browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

UUM : Our Generation Is Going Down

Posted by on June 17, 2013

Bertemu Prof. Mustafa Ishak – Naib Canselor UUM (kanan sekali) bersama IM Jabar dan pegawai Bank Islam

Saya berpeluang berjumpa dengan Prof Dr. Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia merangkap Ketua Kluster Politik Majlis Professor Negara ketika mengiringi Imam Muda Jabar dan Bank Islam di sana.

Perjumpaan yang hanya sebentar itu sebenarnya memberi banyak pencerahan minda kepada saya. Mendengar sendiri idea daripada seorang Naib Canselor yang pastinya mempunyai banyak pengalaman mengurus dan berdepan dengan generasi Y yang semakin mencabar.

“Our Generation is going down”.

Itulah antara yang kami bincangkan. Melihat generasi “Y” yang serba canggih dan banyak tuntutannya. Saya juga seorang Mahasiswa dan anggota generasi muda ini, pastinya saya juga mengakui apa yang menjadi masalah kepada golongan pewaris bangsa di masa akan datang.

KEMUDAHAN SEMAKIN BAIK

Zaman sebelum merdeka dahulu bangsa kita orang-orang Melayu sangat sukar mendapat pendidikan yang terbaik. Bagi orang-orang Melayu yang melayakkan diri ke menara gading sudah begitu beruntung dan bilangan mereka sangat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah orang-orang Melayu ketika itu.

Selepas kita mendapat kemerdekaan, banyak agenda pendidikan dilaksanakan dan hasilnya begitu ramai anak-anak Melayu dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Universiti dibina di merata-rata tempat. Kolej Universiti, Politeknik, dan banyak lagi institusi pendidikan diwujudkan bagi menempatkan anak bangsa Malaysia untuk belajar.

Perkara ini dilaksanakan sebagai satu fardhu kifayah oleh kerajaan untuk memberi pendidikan kepada rakyatnya. Biasiswa juga diberikan kepada pelajar cemerlang yang layak menerimanya. Pinjaman PTPTN juga diwujudkan bagi membolehkan anak bangsa menampung kos pembiayaan pendidikan tinggi mereka, kepada mereka (peminjam) yang cemerlang, pinjaman PTPTN akan bertukar menjadi biasiswa!

Peningkatan demi peningkatan dalam pendidikan dan pelbagai bentuk kemudahan diberikan kepada para pelajar. Kemudahan pengangkutan, perpustakaan, potongan yuran pengajian (sebahagiaan kos ditanggung kerajaan) dan yang terbaru Baucer buku dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia.

Memang tidak dapat dinafikan keadaan sedia ada masih lagi tidak dapat menampung sepenuhnya beban yang ditanggung oleh pelajar terutamanya dari segi kos sara hidup. Tetapi sekurang-kurangnya kebanyakkan kos-kos yang lain sudah ditanggung oleh kerajaan.

BAGI BETIS NAK PEHA

“Ada antara pelajar-pelajar ini nak kami benarkan mereka bawa kenderaan sendiri. Kami bukan apa, kalau semua pelajar nak bawa kereta kat sini, kita kena adil untuk bagi semua pelajar hak bawa kenderaan, kat mana nak letak kereta kalau semua pelajar bawa kereta? Lagipun, Kami di UUM sudah sediakan bas untuk ambil pelajar dari kolej dan hantar mereka ke pintu kelas”, kata Prof. Mustafa Ishak.

“Kita juga dah dengar para pelajar yang mahukan pendidikan percuma sebab dah ada pihak yang offer mereka pendidikan percuma. Apa yang saya risau golongan pelajar seperti ini bukannya mahu belajar tetapi lebih kepada menuntut benda yang tidak perlu dituntut”, kata Naib Canselor yang sudah mentadbir UUM semenjak 2010.

Mendengar kata-kata Naib Canselor itu, saya berpendapat bahawa beliau bukan tidak mahu para pelajar mendapat kemudahan tetapi SIKAP yang ‘NAK SEMUA IBARAT SYURGA’ itulah yang menjadi kebimbangan beliau.

Sikap “Bagi Betis Nak Peha” sangat tidak elok kerana kita akan sentiasa berasa tidak puas hati dengan apa yang kita perolehi (tidak bersyukur). Tambahan pula sikap ini dipopularkan oleh pembangkang bagi mendapat laba politik daripada sikap ini menyebabkan para pelajar bersikap memberontak.

Saya pernah mendengar keluhan seorang pelajar yang mengatakan beliau hidup susah di Universiti. Katanya, wang tidak cukup untuk berbelanja, rumah sewa perlu dibayar dan macam-macam lagi yang perlu ditanggung.

Saya memahaminya, saya juga pernah merasai perit jerih menjadi seorang pelajar. Namun, kita harus menyedari bahawa pelajar tidak mempunyai pendapatan bulanan. Semuanya diberi atas ehsan kerajaan, PTPTN, wang saku daripada ibu bapa, yayasan pendidikan dan sebagainya. Jika nak berbelanja mewah seperti orang yang sudah bekerja, susahlah.

Ukurlah baju di badan sendiri, dahulu saya pernah juga makan Nasi Bujang berlauk telur goreng dan semangkuk sup. Dalam keadaan yang ‘tidak ada duit’ itu juga, kebanyakkan para pelajar mampu membeli telefon bimbit yang canggih, berbelanja di hujung minggu dengan menonton wayang dan sebagainya.

Kepada golongan pelajar, tumpukan kepada pelajaran. Kita tidak perlu meminta benda-benda yang tidak perlu diminta buat masa ini jika ianya bukan benar-benar mustahak. Belajarlah erti susah sebelum menerima kesenangan di hari kelak. Bacalah sejarah orang-orang dahulu dan para Ulama’ silap yang pergi menuntut ilmu beribu batu yang diuji 1000 kali lebih susah daripada kita.

Belajarlah menerusi mata hati, bukan hanya untuk lulus periksa sahaja.

Jika generasi muda sekarang sudah minta ‘bulan dan bintang’, bagaimana pula dengan generasi muda yang akan datang? Adakah mereka akan minta Sang Mentari pula?

Mungkin, generasi kita semakin mundur pemikirannya.

NOTA : Perjumpaan dengan NC UUM berlangsung pada tahun 2012. Hanya pada tahun 2013 artikel ini ditulis. Pendapat daripada Dato’ NC bukanlah bersifat formal, sekadar bual-bual ringkas sahaja.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 17 Jun 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);