Bicara Siasah,  Kisah Teladan,  Motivasi,  Perspektif

Songkok, Nokia, Uber Dan Jatuh Bangun Kerajaan

Dalam sejarah dunia, sebuah kerajaan yang berkuasa beribu tahun pun akhirnya akan tumbang juga. Tidak kiralah kerajaan itu Islam ataupun bukan Islam. Kerajaan Nabi Sulaiman walaupun dipimpin oleh seorang Nabi kekasih Allah SWT, tidak kekal selamanya. Begitu juga kerajaan Babylon yang hebat, akhirnya Rajanya tumbang hanya kerana seekor nyamuk yang kecil.

Itulah yang mahu ditunjukkan oleh Allah SWT yang Maha Berkuasa dan kekal selama-lamanya. Satu per satu diceritakan di dalam Kalam Allah iaitu Al-Quran tentang jatuh bangun sesebuah kerajaan, semoga kita mengambil iktibar tentang hukum Allah SWT.

UMNO, diiktiraf sebagai sebuah parti politik demokrasi paling lama di dunia yang memerintah sebuah negara. Selepas menang sepanjang 13 penggal tanpa putus, akhirnya Allah SWT mentakdirkan parti ini tewas dalam perebutan kuasa bagi penggal ke 14 dalam sistem Pilihanraya di Malaysia. Soal apakah UMNO dan Barisan Nasional akan menang semula pada penggal mendatang atau lenyap buat selama-lamanya, hal itu tidak dapat dijawab lagi, hanya waktu yang akan memberikan jawapannya kepada kita. Mengapa soalan ini timbul adalah kerana pernah ada parti pemerintah asal yang kalah di sesebuah negara, mereka memenangi semula pilihanraya di negara mereka. Contoh terdekat adalah negara Jepun, parti Liberal Democratic Party (LDP), boleh baca sejarah jatuh bangun parti tersebut memerintah Jepun.

Politik adalah seni mentadbir. Selaras dengan perubahan manusia yang dinamik dan sukar dijangka, perubahan terhadap minat politik masyarakat akan berubah dari semasa ke semasa. Suasana politik ketika zaman penjajahan British pastinya tidak sama dengan zaman ini yang mana masyarakat sudah hidup lebih selesa berbanding dulu dan dipenuhi dengan budaya Hedonisme, Materialistik dan Individualistik.

Sesebuah institusi tidak selama-lamanya berjaya dengan struktur dan perjuangan yang sama. Sesebuah parti perlu berubah mengikut keadaan dan masa. Prinsip perjuangan mungkin sama, tetapi cara dan teknik sahaja yang perlu diubah untuk terus relevan sepanjang zaman. Bagi hal perubahan ini, UMNO sudah terlambat untuk berubah, sekurang-kurangnya terlambat untuk PRU14 yang lalu.

UMNO (sebagai contoh), dianggap oleh sebahagian generasi muda sebagai parti yang teruk. Maklum tahu, dalam setandan pisang tidak semuanya elok. Walaupun parti ini mempunyai sejarah jasa yang panjang, tetapi sifat biasa manusia sepanjang zaman suka memperingati perkara-perkara buruk yang berlaku berbanding perkara baik. Apa yang generasi muda ingat adalah tentang skandal pemimpin, kenaikan harga barang yang sebenarnya fenomena global, bising tentang cukai yang kononnya membebankan dalam masa yang sama negara lain pun mengenakan cukai lebih tinggi kepada rakyatnya.

Pendek kata, parti pembangkang berjaya menanamkan pemikiran negatif dalam benak fikiran rakyat terhadap negativiti kerajaan selama bertahun-tahun. Apabila strategik menanamkan propaganda buruk terhadap kerajaan sedia ada sudah berjaya, maka proses menukar kerajaan dalam sistem pilihanraya akan berjalan dengan mudah. Ketika itu, teranglah secara rasional dan fakta sekalipun, bentanglah prestasi kerajaan yang baik sekalipun, tetap tidak akan diterima oleh pengundi kerana “penyakit” negatif tadi sudah bersaka dalam diri. Hasilnya, memang benar BN berjaya ditumbangkan dengan cara itu.

