MALAYSIA PUN ADA JAWA-LAH!

Anak keturunan Jawa Malaysia menikmati Nasi Ambeng
Anak keturunan Jawa Malaysia menikmati Nasi Ambeng

Beberapa ketika, hubungan antara segelintir rakyat Malaysia dan Indonesia agak tegang. Bukan isu besar pun, hanya melibatkan isu-isu kecil seperti ; Tempe milik siapa? Popia milik siapa? Batik milik siapa?

Terasa macam perangai budak-budak pun ada bila berbicara tentang perkara ini.

Saya berbual dengan seorang kenalan saya dari Medan Indonesia bernama Nasir yang sudah berhijrah ke Malaysia. Berbual dengannya berkenaan hubungan antara kedua-dua negara serumpun ini sangat menarik.

Di Indonesia tidak seperti Malaysia, mereka hanya menggelarkan diri mereka Orang Indonesia tetapi masing-masing mengakui bahawa mereka adalah Jawa, Bugis, Batak, Melayu, Banjar dan sebagainya.

Katanya lagi, orang Indonesia memahami bahawa orang Melayu hanya mendiami kawasan di Riau. Mempunyai dialek pertuturan persis orang Melayu di Malaysia.

Saya menerangkan kepada beliau, semenjak Malaysia merdeka, semua etnik serumpun berkulit sawo matang dan secara lahiriah adalah penduduk asal Tanah Melayu, sudah dipanggil Melayu. Tidak kira kita Jawa, Bugis, Banjar, Pantai Timur atau Orang Utara sepakat dikenali sebagai Bangsa Melayu.

Satu perkara yang mengejutkan mengikut cerita Nasir, ramai di kalangan rakyat Indonesia yang berhijrah ke Malaysia tidak mengetahui bahawa di Malaysia mempunyai orang Melayu yang berketurunan Jawa, Banjar dan sebagainya. Mereka hanya ingat Melayu di Malaysia hanya seperti Melayu di Riau yang tidak mempunyai budaya seperti Jawa dan etnik yang lain.

Tiba di sini baru mereka tahu bahawa adanya Nasi Ambeng, Tapai dan makanan budaya Jawa seperti tempe banyak terdapat di Malaysia kerana negara ini pun ada ramai rakyat berketurunan Jawa.

Diceritakan kepada saya tentang perkara itu, saya mula faham mengapa beberapa ketegangan berlaku. Puncanya kerana mereka tidak mengetahui keadaan sesuatu negara. Inilah hikmah Allah Taa’la menciptakan kita pelbagai kaum dan budaya supaya kita saling kenal mengenali.

Mungkin tiada rakyat Indonesia di Malaysia membuat demonstrasi menuntut hak terhadap pemilikan tempe kerana mereka sudah tahu tentang situasi di Malaysia. Andai mereka yang bingung dan suka mencetuskan ketegangan itu tahu perkara sebenar, mereka akan bersama-sama makan tempe di Malaysia.

Ketegangan ini juga mungkin sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan keadaan. Pihak media massa Indonesia juga terlalu terbuka sehingga tidak respek dengan negara lain. Malah sebenarnya ada agenda tersembunyi yang sengaja diadakan agar Malaysia dan Indonesia bergaduh. Dalangnya bukan sahaja dari Indonesia tetapi juga dari Malaysia. Kita harus bijak menangkis agenda ini.

☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆

Arwah nenek saya sendiri berasal dari Pulau Jawa. Beliau menetap di Tanah Melayu mungkin pada awal 1900 atau sebelumnya. Adalah menjadi kebiasaan orang-orang dulu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat kerana ketika itu tiada passport dan undang-undang antarabangsa yang menetapkan.

Indonesia mula sah terbentuk pada 1945 selepas mendapat kemerdekaan daripada Belanda. Malaysia pula mulai terbentuk pada 1963.

Sebelum penjajah mengamalkan dasar Pecah dan Perintah. Malaysia, Indonesia serta negara-negara di Nusantara tiada jurang memisahkan.

Ianya sama seperti orang Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur, tiada undang-undang perlu minta kebenaran untuk berjirah. Sama juga seperti kita melalui Lebuhraya Utara Selatan atau Lebuhraya Pantai Timur yang merentasi beberapa buah negeri tanpa perlu mengecop passport. Itulah gambaran orang dulu-dulu yang mana keluasan Malay Archipelago atau Benua Sunda menghubungkan segalanya.

Maka, tiada masalah perlu timbul akibat pertembungan budaya. Malaysia atau Indonesia tidak perlu bergaduh soal siapa pemilik kebudayaan tertentu kerana semuanya adalah satu rumpun yang mungkin sudah terpisah akibat perancangan penjajah.

Apa yang perlu dilakukan adalah menghubungkan kebudayaan serumpun, bukan mencari balah.

Bangkitlah Anak Venua. Ya, bangkitlah anak Benua Sunda yang terpisah.

Jamal Rafaie Jakiran
9 Mac 2015
Kuala Selangor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *