browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Pesanan Dr Mahathir Untuk UMNO

Posted by on August 18, 2013

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO yang bertanding bukan seperti UMNO yang ditubuhkan pada 1946. Sebenarnya UMNO 2013 amat berbeza daripada UMNO dahulu.

UMNO bukan lagi dihormati oleh orang Melayu. Kesetiaan dan sokongan orang Melayu kepada parti yang berjaya memerdekakan negara, berjaya membangunkan negara, berjaya menebus balik maruah orang Melayu, bukan sahaja sudah hilang tetapi kerap dipandang hina oleh mereka dan juga bangsa lain, terutama dalam kalangan generasi muda.

Kenapakah? Sebabnya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada perjuangan asalnya, perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. UMNO dianggap sebagai parti yang berjuang hanya untuk orang tertentu dalam parti, orang yang menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya, berjuang untuk diri sendiri, untuk memperkayakan diri, untuk jawatan dan gelaran, untuk kuasa yang boleh disalah guna oleh mereka; menjadi Yang Berhormat (YB) dan Yang Amat Berhormat (YAB).

Ahli berguna hanya untuk sokong supaya individu tertentu ini mengisi ketamakan mereka. Untuk ini ahli disogok dengan wang dan bermacam-macam lagi sogokan seperti lawatan ke luar negara dan mengerjakan umrah. Dengan ini seluruh ahli UMNO terlibat dengan rasuah, iaitu menjual undi mereka dengan duit.

Tidak ada lagi semangat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. Dan tidak pun ada kesetiaan kepada UMNO sendiri kerana kesetiaan sudah beralih daripada parti kepada individu tertentu. Walaupun sedar sikap dan tindakan ahli serta pemimpin akan menghakis kekuatan parti dan sokongan kepadanya oleh orang ramai dan akan kalah dalam pilihan raya dan tidak lagi akan berkuasa, tetapi individu tertentu lebih diutamakan daripada parti. Biarlah parti kalah asalkan kepentingan orang tertentu ini dilayani. Maka jadilah budaya cantas mencantas. Kalau tak dapat, rosakkan sahaja parti dan masa depan bangsa dan negara. Dan siapa juga yang dicalon, ada sahaja yang tidak dicalon akan cantas. Oleh itu calon UMNO semua akan kalah termasuk yang winnable, kononnya boleh menang pun akan kalah juga.

Hari ini siapa yang mendapat jawatan dalam UMNO, yang menjadi ketua cawangan, ketua bahagian akan dapat habuan, akan jadi ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diberi elaun, mendapat kontrak dan bagi ketua bahagian, kemungkinan jadi calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat. Kalau menang boleh desak untuk menjadi Menteri. Jika tidak dapat, apabila parti menang kecil, sanggup ugut keluar parti. Sesungguhnya menjadi ketua di peringkat apa pun dalam UMNO amat menguntungkan.

Justeru tentukan tiada siapa boleh cabar ketua yang sedia ada. Ini dibuat dengan tidak membenarkan sesiapa yang lebih terpelajar atau lebih berkaliber masuk UMNO. Permohonan mereka dihilangkan, ditolak atau diketepikan. Dengan itu tiada sesiapa yang lebih layak daripada ketua cawangan atau bahagian dapat menjadi ahli UMNO. Yang dapat hanyalah mereka yang tidak mampu mencabar ketua cawangan atau bahagian.

Dengan tindakan ini berkuranglah ahli yang berbakat, berkaliber dalam UMNO. Hendak tidak hendak mereka yang berkebolehan terpaksa menyertai parti-parti lawan yang sedia menerima mereka dan mencalonkan mereka. Maka calon-calon UMNO pun dilihat kurang layak daripada calon parti lawan dan besar kemungkinan dikalahkan.

Sementara itu apabila ketua cawangan atau bahagian sakit atau meninggal dunia, penggantinya tentulah kurang kelayakan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan UMNO merosot sehingga sukar untuk mencalonkan sesiapa yang berkaliber, yang boleh jadi Menteri, atau Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Ahli dan pemimpin UMNO di mana-mana sering mengeluh bahawa sudah begitu lama mereka berada dalam UMNO, berpuluh-puluh tahun tetapi tidak dapat apa-apa pun, tidak dapat jadi calon, tidak jadi YB atau YAB, tidak dapat kontrak dan bermacam-macam lagi yang mereka idamkan bagi diri sendiri.

Apakah UMNO ditubuh untuk memberi sesuatu secara langsung kepada setiap seorang daripada ahlinya? Jika Perlembagaan UMNO disemak pemberian kepada setiap seorang ahli tidak dijanjikan. UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air; untuk menebus maruah orang Melayu, maruah bangsa, kesucian Islam dan kehormatan terhadap negara oleh dunia.