BANGKIT SEMULA DARI KERUNTUHAN

Sebenarnya, apa yang sudah berlaku terlalu banyak hikmahnya terhadap orang-orang yang mahu berfikir dan mengambil iktibar. Bagi parti UMNO dan Barisan Nasional, Allah SWT sudah “menyelamatkan” mereka daripada bahana dan tanggungjawab berat untuk menjaga rakyat serupa zombi (berfikiran terlalu negatif) ini. Begitu juga, penolakan sebahagian pengundi disebabkan juga kerana kelemahan dan sikap yang mungkin tidak digemari orang ramai. Kita perlu sama-sama insafi dan memperbaiki diri.

Kini, tanggungjawab menjaga rakyat sudah diserahkan kepada Pakatan Harapan untuk menyempurnakan “harapan” yang telah dijanjikan sebelum ini. Walaupun saya percaya kerajaan PH ini dapat menunaikan beberapa janjinya dalam masa terdekat, tetapi saya juga percaya mereka juga sedang dalam keadaan tertekan untuk menunaikannya. Memanglah mudah membuat janji yang populis, tetapi sesuatu dasar yang populis dijangka tidak akan kekal lama dan akan menyebabkan perkara buruk berlaku kepada sistem negara suatu hari nanti. Maka, kerajaan PH ini juga berpotensi untuk jatuh awal jika itu berlaku.

Saya berpandangan, UMNO dan Barisan Nasional secara keseluruhannya perlukan Penjenamaan Semula, luar dan dalam. Dari segi nama perlu baru (jika perlu), struktur dan pendekatan perlu lebih segar. Jemputlah masuk pemimpin-pemimpin masyarakat yang ikhlas berjuang yang mungkin selama ini tidak berpeluang menyertai UMNO kerana sifat birokrasi dan Warlordnya. UMNO perlukan Badan Penasihat dan Pasukan Pemikir yang menjaga dan mengimbangkan gerak kerja para pemimpin agar tidak lari dari perjuangan asal.

Ini bukan tugas yang mudah. Perlukan banyak pengorbanan, kesetiaan ahli dan kebijaksanaan pemimpin. Berdoalah kepada Allah SWT akan memberikan sinar dan jalan keluar yang baik buat UMNO dan Barisan Nasional.

AMBIL IKTIBAR KEJATUHAN JENAMA LAMA

Telefon bimbit jenama Nokia hampir hilang dari ingatan pengguna. Sedangkan pengguna telefon pintar semakin bertambah tetapi mengapa Nokia gagal untuk bertahan dalam pasaran? Kerana mereka berasa selesa, tiada saingan, tidak berubah mengikut zaman dan berasa pengguna akan sentiasa setia bersama Nokia. Tetapi perkara itu tidak berlaku, jenama-jenama lain pula yang muncul dan mengambil tempat dalam pasaran telefon pintar. Ada siapa lagi yang menggunakan telefon Nokia?

Perasaan selesa juga adalah pembunuh dalam senyap. Suatu masa dahulu orang kata “Letak Songkok Boleh Menang” bagi calon-calon BN, tetapi tidak untuk zaman ini. Jika ada faktor X itu, ianya telah diambil alih oleh calon-calon PH yang tidak tahu dari mana munculnya, tiba-tiba bertanding boleh menang, itulah yang berlaku dalam PRU14 yang lalu. Kini, persaingan sangat sengit dan pengundi sudah mempunyai banyak pilihan berbanding dulu.

Begitu juga dengan kewujudan Uber dan GrabCar yang menjadi polemik dan masalah kepada pemandu-pemandu teksi. Penumpang lebih mempercayai Uber dan GrabCar kerana katanya lebih murah dan telus, kereta lebih selesa dan berteknologi. Penumpang serik dengan teksi yang digambarkan dan dimomokkan (bukan semua) sebagai menipu tidak menggunakan meter, kereta berbau dan lama, pemandunya kasar-kasar dan ada yang berkelakuan tidak senonoh dakwa mereka.

Begitulah dunia ini berjalan.

Penumpang hanya ingat teksi itu teruk, dikasari pemandu teksi yang jahat. Tanpa disedari, esoknya dia naik Grab, pemandu teksi yang jahat semalam sudah jadi pemandu Grab pula. Yang salah adalah jenis perkhidmatan keretanya, pemandu ok tak kisah siapa!

JAMAL RAFAIE
KUALA TERENGGANU
23 MEI 2018

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge