browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Menang Salah Kalah Pun Salah, Itukah Pembangkang?

Posted by on May 9, 2013
SPR bagus kalau kami menang, tipu bila kami kalah - Pembangkang

SPR bagus kalau kami menang, tipu bila kami kalah – Pembangkang

1. Saya berasa terkilan dan sedih dengan sikap yang ditunjukkan oleh parti pembangkang dalam mempopularkan ‘kesalahan’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan amalan demokrasi PRU 13 lalu. Isu dakwat kekal, blackout, pengundi hantu dan kehilangan kertas undi menjadi sebuah bualan yang bersungguh-sungguh untuk ditegakkan. Persoalannya adalah ianya adalah benar-benar penipuan atau mereka yang menipu?

2. Saya fikir sudah banyak penambahbaikan yang telah dilakukan oleh SPR dalam PRU13. Sesuai dengan kehendak Perhimpunan BERSIH yang dianjurkan sendiri oleh pihak pembangkang, banyak benda baru dilaksanakan. Antaranya ialah penggunaan dakwat kekal, pembersihan senarai daftar pemilih, tiada tempoh bantahan sewaktu hari penamaan calon, tong undi lutsinar dan pengiraan kertas undi di Pusat Mengundi.

3. Setiap proses dilaksanakan dengan teliti dan telus. Ejen setiap parti yang bertanding diberi peluang untuk menyaksikan sendiri proses pengudian berjalan dan pengiraan kertas undi di hadapan mereka. Jika masih ada lagi dakwa-dakwi, ini bermakna ejen parti yang bertugas itu tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan mungkin ‘tidur’ sewaktu mengira undi!

4. Saya sendiri sebagai pengundi pertama kali amat berpuas hati dengan kerja-kerja yang SPR jalankan. Bermula masuk ke dalam bilik mengundi, nama kita disebutkan secara jelas oleh Kerani Pengundian kepada ejen parti, jika ejen parti merasakan nama saya meragukan, ejen parti boleh membuat bantahan! Selepas selesai menanda di kertas undi, kertas undi tersebut dimasukkan ke dalam tong yang disaksikan juga oleh Ejen Parti!

5. Tong lutsinar itu tidak bergerak keluar melainkan ada hantu yang membawanya keluar, tetapi adakah ianya berlaku? ‘Pengundi Hantu’ pun tak dapat dibuktikan, inikan pula hantu curi tong? Tong tersebut kekal berada di dalam bilik mengundi sehingga proses pengiraan undi bermula pada pukul 5.30 petang selepas tempoh pengundian ditutup. Dan pastinya Ejen Parti tetap berada di dalam bilik mengundi untuk menyaksikan pengiraan undi.

6. Semasa proses pengiraan itulah Counting Agent boleh berdebat dan bergaduh untuk menyelesaikan masalah undi ragu. Apabila selesai mengira undi, keputusan undi diumumkan di bilik mengundi itu juga. Counting Agent boleh mencatat keputusan pengiraan dan diberi satu salinan tentang keputusan pengiraan dalam bilik tersebut. Mana mungkin keputusannya berlainan apabila undi-undi itu dihimpun di Tempat Penjumlahan Undi jika Counting Agent sudah mempunyai satu salinan keputusan?

7. Saya fikir pembangkang terutamanya kelompok manusia bernama Anwar Ibrahim adalah manusia yang sentiasa tidak berpuas hati. Mereka tidak pula protes jika kerusi itu dimenangi oleh mereka, tetapi apabila kalah protes pula. Ini adalah salah satu cara untuk mendapat simpati rakyat : “SPR tipu, keputusan PRU13 tak adil!”. Itu yang mereka mahu agar rakyat marah dengan SPR, tapi sebenarnya mereka yang menipu.

8. Saya masih bingung dengan manusia yang masih percaya dengan Anwar Ibrahim, sudah banyak yang telah ditipunya seperti peristiwa 16 September 2008 yang mengatakan ramai Ahli Parlimen BN akan lompat parti menyertai pembangkang. Tetapi perkara itu tidak berlaku dan ramai beliau hanya senyum tidak bersalah kepada penyokongnya. Penyokong yang kurang bijak terus mempercayainya walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi, maaf cakap!

9. Bersabarlah wahai SPR, golongan ini tidak akan berpuas hati selagi mereka tidak menang. Mereka adalah golongan yang tidak boleh menerima suara majoriti rakyat yang masih mengekalkan BN sebagai pemerintah di peringkat pusat. Mereka rasa majoriti rakyat menyokong mereka tetapi sebaliknya berlaku. Contohilah BN yang menerima keputusan dengan hati terbuka.

10. Sesuatu fitnah dan penipuan apabila sudah dikatakan oleh ramai orang, barangkali boleh bertukar menjadi sesuatu yang ‘benar’. Penipuan yang tersusun boleh mengalahkan kebenaran yang bertaburan. Bukti yang direka-reka boleh menjadi benar jika orang ‘dipaksa’ untuk mempercayainya. Mungkin saya adalah di antara golongan yang sedikit yang mengatakan perkara ini (menghalang penipuan), namun disebabkan kebenaran saya akan terus berjuang.

11. Amalan demokrasi sudah berjalan, maka hormatilah. BN gagal mendapat 2/3 kerusi Parlimen. Juga lebih merosot di negeri Selangor. Gelombang Merah di Kelantan gagal dengan kekalnya kerajaan PAS Kelantan. BN juga berjaya mengekalkan Perak dan mengambil semula Kedah daripada PAS. BN Penang pula mengalami keputusan yang teruk.

12. Demokrasi melalui kertas undi. Pengiraannya telus dan dilihat oleh parti yang bertanding. Maka? Hormatilah dan PRU14 nanti kita cuba lagi.

Walallahua’alam.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 8 Mei 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);