browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Keji VIP, Bagaimana Pula Jika Kita Jadi VIP?

Posted by on August 18, 2013

1. Saya sering mendengar keluhan sesetengah orang ketika berasak-asak dalam program yang dihadiri oleh pemimpin negara seperti Rumah Terbuka. Katanya ; “Kenapa kita kena beratur ambil makanan? Kenapa VIP ada tempat khas mereka? Kata dahulukan rakyat!”.

2. Saya berasa khuatir orang seperti ini akan rosak di kemudian hari. Mengapa? Kerana sewaktu menjadi rakyat biasa pun sudah menuntut hak yang bukan haknya, angkuh pula dengan kata-katanya, bagaimana pula jika ditakdirkan Allah menjadi VIP di suatu hari nanti?

3. Berpijaklah di bumi yang nyata dan tanya satu soalan kepada diri kamu sendiri, “Siapa Aku?”.

4. Itulah lumrah dunia. Walaupun kita sama darjat di sisi Allah, yang mana Allah tidak memandang kepada rupa paras kita, kekayaan kita, keturunan kita, pangkat kita, tetapi kita berlainan darjat di antara satu sama lain. Anak dengan mak ayah pun berlainan darjat. Bos dan pekerja pun mempunyai darjat masing-masing. Imam dan Makmum pun ada darjat yang berlainan. Kita tidak boleh samakan diri kita dengan orang lain hanya dengan menggunakan alasan “ADIL” atau “KITA SAMA DI SISI ALLAH”. Itu tidak kena.

5. Mari kita lihat kisah di Hari Kebangkitan, manusia akan berkumpul di Padang Mahsyar. Berpanas dan lemas dengan peluh masing-masing. Umat Nabi Muhammad SAW diberi keutamaan oleh Allah untuk dihisab terlebih dahulu daripada umat Nabi yang lain. Kita juga belajar tentang ada golongan “VIP” di Padang Mahsyar yang terdiri daripada 7 golongan yang dilindungi oleh Allah daripada seksa di Padang Mahsyar. Mereka ini mendapat akses yang cepat untuk menghadap Allah dengan melintas Titian Sirat sepantas kilat dan akhirnya masuk ke syurga terlebih dahulu daripada manusia yang lain.

6. Itulah yang membezakan darjat seseorang. Pasti ada keistimewaan yang tersendiri. Di dunia, ada golongan yang dipanggil “Very Important Person”  atau dikenali sebagai VIP. Mungkin mereka terdiri daripada Sultan, Pemimpin Negara, Pemimpin Masyarakat, Penjawat Awam Kelas A, Penceramah, Sanak Saudara, Kaum Kerabat, dan golongan yang boleh dikategorikan sebagai VIP.

7. Mereka mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Itulah yang harus kita fahami. Kita tidak perlu mempertikai mengapa mereka makan di meja khas sedangkan orang biasa makan perlu beratur. VIP duduk di kerusi empuk sedangkan orang biasa duduk di kerusi plastik. Itulah kelebihan mereka dan itu hak mereka, mengapa kita perlu mempertikaikannya?

8. Semasa di sekolah, saya ada seorang rakan yang sering mempertikai mengapa guru-guru makan di meja khas tetapi para pelajar harus beratur mengambil makanan di Dewan Makan. Beliau mengomel kepada kawan-kawan tetapi tidaklah bercakap terus kepada guru terhadap ketidakpuashatian beliau tentang perkara itu. Tahun terakhir persekolahan beliau dilantik menjadi Pengawas, maklumlah apabila ada program di sekolah, barisan Pengawas akan mendapat meja khas bagi menjamu selera. Saya hanya tersenyum sahaja melihat beliau dengan gembiranya makan di situ tanpa mempedulikan rakan-rakan lain yang terpaksa beratur untuk mengambil makanan seperti yang dilalui olehnya dahulu.

9. Ke mana pergi perjuangannya untuk memberi keadilan kepada semua orang? Iaitu mahu melihat semua orang tidak kira apa jawatan dan darjat untuk mengambil makanan dengan cara yang sama? Mengapa beliau berubah? Apabila sudah mendapat keistimewaan yang sebenarnya diimpikannya itu (pada mulanya mengeji keistimewaan orang lain), beliau sudah lupa dengan nasibnya dulu atau lebih teruk lagi, bersifat angkuh dengan kelebihannya itu.

10. Oleh kerana itulah kita harus faham dengan situasi. Kita jangan terus menghukum dan mengeji seseorang hanya kerana kita tidak mendapat kelebihan itu. Bertindaklah mengikut situasi dan darjat kita, pastinya hati kita akan tenang.

11. Kita ini orang biasa, ambil makanan kenalah beratur dan bersesak-sesak. Kalau nak sangat makan tempat selesa, kejarlah untuk menjadi VIP jika anda tidak dapat menerima kedudukan anda sekarang!

12. Usah cemburu dengan kelebihan orang lain, menjadi VIP di Padang Mahsyar adalah kekal daripada VIP di dunia. Sedarlah diri itu sikit. Kita serupa sahaja.

13. Teringat dengan kata-kata Abraham Lincoln ; “Jangan mengkritik mereka, mereka hanya bertindak dengan cara sama seperti yang kita lakukan apabila kita berada dalam situasi yang sama”.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 18 Ogos 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);