browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Pilih Hang Tuah Atau Hang Jebat?

Posted by on May 11, 2015

hang tuah jebat

Pada pandangan mata kasar dan kebiasaan gerakan politik dan masyarakat di dunia; gerakan gerila, demonstrasi jalanan, rapat umum, dan tangkapan ketua reformis oleh pihak berkuasa adalah satu ‘perjuangan tulen’.

Maka, tidak hairanlah jika ramai yang berkata bahawa Hang Jebat adalah benar kerana melawan pemerintah (Sultan Melaka). Mogok, membunuh dan cubaan merampas kuasa adalah lambang ‘perjuangan tulen’ Hang Jebat seperti yang dianuti oleh sesetengah golongan.

Al-Kisah Tuanku Sultan Melaka murka dengan Hang Tuah kerana dituduh bermukah dengan dayang istana yang juga kekasih Tuah bernama Melor. Sebenarnya, Hang Tuah telah terperangkap dengan permainan Dato’ Pateh Karma Wijaya yang cemburu dengan prestasi Tuah kerana disayang oleh Sultan berbanding Dato’-Dato’ yang lain.

Dengan perintah Sultan yang murka tanpa usul periksa, maka Tun Perak diarahkan untuk menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah. Namun, secara rahsia Tun Perak menyorok Hang Tuah di suatu tempat tersembunyi tanpa diketahui oleh Tuanku Sultan Melaka.

Hang Jebat, saudara paling rapat kepada Hang Tuah begitu marah dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Tuanku Sultan itu. Memang benar, siapa pun akan marah dengan tindakan bodoh mengikut nafsu yang dibuat oleh sang pemerintah. Seperti mana, keputusan-keputusan bodoh dan menjelekkan yang dibuat oleh sesetengah Menteri kabinet pada hari ini.

Akibat terlalu marah, Hang Jebat sanggup mengisytiharkan perang kepada Tuanku Sultan Melaka. Beliau mahu menjatuhkan takhta tuanku dengan membunuh Tuanku dan membunuh hulubalang-hulubalang istana yang pergi menyerang si Jebat atas perintah Sultan Melaka.

Ternyata, serangan hulubalang tidaklah setaraf dengan pendekar bertaraf Laksamana. Ditambah pula keris Taming Sari yang membawa kekebalan sukar untuk menumpas si Jebat yang memilikinya. Serangan Jebat kepada kerajaan Melaka telah menconteng arang ke muka Sultan dan Tuanku Sultan tidak berupaya untuk menewaskan Hang Jebat.

Tun Perak dalam berasa bersalah, telah memaklumkan bahawa Hang Tuah masih hidup kepada Tuanku Sultan untuk menyelamatkan keadaan. Atas kekesalan tidak melaksanakan tugasnya seperti yang diarahkan, Tun Perak takut Tuanku pula murka terhadapnya. Tetapi sebaliknya yang berlaku, Tuanku Sultan berterima kasih dan menitahkan supaya Hang Tuah dibawa pulang ke Melaka.

Bayangkan jika kita meletakkan diri sebagai Hang Tuah, apakah tindakan kita apabila mengadap orang yang menjatuhkan hukuman terhadap kita? Mengikut pemikiran biasa, pasti Hang Tuah berdendam dengan Tuanku Sultan dan Hang Tuah pasti berpadu dengan si Jebat untuk menjatuhkan kerajaan Melaka dengan membunuh Tuanku Sultan.

Tetapi tidak begitu. Hang Tuah terus mengikut perintah Sultan Melaka agar membunuh Hang Jebat yang durhaka. Adakah Tuah bodoh? Atau Tuah itu lurus bendul? Masakan seorang laksamana dan hebat selok belok persilatan serta peperangan tidak berupaya membunuh Tuanku Sultan dengan sekali tikaman?

Inilah yang jarang difikirkan oleh kita. Mengapa Tuah bersikap begitu? Akhirnya, Jebat berjaya ditewaskan dengan Jebat menyerah diri kepada Tuah. Pengorbanan dan kedurhakaan Jebat kepada Sultan disebabkan mahu menuntut bela dan menegakkan keadilan.

Tuah berasa bersalah. Dua orang yang dia sayang telah terkorban termasuk Melor yang telah dibunuh pengawal kerana Melor membunuh Pateh Karma Wijaya. Jebat dan Melor berkorban untuk Tuah yang mereka tahu bahawa Tuah difitnah.

Inilah dilema. Antara cinta, saudara dan kerajaan, yang mana satu perlu dipertahankan? Ditambah pula dengan pemimpin yang kurang menyelidiki setiap hukuman serta bertindak tidak adil kepada rakyatnya. Yang mana satu perlu kita memihak?

Si Jebat menuntut keadilan dan disebabkan itu mahu menjatuhkan pemerintah. Manakala si Tuah terus setia kepada Sultan kerana mempertahankan institusi kerajaan tetapi dalam masa yang sama Sultan telah menzalimi dirinya.

Jika si Jebat berjaya membunuh Sultan, pasti kerajaan Melaka goyang dan kuasa luar akan cuba menjatuhkan kerajaan Melaka. Apa pula kesannya kepada rakyat Melaka ketika itu? Mereka akan mudah dijajah oleh kuasa lain yang mengambil kesempatan terhadap ketidakstabilan politik di Melaka.

Dan si Tuah pula, beliau tahu Sultan zalim. Bertindak tanpa usul periksa sehingga menyebabkan saudaranya Jebat menuntut bela. Bayangkan jika Sultan tidak terpengaruh dengan fitnah dari Pateh Karma Wijaya, pastinya semua itu tak akan berlaku. Tetapi disebabkan setianya terhadap Raja yang mewakili rakyat, negeri dan kerajaan, beliau tetap teguh bersama Tuanku.

Inilah dilema kita di zaman ini. Pemerintah mungkin melakukan kesilapan dalam pentadbiran. Mungkin juga melakukan perkara keji dan menzalimi rakyat. Rakyat marah, saya juga marah. Tetapi prinsip Tuah dan Jebat, yang mana satu harus kita pilih?

Saya mempertahankan kerajaan bukan kerana saya redha terhadap perkara-perkara keji yang dilakukannya. Saya juga tahu, dalam kerajaan juga mempunyai watak-watak seperti Pateh Karma Wijaya dan pemimpin yang tanpa usul periksa seperti Sultan Melaka sehingga melahirkan ramainya watak Hang Jebat dalam negara.

Apakan daya, semangat Hang Tuah agak kurang diberi perhatian. Kini, saya cuba menulis kepada kalian tentang perkara ini maka fikirkanlah. Saya tahu ramai yang memilih Hang Jebat kerana Keadilan, tetapi memilih Tuah juga membawa keadilan. Kerana adil itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Menempuh mudarat yang kecil dengan membunuh Jebat atau menunggu mudarat yang lebih besar iaitu Melaka jatuh ke tangan yang lain.

Bukan mudah untuk menerima kerana dalam filem Hang Tuah terbitan tahun 1959, ayat terakhir diucapkan Hang Tuah (P. Ramlee) adalah ; “Siapakah yang benar? Jebatkah yang benar? Atau akukah yang benar?”.

Dilema.

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);