browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Syukurlah Malaysia Masih Aman

Posted by on August 16, 2013

1. “SYUKURLAH MALAYSIA MASIH AMAN”. Ayat ini adakalanya boleh menjadi ayat berterima kasih kepada Tuhan dan adakalanya sebuah sindiran.

2. Baru-baru ini saya berpeluang berbual dengan seorang bekas EXCO Kerajaan Negeri berkenaan isu keselamatan di Malaysia yang semakin hari semakin membimbangkan. Bekas wakil rakyat Barisan Nasional ini juga pernah ditahan di bawah ISA selama 4 hari kerana terlibat dalam Operasi Lalang 1987.

3. Katanya, pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat telah membebaskan seramai 2,600 orang banduan di Penjara Simpang Renggam yang terdiri daripada gangster dan orang yang dikategorikan sebagai “BERBAHAYA”. Di kawasan beliau sahaja terdapat 30 orang kepala samseng yang baru dilepaskan daripada penjara Simpang Renggam! Polis tahu mereka ada pistol, polis tahu mereka ada kumpulan kongsi gelap tetapi Polis sudah tidak ada kuasa untuk menangkap mereka selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah tersebut, mereka memang licik. Inilah fokus yang wajar dibincangkan.

4. Bayangkan, 2,600 gangster (boleh dikatakan ketua samseng) mempunyai 10 orang pengikut kanan, dan pengikut kanan mereka mempunyai 10 orang lagi pengikut bawahan. Malaysia sudah mempunyai lebih kurang 266,000 anggota kongsi gelap di kalangan orang awam!

5. Seperti yang biasa kita dengar, golongan kongsi gelap menjalankan aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh membuat perniagaan pinjaman wang yang popular dipanggil “AH LONG”. Mengikut siasatan awal yang dilakukan oleh pihak Polis, mangsa-mangsa yang ditembak baru-baru ini disyaki terlibat dengan sindiket kongsi gelap (belum lagi menjadi keputusan, tetapi siasatan awal). Mungkin sebagai peminjam Ah Long dan gagal membayar pinjaman mereka lantas Ah Long mengambil tindakan dengan menembak mereka. Mereka kini tidak kisah melakukan jenayah berat, apa perlu takut Kepala Samseng sudah kembali!

6. Pihak Polis mengatakan kes-kes tembakan yang berlaku tidak melibatkan orang awam secara rambang. Setiap kes tembakan ada motifnya yang tersendiri. Siasatan masih berjalan dan sama-samalah kita tunggu apakah perkembangan kes-kes tembakan yang berlaku di Malaysia kini.

7. Kerajaan menarik semula Ordinan Darurat dan Akta Hasutan disebabkan desakan pembangkang. Saya tidak pasti mengapa kerajaan begitu mengikut sahaja apa yang didesak pembangkang. Saya memerhatikan apa yang didesak oleh pembangkang hanyalah cadangan-cadangan yang hampas dan tidak berguna. Setiap apa yang mereka desakan itu adalah untuk menjamin kekuatan mereka dan ianya hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

8. Akta Hasutan didesak untuk dimansuhkan adalah untuk membolehkan pemimpin mereka berkata apa sahaja mengikut suka hati mereka. Kita tidak sedar, bahawa kesalahan menghasut bukan sahaja melibatkan ahli politik tetapi juga penjenayah dan terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah Kongsi Gelap dan Penyebar Ajaran Sesat.

9. Disebabkan nafsu politik pembangkang dan kerajaan tunduk dengan desakan itu, penjenayah yang sepatutnya tidak boleh dibiarkan berada dalam kalangan orang awam pun mendapat labanya sekali. Kesannya mereka dibebaskan disebabkan pembatalan akta yang melindungi rakyat daripada berdepan dengan ‘orang-orang bersalah’. Akhirnya apa yang berlaku, negara menjadi tidak tenteram disebabkan oleh anasir-anasir yang dibebaskan tadi. Sekarang, semua orang sudah menyesal.

10. Saya tidak pasti adakah pemimpin pembangkang bersorak riang apabila melihat negara menjadi tidak tenteram dan ianya dapat memberi kredit kepada mereka? Saya tahu pembangkang akan terus menyalahkan kerajaan kerana kelemahan kerajaan sendiri disebabkan oleh idea pembangkang yang hampas.

11. Kerajaan pimpinan DS Najib menjanjikan akan merangka sebuah akta yang dapat mengembalikan kuasa pihak berkuasa untuk menjalankan tugas. Saya harap-harap begitulah yang berlaku. Usah pedulikan apa yang dikatakan oleh pembangkang. Saya mahukan sebuah kerajaan yang membuat keputusan berdasarkan kemampuan dan kekuatan mereka sendiri disamping keputusan yang dibuat itu mestilah memberi manfaat kepada rakyat.

12. Pedulikan apa orang nak kata. Yang penting negara kita dapat terus aman seperti sedia kala. Syukurlah Negara Kita Masih Aman kata orang-orang pembangkang. Maklumlah, mereka boleh shopping setiap hari di Tesco dan Giant tanpa sekatan daripada mana-mana pihak. Tak gitu?

13. SELAMATKAN MALAYSIA, KEMBALIKAN “ISA”!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 16 Ogos 2013.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);