjuang di jalanan untuk menentang penjajah British, selepas merdeka pula negara menjadi aman dan lama kelamaan taraf kehidupan menjadi lebih selesa.

Tiada lagi demostrasi selepas itu (kecuali 13 Mei 1969) sehinggalah lahirnya pemimpin yang bernama Anwar Ibrahim yang sangat suka mengadakan demonstrasi jalanan. Saya berasa pelik, mengapa kaedah jalanan ini selalu digunakan di Malaysia sedangkan kita tahu budaya tolak ansur rakyat Malaysia adalah baik, tidaklah sampai tak boleh dibawa berbincang sehingga perlu menunjuk perasaan?

Demonstrasi adalah kaedah yang popular di seluruh dunia. Dengan cara ini mereka dapat menarik simpati orang lain agar mengatakan : “Kesian, kamu semua dianiaya”. Walhal, setiap perkara dapat diselesaikan secara harmoni tanpa membuat kekecohan. Berjumpa dengan pemimpin pun tak pernah bagi menyelesaikan satu-satu isu, terus buat demo atas sebab politik semata-mata.

Disebabkan itulah, golongan muda tertarik dengan bentuk ‘jihad’ jalanan untuk menjatuhkan kerajaan. Pelbagai isu seperti PTPTN, Bersih dan termasuk masalah peribadi Anwar Ibrahim juga melibatkan penyokongnya. Walhal itu adalah mainan isu untuk mendapatkan sokongan orang ramai sahaja.

Bersih? Menuntut Pilihanraya yang telus? Bukankah ada masalah dalam pemilihan DAP dan yang lebih memalukan pengiraan undi pemilihan AJK DAP yang terlalu besar jurangnya. Bagaimana orang di tangga 36 boleh terus naik ke tangga 20? Macam mana pula undi calon-calon lain? Pemilihan parti sendiri pun tidak betul, nak suruh SPR lebih telus?

DAP sanggup memalukan diri sendiri hanya kerana teruk diasak sebagai parti cauvinis kerana tiada seorang pun orang Melayu yang memenangi Majlis Tertinggi DAP. Untuk elak asakan, mereka buat-buat tersalah kira undi untuk tutup malu tersebut dengan mengangkat seorang Melayu dalam Majis Tertinggi tersebut. Sangat “Ada Udang Di Sebalik Mee”!

Isu popular dimainkan pembangkang ialah penurunan harga kereta, PTPTN dihapuskan dan pemberian pendirikan percuma, penurunan cukai, kenaikan gaji, penurunan harga petrol, penghapusan tol, insentif itu dan insentif ini dan banyak lagi. Semuanya agak menggiurkan, kerana siapa yang tidak mahu benda free?

Allah SWT sudah memberi kepada mereka sedikit kuasa sebagai satu bentuk ujian kepada Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri. Hasilnya? PTPTN mahu dihapuskan tetapi UNISEL tidak dapat diuruskan dengan baik dan lebih mengecewakan yuran pengajian dinaikkan dan pelajar perlu membayar tambahan RM200 untuk yuran kolej. Tidakkah anda melihat kepincangan ini?

PR menjanjikan pelbagai insentif seperti hadiah masuk Universiti, elaun suri rumah, elaun itu dan elaun ini, tapi bagaimana dengan janji-janji itu sekarang? Apabila ditanya kepada Menteri Besar, satu jawapan yang pelik dijawabnya : “Itu bukan janji, tapi manifesto. Kalau nak saya tunai janji, buktikan kamu undi PKR dalam PRU 12 hari itu”.

Mungkinkah Himpunan Kebangkitan Rakyat hanya sandiwara? Kesian mereka yang hadir memeriahkan.

Mungkinkah Himpunan Kebangkitan Rakyat hanya sandiwara? Kesian mereka yang hadir memeriahkan.

Baru menjadi kerajaan negeri sudah sebegitu angkuh. Jika difikirkan tentang jawapan Menteri Besar itu, mungkin suatu hari nanti bantuan kepada rakyat hanya akan diberikan kepada pengundi-pengundi yang mengundikan mereka sahaja!

Ke mana perginya Negara Berkebajikan itu? Kalaulah BN mengamalkan sikap seperti ini, pasti ramai ahli-ahli PAS tidak layak menerima BR1M daripada kerajaan, tetapi sebaliknya yang berlaku ialah merekalah antara orang yang pertama beratur meminta borang BR1M!

Janji-janji manis sudah biasa. Seperti kebiasaan seorang jejaka memikat perempuan, “lautan luas sanggup direnangi, lautan api sanggup direntasi”. Apabila sudah dapat perempuan itu? Nafkah tidak diberi, pasang perempuan lain, didera dan digantung tidak bertali! Sejauh mana kita mengambil pengajaran?

Ambil contoh di negara Jepun, parti DPJ memburukkan kerajaan LDP dan menjanjikan manifesto popular di kalangan rakyat sehingga mereka berjaya menjatuhkan kerajaan LDP. Tetapi apa yang berlaku? Selama 3 tahun Jepun dalam keadaan tidak terurus dan terlalu banyak kepincangan di bawah pentadbiran parti DPJ. Akhirnya, rakyat Jepun memilih semula LDP sebagai kerajaan yang boleh diharap pada 2012. Orang Jepun sudah serik!