Dan dunia akui bahawa semua ini telah dilaksanakan oleh UMNO apabila dipilih untuk mengetuai kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lebih setengah abad dahulu. UMNO telah menunaikan lebih daripada janjinya kepada bangsa, agama dan negara.

Dalam proses pemerintahan terpaksalah diadakan jawatan-jawatan bagi sebilangan daripada ahli. Tak mungkin UMNO bergerak untuk menjayakan janji-janjinya jika ia tidak memiliki pemimpin dan pegawai yang bekerja sepenuh masa atau separuh masa.

Untuk ini diadakan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan seterusnya sehingga ke ketua bahagian dan cawangan. Tugas mereka ialah bagi menguruskan UMNO sebagai parti politik, supaya menjayakan matlamat UMNO ditubuh.

Dan di antara mereka pula ada yang menjadi calon dalam pilihan raya. Yang menang di antara calon ini mungkin dilantik menjadi ahli Exco DUN, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Semua mereka ini tentulah dibayar gaji iaitu mendapat habuan daripada penyertaan mereka dalam UMNO.

Mereka lebih bernasib baik daripada ahli-ahli biasa UMNO. Tetapi ini tidak bermakna ahli biasa tidak dapat apa-apa langsung. Kejayaan pemerintahan yang diterajui UMNO tetap memberi nikmat kepada semua ahli. Nikmat ini termasuk khidmat kerajaan yang cekap, khidmat kesihatan, pelajaran, biasiswa untuk belajar di dalam dan di luar negara, pembinaan jalan kampung, pelbagai jenis latihan, Mara, saham PNB, tabung-tabung pinjaman, peluang pekerjaan, peluang perniagaan, kontrak dan berpuluh lagi nikmat yang diterima oleh setiap ahli UMNO.

Tidak ada siapa yang boleh berkata dia tidak dapat apa pun bagi diri sendiri. Sedikit sebanyak setiap ahli UMNO, setiap penyokong UMNO yang bukan ahli mendapat sesuatu. Benar yang tidak sokong UMNO pun dapat, tetapi mereka Melayu dan janji UMNO ialah untuk bangsa Melayu, tidak untuk ahli UMNO sahaja.

Katakanlah UMNO tidak berjaya kerana tidak ada sokongan daripada ahli UMNO, bolehkan kita rasai nikmat-nikmat ini? Saya tidak fikir walau siapa pun yang memerintah maka nasib orang Melayu sama baik atau lebih baik. Kita lihat di negeri-negeri yang tidak diperintah oleh UMNO, keadaan orang Melayu lebih daif. Sedikit nikmat yang mereka kecapi datang dari Kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO.

Jika Kerajaan Pusat tidak diterajui oleh UMNO walaupun Melayu, mereka tidak gemar menolong Melayu kerana mereka terhutang budi kepada orang lain yang bukan Melayu kerana sokongan mereka dalam pilihan raya. Pengalaman orang Perak semasa diperintah oleh parti lawan boleh jadi contoh. Juga di Pulau Pinang, bahkan di Kelantan.

Jelas sekali bahawa setiap orang Melayu dan sudah tentu setiap orang UMNO mendapat sesuatu bagi diri mereka. Mereka mendapat bekalan api elektrik, bekalan air, jalan kampung dan jalan raya, rawatan apabila sakit, sekolah bagi anak, biasiswa ke universiti dalam dan luar negara, pekerjaan, peluang perniagaan, bantuan wang dan aneka jenis subsidi dan bermacam lagi nikmat. Jangan fikir ini memang begitu.

Benarkah mana-mana kerajaan pun akan mengadakan semua ini? Saya fikir tidak. Pergilah ke negara lain yang sama miskin seperti kita dahulu, yang sama dijajah dan sekarang merdeka, untuk melihat keadaan. Rakyat negara-negara ini masih miskin, masih tidak bersekolah, tidak berkemudahan, bahkan terpaksa berhijrah ke negara lain, termasuk ke Malaysia untuk mencari makan kerana kerajaan mereka tidak berjaya memajukan negara mereka dan membantu rakyat setelah merdeka.

Terimalah kenyataan yang sebenar dan bersyukurlah. Janganlah mengeluh kerana kononnya tak dapat apa-apa pun setelah menyokong UMNO begitu lama. Sesungguhnya mereka yang tahu bersyukur, Allah berjanji akan memberi lebih banyak nikmat. Insya-Allah, masa depan akan memperlihatkan giliran orang lain pula, mungkin giliran anak cucu kita jika pemerintahan oleh UMNO dapat diteruskan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130818/re_09/Pesanan-Dr-Mahathir-untuk-UMNO#ixzz2cJCXJ4tz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);