browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

CENDOL BAKAR PUNCANYA!

Posted by on June 2, 2015

image

Simpang Kg. Baru Assam Jawa Kuala Selangor dahulunya hanya ada sebuah stesen minyak. Stesen itu memang menjadi tumpuan penduduk mengepam minyak bagi kegunaan kenderaan mereka.

Betul-betul dekat simpang itu juga ada seorang pakcik menjual nanas potong. Selalunya tiap-tiap petang bapak saya gemar singgah untuk membeli nanas di gerai menjual buah-buahan itu. Setelah beberapa lama, masih kekal gerai buah yang kecil dan stesen minyak tadi. Hanya itu aktiviti ekonomi yang berjalan di Kg. Assam Jawa.

Kini, nama Kg. Assam Jawa sudah dikenali di seluruh negara. Kerap kali dokumentari berkenaan kawasan itu tersiar di dada akhbar atau di kaca televisyen. Ianya berkaitan tentang sebuah gerai Cendol berkonsep Drive Thru yang jarang-jarang dilihat di kawasan lain. Konsep Pandu Lalu selalunya sinonim dengan restoran makanan segera, di gerai cendol agak janggal untuk didengar. Ya, Cendol Bakar telah mencetuskannya.

Nama “Bakar” mengemparkan hati pelanggan. Benarkah ianya dibakar? Sebetulnya nama orang yang mencipta resipi cendol itu bernama Bakar. Pasti ramai berminat mahu melihat bagaimana Cendol itu dibakar! Tidak, kalau benar pun dibakar, hanya gula melakanya sahaja yang dibakar dan bukan dihidang secara panas-panas!

Walau apa pun resipinya, nama gerai itu telah berjaya melonjakkan nama Kg. Assam Jawa di mata masyarakat walaupun bagi sesetengah penduduk setempat, cendol bakar tidaklah sesedap mana berbanding cendol lain yang ada di Kuala Selangor. Setiap hujung minggu pasti jalan di kawasan itu sesak dengan kenderaan sehinggakan kami penduduk tempatan terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk ke mana-mana. Adakalanya langsung tak keluar rumah, apa tidaknya, mahu ke pekan Kuala Selangor yang hanya mengambil masa 10 minit sudah jadi 1 jam!

Disebabkan nama yang sudah dikenali dan terbukti mampu menarik ramai pelanggan ke kawasan itu. Timbullah bagai cendawan gerai-gerai lain menumpang berniaga. Wujud pula kedai Nasi Ayam di sebelahnya. Penjual rojak mengambil tempat, ada Aiskrim Goreng, Coconut Shake dan ada yang menjual Karipap Gergasi di tepi-tepi jalan untuk menumpang kesesakan manusia di situ. Lagi ramai orang, lagi banyak peluang untuk untung! Begitu juga dengan pelanggan ; lebih banyak pilihan makanan, lebih menarik!

Bukanlah saya di sini mahu komplen atau iri hati jauh sekali. Cumanya saya mengajak pembaca berfikir bagaimana masyarakat kita memerlukan PENCETUS dalam kehidupan seharian.

Mengambil contoh fenomena Cendol Bakar, sebelum itu bukan tidak ada aktiviti ekonomi di situ, cumanya hanya apabila Cendol Bakar berjaya menarik pelanggan dan popular, barulah ramai yang berani membuka perniagaan di situ tetapi tidak sebelum kewujudan Cendol Bakar.

Kita dapat menyorot kembali sirah Nabi berkenaan permintaam Nabi agar sahabat-sahabat baginda berkorban haiwan ternakan. Saranan itu nampak gagal apabila para Sahabat tidak ada pun yang berkorban. Isteri Nabi yang dicintainya, memberi cadangan agar Rasulullah S.A.W sendiri yang menyembelih haiwan ternakan untuk ibadah korban. Hanya apabila Nabi menyembelih haiwan, barulah para sahabat yang lain mengikut apa yang Nabi lakukan. Perkara ini boleh dicontohi oleh para pemimpin untuk memcetuskan sesuatu dasar yang baharu kepada rakyatnya, gunakan prinsip ; Kepimpinan Melalui Teladan.

Lihat juga bagaimana pencetus memarakkan tragedi Arab Spring yang melibatkan beberapa buah negara Arab dan menjatuhkan pemimpin-pemimpin dunia Arab yang terkenal seperti Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi. Ianya dicetuskan oleh seorang perevolusi jalanan bernama Mohamed Bouazizi di Tunisia yang bertindak membakar dirinya bagi menggerakkan Arab Spring sehingga berjangkit ke negara-negara serantau. Begitu juga di Malaysia, jika tiada yang berani merosakkan harta awam seperti kenderaan polis, perkara buruk itu tidak akan berlaku sewaktu demonstrasi.

Inilah pentingnya pencetus. Saya sudah memerhatikan bagaimana pentingnya pencetus dalam kehidupan orang-orang Melayu. Lihatlah bagaimana perniagaan minyak wangi yang dahulunya jarang diceburi oleh orang Melayu, apabila peniaga Melayu itu berjaya mencatatkan keuntungan besar, tiba-tiba ramai pula yang mahu menceburi perniagaan menjual minyak wangi. Ianya sama juga dengan perniagaan kosmetik dan makanan kesihatan. Setiap hari ada sahaja nama syarikat baharu yang kita dengar.

Ianya sama juga dengan bidang-bidang lain seperti muzik. Lihatlah bagaimana konsep busking mula mendapat tempat selepas Caliph Buskers popular menerusi Anugerah Juara Lagu, artis-artis yang tidak pernah mengadakan persembahan di jalanan pun sudah mula di jalanan. Padahal konsep ini dahulu dipandang sepi dan dianggap tidak popular oleh sesetengah artis atau selebriti. Begitu juga dengan filem, apabila filem seram kaut untung, semua pengarah buat filem seram. Kini, drama cinta dengan tajuk pelik-pelik mula menghiasi masyarakat apabila terbukti boleh tarik penonton!

Pencetus amat penting untuk perkara positif. Alangkah baiknya jika perkara-perkara positif dapat dijadikan fenomena seperti membudayakan ilmu, mengamalkan budaya yang baik, serta mengembangkan perniagaan dan ekonomi setempat. Namun, perkara baik di akhir zaman itu ibarat menggenggam bara api bak kata Nabi S.A.W tatkala fenomena negatif menjalar ke dalam masyarakat.

Orang ramai hanya akan buka mata dan mula bercakap apabila sesuatu perkara itu berjaya atau boleh buat untung. Ia juga diikut oleh kebanyakkan orang agar mereka tidak dituduh ketinggalan zaman.

Inilah kuasa pencetus dan propaganda. Gunakan sebaiknya.

Jamal Rafaie
Kuala Selangor

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

One Response to CENDOL BAKAR PUNCANYA!

  1. Alongxp

    Yes… setuju, tinggal lagi pencetus yang nak diikut tu adalah yang baik atau tidak je.

    Tak payah nak tengok jauh, bab makan je…. bila sorang dah bangun pergi ambil, berderetlah yang ikut, padahal makanan tu dah setengah jam terletak kat situ
    Alongxp´s last blog post ..Cara menyamar di internet

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

} window.setInterval("cycle1()",10000);