Sejarah ada menulis, tetapi mengapa tidak mahu mengambil pengajaran? Atau sudah kemaruk Putrajaya? Mahu menunggu semua itu berlaku baru nak menyesal?

PEMBANGKANG ‘NAMPAK’ BAGUS

Tun Dr. Mahathir pernah berkata satu ungkapan dalam bahasa Inggeris : “Better the devil you know than the angel you don’t”. Yang bermaksud dalam erti kata sebenar “lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali”.

“Orang Dikenali” itu ditamsilkan kepada UMNO/BN yang sudah berpengalaman mentadbir Malaysia, manakala istilah “Devil” itu merujuk kepada sentimen anti-kerajaan dan hasutan membenci kerajaan oleh pembangkang yang menyebabkan UMNO/BN kelihatan buruk.

Tidak dinafikan, di dalam kerajaan ada berlakunya kes-kes salah guna kuasa, korupsi, kroni, ketidakcekapan pengurusan dan sebagainya. Itu adalah rentetan pengalaman pemimpin yang silih berganti, ada yang bagus dan ada yang tidak bagus untuk mengejar kekayaan dalam politik.

Politik seperti ini harus diubah dari semasa ke semasa.

Apa yang lebih malang lagi ialah “Angel” yang ditamsilkan pula sebagai Pakatan Pembangkang yang kelihatan ‘bersih’ tanpa sebarang korupsi itu, telah menunjukkan tanda-tanda bahawa sejarah kehadiran pemimpin yang korupsi akan berterusan dan mungkin semakin buruk.

Ada orang kata : “Pakatan Rakyat belum jadi kerajaan pusat lagi, mana boleh kita terus menilai prestasi mereka”.

Kita harus ingat, setiap yang berlaku adalah perancangan dan ujian daripada Allah. Seperti mana seorang Manager sebelum menjadi Manager, pastinya majikan akan menguji tahap kualiti kerja individu berkenaan dengan memberi kerja yang lebih rendah dahulu untuk melihat sama ada bagus atau tidak.

Dalam soal ini, Allah sudah memberi ujian kepada Pakatan Rakyat dengan mentadbir 5 bukan kerajaan negeri sebelum menguji mentadbir sebuah kerajaan pusat.

Apa yang berlaku? Belum pun menguasai kerajaan pusat, sudah banyak kes salah laku, korupsi, kroni, mengancam kedaulatan negara, huru-hara dan demonstrasi, kes-kes ‘menjual agama’ seperti membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah. Cakap tak serupa bikin seperti dahulunya mempertikai YB BN guna kereta mewah tetapi apabila mereka jadi kerajaan, mereka juga hidup bermewah-mewah.

Itu adalah secebis yang boleh dibincangkan di sini. Walaupun kerajaan BN banyak salah dan silapnya, tetapi parti yang “Mengata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Dia Yang Lebih” ini berkali-kali gandalah salahnya terhadap rakyat.

Mereka bukannya sebersih yang digembar-gemburkan walaupun kerap kali menggunakan istilah “Rakyat”, “Bersih”, “Transparent” dan sebagainya.

Dalam PRU-13 ini, tidak wajar untuk memilih Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia. Banyak kepincangan yang akan berlaku walaupun di dalamnya ada ulama’ dan pemakai-pemakai kopiah yang banyak ke jalanan daripada menyeru menyembah Allah di masjid.

Inilah masanya untuk UMNO dan BN bangkit mengubah cara kerja dan pentadbiran agar menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik. UMNO/BN mampu untuk membawa harapan baru kepada rakyat Malaysia, kerana kita mampu berubah. Insya-Allah.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka..”
(Surah Ar-Ra’du : 11)

TAK SOKONG PAS BUKAN BERMAKNA TAK SOKONG ULAMA’ DAN ISLAM!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 10 Januari 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

3 Responses to Kebimbangan Terhadap PRU-13 Jika BN Terus Memerintah?

  1. Kain_Puteih

    Satu tajuk yang menarik namun penulis seakan2x cuba menafikan sumpahan Allah di akhir hadith tersebut. Sudah terbukti beberapa kali sumpahan tersebut majoriti kepada Parti Pemerintah. Lihatlah kenyataan Dr Masyitah tentang hudud dan isu dia bersalam dgn lelaki bukan muhrim. Lihat apa sudah jadi dgn UFB tentang dalil dari Saad Ibn Waqas (jika xsilap) tentang penghancuran sesuatu pihak.

    Apa yang lebih parah, ada golongan yang beramal tetapi tidak minum kolam kautsar Rasulullah SAW di hari perhitungan.

    [Reply]

    Jamal Rafaie Reply:

    Masing-masing ada bukti. Yang lain, serahkan kepada Allah. Janji Allah benar. Allah Maha Kaya.

    [Reply]

    Jamal Rafaie Reply:

    Masing-masing mempunyai bukti. Yang lain serahkan kepada Allah. Allah Maha Kaya.

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);