browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Angkara asing: Apa yang Turki dan Malaysia boleh belajar?

Posted by on August 1, 2013

Oleh : Zaini Hassan (CUIT – Utusan Malaysia)

NOSTALGIA saya ke Istanbul, Turki tahun lalu masih jelas di fikiran. Ia adalah sebuah negara anugerah Allah Taala yang tiada tolok-bandingnya. Ia adalah tapak kegemilangan Islam ke seluruh pelosok dunia – ke China, Asia Tengah dan sebahagian Eropah.

Suku sakat orang-orang Turki juga merantau sehinggalah ke gugusan Melayu ini – ke nusantara Indonesia, Singapura dan Tanah Melayu. Datuk Moehamad Izat Emir, usahawan terkenal Malaysia juga adalah dua generasi keturunan dari Turki. Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein juga antara keturunannya.

Pendek kata semangat Othmaniah menjalar ke mana-mana. Semasa kunjungan saya ke Istanbul tahun lalu, saya cuba mempelajari semangat Hizmet, satu semangat kesukarelaan atau khidmat yang menjalar subur dalam hati nurani rakyat Turki.

Mereka juga adalah jurubina terkemuka dari zaman empayar Othmaniah sehinggalah ke hari ini. Di mana-mana mereka menjajah maka akan ditinggalkan binaan hebat berupa masjid-masjid.

Hari ini Turki sedang membina tiga projek ikonik terbesarnya yang boleh menggugat geopolitik dan geoekonomi rantau Eropah. Projek-projek itu yang kini sedang berjalan berupaya menarik kening negara-negara Barat yang lain ke atas Turki.

Ketiga-tiga projek itu ialah Projek Terusan Istanbul, Projek Lapangan Terbang baru Istanbul dan Jambatan Gantung Ketiga Istanbul yang menghubungkan Eropah dan Asia.

Ketiga-tiga projek ini dijangka menjana pendapatan Turki sebanyak AS$300 bilion setahun. Pada masa ini, dalam masa kebanyakan negara Eropah dalam Kesatuan Eropah (EU) sedang menjunam, ekonomi Turki berdiri teguh, di belakang Jerman. Dari ekonomi ke-16 terbesar di dunia kini ia berada di tangga ke-12.

Ia juga berjaya melangsaikan hutangnya dengan Bank Dunia, semasa negara-negara jirannya sedang menggelupur. Banyak negara cemburu dengan kejayaannya.

Tetapi sejak beberapa bulan ini, Turki dilanda kegawatan politik. Berlaku kegelisahan sosial (social unrest) di negara itu. Semasa negara itu sedang melonjak naik, tiba-tiba berlaku huru-hara besar ala Arab Spring! Apa sudah jadi?

Seperti juga di Dataran Tahrir, Mesir, di Turki ia berlaku di Taman Gezi terletak berhampiran Dataran Taksim, Istanbul. Ia menjadi lokasi demonstrasi bantahan terhadap Perdana Menteri berhaluan Islam, Recep Tayyip Erdogan, sejak 28 Mei sehingga awal Julai ini.

Media asing mengecap Erdogan sebagai diktator dan kuku besi, sama seperti kecaman terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad di zaman kegemilangannya.

Beratus-ratus polis antirusuhan bersama trak meriam air dikerah meleraikan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan meminta Erdogan meletak jawatan.

“Ini baru permulaan dan perjuangan akan diteruskan,” kata penunjuk perasaan yang turut melemparkan bunga teluki berwarna merah sebagai memperingati mangsa yang terbunuh, cedera dan ditahan dalam bantahan sebelum ini.

Menurut laporan akhbar, anggota polis antirusuhan yang dikerah menangkap penunjuk perasaan, turut dilontar gelas dan botol oleh sekumpulan pelanggan di kebanyakan bar di lokasi tersebut. Malah, ada individu bertindak melontar kerusi dan meja di jalan-jalan, memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Bantahan besar-besaran sebelum ini mengejutkan Turki dan menaikkan kemarahan Erdogan. Negara-negara Barat turut mengutuk Turki mengendalikan krisis itu ekoran tindakan kekerasan yang digunakan terhadap penunjuk perasaan.

