browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

PRU 13 : Tegur Bukan Menghina (Siri 1)

Posted by on April 14, 2013
Pemimpin saling menziarahi satu amalan murni - Gambar Hiasan

Pemimpin saling menziarahi satu amalan murni – Gambar Hiasan

Saya tidak memikirkan saya Wanna Be Candidate, apatah lagi menjadi seorang Winnable Candidate ketika ini. Namun, cerita politik menjadi perkara yang membuatkan saya tertarik untuk berbicara tentangnya. Maklumlah, PRU semakin dekat dan “Ibu Segala PRU” ini menghidangkan pelbagai cerita yang ‘menarik’ dan mencabar.

Saya mahu kongsikan rasa terkilan saya terhadap sikap segelintir mereka termasuk rakan-rakan saya apabila berbicara tentang apa itu Melayu dan Islam.

Melayu itu adalah BANGSA dan Islam itu adalah AGAMA. Saya fikir semua orang maklum perkara ini. Saya juga berfikir bahawa semua orang maklum tetapi tidak semua orang yang memahami.

Politik adalah kuasa. Kuasa menentukan dasar dan halatuju sesebuah negara. Orang Melayu sejak merdeka dahulu menguasai bidang politik. Hanya inilah yang tinggal untuk kita bagi meneruskan survival bangsa Melayu ini di bumi kita sendiri.

Namun, di sebalik perjuangan mengekalkan survival bangsa Melayu itu terpalit penentangan golongan-golongan yang berbangsa Melayu sendiri. Mereka ini terdiri daripada puak kononnya ‘pendokong agama’ yang saya fikir mereka sebenarnya tidak memahami apa itu perjuangan Melayu dan Islam.

MENYERTAI USRAH DI UNIVERSITI

Semasa menuntut di Universiti dahulu saya menyertai sebuah persatuan Islam yang menjadi pendokong kuat kepada aktiviti Islam dan menjana aktiviti masjid.

Saya menyertainya seawal minggu pertama mendaftar di kampus. Sejak dari sekolah lagi saya sudah bergiat dalam aktiviti berbentuk Islami seperti nasyid dan menganggotai AJK surau sekolah. Minat itu saya sambung di peringkat Universiti dengan menyertai persatuan Islam tersebut.

Kami (pelajar junior) dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang dipanggil USRAH. Setiap kumpulan terdiri daripada 10-15 orang pelajar dan akan dipimpin oleh seorang senior yang bertindak sebagai Naqib.

Kami berUSRAH seperti ini di kampus dahulu - Gambar Hiasan

Kami berUSRAH seperti ini di kampus dahulu – Gambar Hiasan

Saya adalah ahli Usrah yang setia di mana setiap minggu saya akan menghadiri perjumpaan Usrah, berkongsi pendapat dan mendapat bimbingan tentang perjuangan Islam berkenaan sistem Khalifah, Wala’ dan Daulah Islamiyah. Selang beberapa semester, ahli Usrah ‘hilang’ sedikit demi sedikit (tidak berminat) dan akhirnya ahli Usrah yang tinggal digabungkan.

Kami diberikan silibus yang lebih tinggi tahapnya, sehingga silibus yang menyeru kita membina sebuah kerajaan melalui kuasa politik. Pada mulanya saya tidak mengetahui apa yang tersirat di dalam silibus tersebut.

Kemuncak kepada Usrah ini saya dan rakan-rakan yang lain dipelawa ke Kem hujung minggu yang diadakan di lokasi rahsia yang tidak diketahui. Ada juga rakan-rakan Usrah yang ragu-ragu dengan pelawaan daripada Naqib yang meminta ahli Usrah tidak memberitahu ibu bapa, merahsiakan kem ini daripada orang lain dan dilarang membawa sebarang baju atau lambang Universiti.

Saya dan rakan-rakan mendesak Naqib agar berterus terang dengan kem yang dianjurkan. Ada juga rakan Usrah yang menolak terus daripada terlibat kerana Naqib tidak berterus terang. Akhirnya saya setuju menyertai kem tersebut apabila Naqib menyerahkan tentatif program yang bertajuk “Kem Remaja Lestari” dan saya melihatnya sebagai satu kem hujung minggu yang menarik.

BAI’AH DAN PERJUANGAN

Saya dan rakan-rakan Usrah dibawa oleh Naqib ke kawasan yang saya sendiri tidak tahu. Mungkin di kawasan Sik atau Gurun Kedah, saya tidak pasti. Yang pastinya kawasan itu seakan-akan kem dalam hutan dan tidaklah mempunyai kemudahan yang lengkap.

Persis kem tentera.

Telefon bimbit dikumpulkan dengan alasan tidak mahu mengganggu perjalanan program yang bakal berlangsung. Saya mula berasa pelik.

Kami dihidangkan dengan ceramah dan perkongsian daripada panel penceramah yang dijemput oleh pihak penganjur. Cerita yang disampaikan adalah tentang politik dan pembinaan negara Islam.

Dalam salah satu sesi, (saya sudah tidak ingat nama penceramah tetapi yang saya tahu beliau adalah ADUN PAS di Kedah). Penceramah menerangkan tentang politik Islam, haram bekerjasama dengan orang kafir dan mengutuk UMNO/BN kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Saya adalah salah seorang peserta yang berani bertanya, saya bertanya : “Tuan mengatakan haram bekerjasama dengan orang kafir dalam membina negara Islam, bagaimana pula kerjasama PAS dan DAP?”.

Beliau menjawab : “DAP lain. DAP dah sokong Islam dan sedia bekerjasama dengan kita. Tidak ada masalah”. Saya mula meragui jawapan itu, haram bagi UMNO tetapi halal buat PAS?. Tidak mengapa, saya ikut sahaja program itu.

Kemuncaknya, di malam terakhir program berkenaan, setiap daripada kami diberikan surat Bai’ah dan diminta untuk menandatangani Bai’ah tersebut. Dalam Bai’ah tersebut tidak tertulis nama parti.

Setelah selesai menandatangani Bai’ah tersebut, setiap seorang daripada kami diminta untuk ke hadapan dan perlu berbai’ah memperjuangkan Islam dengan PAS. Semenjak itu barulah saya tahu motif sebenar pergerakan Usrah Universiti ini, pengkaderan ahli ke dalam PAS!

Baiah perjuangkan Islam hanya dengan PAS?

Baiah perjuangkan Islam hanya dengan PAS?

Setiap daripada rakan-rakan Usrah tampil ke hadapan dan berbai’ah atas nama PAS sebagai medium memperjuangkan Islam. Tetapi apabila saya ke hadapan lain pula yang saya sebut.

“Saya orang Islam dan saya bertanggungjawab untuk mempertahan dan memartabatkan Islam. Oleh itu, saya berbai’ah untuk memperjuangkan Islam walaupun atas nama MANA-MANA PARTI SEKALIPUN!“.

Naqib terkejut mendengar kenyataan saya. Tidaklah kecoh tetapi mungkin tidak sangka dengan kenyataan berani saya.

Akibatnya, selepas program itu saya tidak lagi dipanggil ke perjumpaan Usrah. Apabila bertemu mereka seperti melarikan diri daripada saya dan kurang bertegur sapa seperti sebelumnya. Mungkin saya sudah dicop sebagai UMNO, saya pun tidak tahu.

Selepas itu, saya menubuhkan sebuah persatuan Islam yang bermediumkan kesenian melalui nasyid, khat dan aktiviti-aktiviti seumpamanya. Yang penting bagi saya, sebagai Muslim perlu meluaskan lagi dakwah Islam mengikut keupayaan saya sendiri.

Dakwah perlu diteruskan!

SAYA TIDAK TOLAK ISLAM

Saya selalu mendengar perkataan “UMNO tolak Islam”. Saya bertanya kepada orang yang berkata itu apa yang dimaksudkan dengan menolak Islam?

Beliau menjawab : “Nik Aziz nak buat Hudud tetapi Mahathir tak bagi buat Hudud”.

Sebenarnya ada salah faham, ramai penyokong Pas menggunakan alasan tersebut tetapi sebenarnya perkara itu adalah tidak tepat. Dr. Mahathir menghantar surat kepada Nik Aziz tentang ada kesalahan dalam Enakmen yang ditulis berkenaan hukum Hudud yang perlu diubah. Mahathir, selepas mendapat nasihat daripada yang ahli dalam bidang agama mengatakan kepada Nik Aziz supaya mengkaji semula Enakmen yang ditulis tersebut.

Sehingga ke hari ini Nik Aziz tidak membetulkannya dan usaha ke arah itu seakan-akan bermusim terutamanya apabila tibanya Pilihanraya malah menggunakan alasan ini sebagai tiket “UMNO TOLAK ISLAM”.

UMNO tidak mengatakan akan buat Hudud tetapi tidak pula pernah mengatakan menolak Hudud. Manakala Pas memperjuangkan Hudud tetapi sekarang Hudud sudah diketepikan dan terarah untuk menubuhkan sebuah Negara Berkebajikan yang sebenarnya telah lama diusahakan oleh BN dengan pelan pembangunan jangka panjang (Wawasan 2020).