Krisis di negara ini bermula apabila sekumpulan kecil penunjuk perasaan berkempen untuk menyelamatkan 600 batang pokok di Taman Gezi daripada ditebang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Hujung minggu lepas saya sempat berbuka puasa dengan beberapa sahabat Turki di sebuah madrasah, Madrasah Serting, Jempol, Negeri Sembilan atas jemputan seorang rakan. Rakan itu mewakafkan kawasan itu dan membangunkan tanahnya untuk kerja dakwah.

Namun, semasa berada semeja saya bertanyakan apa cerita di sana (Turki).Kisah-kisah yang diceritakan oleh sahabat-sahabat Turki itu ternyata cukup menarik untuk dikongsi.Ia seakan-akan apa yang berlaku di tanah air kita sendiri. Ia adalah cubaan pihak-pihak luar untuk melumpuhkan dan menjahanamkan ekonomi negara Islam yang sedang pesat membangun.

“Apa yang dihadapi oleh Malaysia dan Turki adalah sama. Mereka mahu menjajah negara kita semula. Mahu merosakkan kemakmuran yang sedang dibina. Ia adalah satu neokolonisasi ekonomi terhadap negara-negara kita.”

Tak sempat bercakap banyak di Serting Hilir, saya mengunjungi ke pejabat sahabat saya itu di Kuala Lumpur semalam untuk berbincang lagi mengenai senario kekacauan di negaranya.

Sahabat saya ini bukan diplomat di kedutaan, tetapi ahli perniagaan yang terbabit dalam aktiviti busines dan antara-budaya Malaysia-Turki. Dan lebih daripada itu, beliau amat sayangkan tanah airnya sendiri.

Begini ceritanya. “Ia adalah fakta bukan rekaan,” tegasnya.

Ia berlaku secara amat terancang. Isu tebang pokok di taman itu hanyalah alasan. Pokok itu bukan ditebang, tetapi dialihkan dan akan ditanam semula.

Namun, kata sahabat saya itu apa yang berlaku 10 hari sebelum isu pokok itu lebih memeranjatkan lagi.Sebuah stesen televisyen satelit terkemuka dunia berpangkalan di Barat telah pun memasang kameranya menghadap ke taman itu.

Hairan bukan? Mengapa mereka meletakkan perkakasan mereka di situ awal-awal, tanya sahabat saya itu?

Mengapa pula sebuah hotel terkemuka di Istanbul yang dipunyai oleh bukan Islam Turki dan dengan pegangan saham luar negara telah bersiap sedia menyediakan kemudahan, seolah-oleh akan berlaku perang saudara. Kira-kira 2,000 katil lipat telah tersedia ditempatkan di bawah hotel itu. Bekalan ubat-ubatan juga telah disediakan.

Semasa di Istanbul, sahabat saya itu berkata beliau bertemu dengan seorang kawannya, penganut ajaran Alevi, satu mazhab terkeluar dari mazhab Islam seakan-akan Syiah, yang terbabit dalam demonstrasi itu. Kawannya itu berkata dia menerima wang tunai baru berjumlah 200 Lira untuk terlibat dalam demonstrasi itu.

Mereka tinggal percuma di hotel, dibekalkan dengan bir tidak terhad serta wanita-wanita untuk berhibur.Sebanyak 10,000 bekalan makanan dimasak di sebuah universiti swasta terkemuka milik bukan Islam bagi dibekalkan kepada pendemonstrasi.

Kata sahabat saya itu lagi, wanita-wanita bertudung menjadi mangsa kekasaran — hanya kerana mereka mahu menaikkan perasaan marah kepada penganut agama Islam supaya bertempur.

“Walaupun jumlah perusuh adalah kecil dan tidak mendapat sokongan keseluruhan rakyat Turki, tetapi kesannya cukup hebat.

“Begitulah apa yang cuba mereka lakukan di Malaysia tempoh hari.”

Penggunaan media sosial melalui facebook dan twitter cukup hebat dengan menggambarkan kezaliman pihak keselamatan.

Namun kini, katanya baru terbukti banyak gambar-gambar kezaliman itu adalah palsu dan diambil daripada imej-imej yang berlaku di Syria dan tempat-tempat lain.

Katanya, kebanyakan yang terbabit dalam demonstrasi itu adalah daripada sayap komunis, rakyat Turki bukan Islam dan pihak-pihak luar. Semasa demonstrasi itu, dikesan perbelanjaan makanan dibayar menggunakan kad kredit dari sebuah negara asing. Wang-wang tunai juga datangnya dari bank berkepentingan asing.

Katanya, walaupun demonstrasi itu sudah reda, ia masih belum berakhir. Laporan terkini mendedahkan sebanyak 12 negara terbabit secara langsung berpihak dengan pelobi-pelobi dari beberapa negara Barat dan yahudi yang menyokong pendemonstrasi itu. Sebanyak 13 negara lagi terbabit secara tidak langsung.

Modus operandi demonstrasi di negara itu dan perancangan mereka adalah sama dengan di Malaysia.

Kata sahabat saya lagi: Tiga projek besar ikonik itu juga menjadi punca kepada huru-hara itu, angkara pihak asing.

Pembinaan lapangan terbang terbesar dengan kapasiti 60 juta penumpang setahun itu akan menggugat lapangan terbang terbesar Eropah yang lain. Lapangan terbang baru Turki bakal menjadi hab untuk penerbangan ke timur-barat-utara dan selatan. Kini Turkish Airlines adalah pesaing hebat dengan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa.

Pembinaan terusan baru – merentas Laut Hitam dan Laut Marmara itu menggantikan Selat Bosphorus, membolehkan Turki mengaut keuntungan yang besar daripada laluan perkapalan. (Lihat gambaran google imej: The Istanbul Canal Project)

Terusan baru itu adalah seakan-akan cadangan pembinaan Terusan Segenting Kra atau Terusan Thai antara Thailand dan Semenanjung Malaysia. Ia akan mengalihkan laluan perkapalan ke terusan itu daripada Selat Melaka melalui Singapura.

Menurut sejarah, tiada banyak yang boleh kerajaan Turki lakukan untuk mengawal selia Selat Bosphorus kerana ia tertakluk di bawah Perjanjian Montreux Julai 1936.

Projek ketiga ialah Projek Jambatan Ketiga merentasi Selat Bosphorus yang memisahkan Eropah dan Asia. Jambatan gantung yang dikenali sebagai Jambatan Yavuz Sultan Selim itu akan mempunyai empat laluan lebuh raya dan satu landasan kereta api. Jambatan ini juga akan membawa kemakmuran ekonomi yang besar kepada Turki. Ia terletak di antara Garipçe di Sar?yer dalam kawasan Eropah dan Poyrazköy di Beykoz dalam kawasan Asia.

“Projek-projek ini juga cukup-cukup membimbangkan negara-negara Barat,” kata sahabat saya itu.

Bagi saya kejayaan Turki kini adalah petanda gelombang semula semangat kegemilangan Othmaniah, yang ditakuti banyak pihak. Semangat itu kini bangkit semula.

Namun, jika di Malaysia usaha untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia atas nama ‘ini kalilah’ dan ‘now or never’ masih gagal — di Turki, Allah masih turut bersama-samanya.

“Oleh itu, jagalah apa yang kita ada ini baik-baik. Nasihat saya ialah kita kena perkuatkan ekonomi kita,” kata sahabat itu dalam pertemuan kami, pagi semalam.

Saya cukup bersetuju dengan beliau. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna! Jika kita jatuh, yang untung kelak siapa ya?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130724/re_06/Angkara-asing-Apa-yang-Turki-dan-Malaysia-boleh-belajar#ixzz2ahktinXP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);