UMNO tidak pernah melarang orang Islam daripada melakukan solat. Tidak juga melarang kuliah agama daripada disampaikan. Masjid-masjid dibina dan dibantu. Pendek kata, keupayaan mengamalkan agama itu terletak kepada diri itu sendiri.

Letak Ulamak yang paling hebat sekalipun untuk berdakwah tetapi jika orang itu sendiri tidak mahu mengubah diri mereka sendiri memang tiada apa yang berlaku. Saya tidak begitu terdesak untuk menghukum orang lain menolak agama dan jangan terlalu mudah mengatakan menolak agama.

Usah berkata seseorang itu menghina atau menolak agama jika mereka tidak menyokong parti kamu. Walau pun parti kamu itu ada nama Islam tetapi bukan bermaksud parti Islam itu adalah agama dan siapa yang tidak menyokongnya tergolong daripada golongan yang menolak agama, ini silap!

UMNO guna politik untuk Islam. PAS guna Islam untuk politik - Gambar Hiasan

UMNO guna politik untuk Islam. PAS guna Islam untuk politik – Gambar Hiasan

Saya selalu mendapat ‘amaran’ daripada orang lain yang berbunyi : “Kalau kau tak sokong Pas, bermakna kau dah menghina Ulama. Ulama pewaris Nabi, kau nak aku bagi Hadithnya? Ulama tak boleh dipertikai!” Saya tak dapat bayangkan orang yang sama mengatakan “Ulama Pewaris Nabi” itu sendiri yang menghina Mufti Perak – HARAMSANI dan bukannya menyebut HARUSSANI.

Saya fikir Nik Aziz bukanlah Ulama’, hanya pengikutnya sahaja yang menggelarkannya sebagai seorang Ulama’. Ulama’ sangat menjaga kata-katanya dan tidak mengelirukan ramai orang. Mudah-mudahan di zaman kita sekarang belum muncul lagi golongan seperti yang Rasulullah sebutkan di bawah. Nauzubillah.

Rasulullah saw. bersabda maksudnya: “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”.
(Hadith Riwayat Tarmizi daripada Abu Hurairah)

Saya fikir penyokong Pas tidak boleh terlalu agresif menentang UMNO dengan menghina perjuangan bangsa yang sebenarnya tidaklah salah di sisi agama Islam.

C.N Al-Afghani (aktivis tegar PAS) menulis dalam bukunya ASAM PEDAS PRU-13 (M/S 13): “Mulut mereka (Ulama’ PAS) perlu cermat dalam mengeluarkan sebarang ucapan. Setelah ucapan dikeluarkan, mesti bertanggungjawab. Malang sekali bila ada Ulama PAS yang berkata sesuatu, kemudian ucapannya jadi isu, lalu menafikan yang dia berkata begitu, semuanya putar belit media. Sedangkan ucapannya telah memporakperandakan ummah. Apa juga masalah disalahkan dua pihak, iaitu UMNO dan pihak Polis”.

Kerana perjuangan bangsa inilah kita hari ini dapat beribadat dengan selamat dan aman. Dengan kuasa politik orang-orang Melayu ramai anak-anak Melayu dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Masjid-masjid banyak dibina.

Tetapi akhirnya mereka yang mendapat peluang pelajaran yang tinggi itu pulang membawa kebencian kepada orang yang berjuang untuk mereka belajar sejauh itu (menjadi pembangkang). Dan banyak penceramah memaki hamun kepada orang yang berusaha membina masjid tersebut.

Saya tidak menolak Islam malah mengamalkan Islam dalam kehidupan saya. Islam bukan pada parti tetapi di dalam hati.

Mengapa kita perlu memperjuangkan survival bangsa dalam masa yang sama mempertahankan Islam?

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 13 April 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

3 Responses to PRU 13 : Tegur Bukan Menghina (Siri 1)

  1. runni259

    I love how this article exposes & explains of a dark background story; without the writer associating himself to any party, instead reminds the readers what is at stake and not to get caught up with the manipulative games of politics (be it opposition or government). Thats what we need- reminded, not manipulated.

    “politik boleh diagamakan, tetapi jangan sekali-kali agama dipolitikkan”
    runni259´s last blog post ..lion & the dog

    [Reply]

  2. Sayang Malaysia

    Teruskan perjuangan. Ramai lagi di luar sana sealiran anda.

    [Reply]

    Jamal Rafaie Reply:

    Terima kasih atas sokongan. Teruskan perjuangan Alif Ba Ta. Walaupun ‘tak dijanjikan syurga’ tetapi saya yakin ada ganjaran di sisi Allah Subhanahu Wa Taa’la.

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);