Bicara Siasah

Perlukah Ahli UMNO Ke PPBM?

Sumber : Google

1. Seorang kenalan saya berkata, orang Melayu perlu semuanya menyertai parti politik Melayu yang sedang berkuasa sebagai kerajaan untuk merealisasikan kepentingan orang-orang Melayu.

2. Saya sebenar dapat menghidu niat sebenarnya adalah bertujuan untuk mengajak seberapa ramai orang Melayu terutamanya ahli UMNO untuk menyertai PPBM.

3. Saya katakan kepadanya bahawa kita orang Melayu sudah perlu mengubah cara kita berfikir dalam berpolitik. Apakah tindakan melompat parti semata-mata mahu kekal berkuasa dan sentiasa menjadi kerajaan satu tindakan yang wajar? Bagi saya, bagi mereka yang mengejar kedudukan dan pangkat, serta mengejar kebendaan keduniaan amat sesuai berbuat sedemikian.

4. Kita perlu belajar dari cara orang Cina berpolitik. Bilangan orang Cina yang benar-benar menyertai parti politik sebagai ahli, saya rasa tidak terlalu ramai. Tetapi mengapa suara mereka berpengaruh sepanjang zaman?

5. DAP walaupun mendakwa mereka parti berbilang kaum dan memang benar ahli partinya berbilang kaum, tetapi sangat sinonim dengan perjuangan demi kepentingan kaum Cina di Malaysia. DAP juga tidak pernah menjadi parti pemerintah pusat sejak dari awal kemerdekaan Tanah Air sehinggalah mereka menang pada PRU14 yang lalu. Mereka kekal dengan perjuangan Malaysian Malaysia (Baca : Sebenarnya Untuk Satu Bangsa Sahaja) dari dulu hingga sekarang.

6. DAP tidak pula terhegeh-hegeh untuk menyertai kerajaan (lompat parti) hanya semata-mata mahu berkuasa dan menjalankan agenda mereka. Hal ini disebabkan kebijakan mereka berpolitik dengan wakil kaum mereka melalui MCA dan GERAKAN dalam komponen Barisan Nasional menjalankan peranan membawa suara orang Cina dari dalam kerajaan. Mereka ada wakil yang membawa suara yang sama (kepentingan kaum Cina) dari dalam dan di luar kerajaan.

7. Kerana itu anda tidak selalu mendengar (Baca : Mungkin Tiada Sangat) ahli-ahli MCA masuk DAP atau sebaliknya semata-mata mahu berkuasa. Kita juga tidak mendengar ahli mereka yang berjuta-juta, tetapi dalam Pilihanraya, kaum mereka dilihat bersatu padu dalam memilih mana-mana parti yang bersesuaian dalam satu-satu masa. Adakala kita dapat lihat, orang Cina memberi sokongan kuat kepada BN, adakala kepada selain BN, kerana mengikut keadaan semasa. Mereka tidak setia kepada satu-satu parti.

8. Sama ada anda perasan atau tidak, mengapa MCA senyap dan tidak langsung bersuara tentang isu pengiktirafan UEC oleh kerajaan PH ketika ini. Mengapa? Inilah kebijakan orang Cina berpolitik.

9. Saya faham bahawa PPBM sebenarnya begitu tertekan dengan desakan dalaman parti komponen Pakatan Harapan (PH) berikutan bilangan kerusi yang dimiliki mereka paling sedikit tetapi hanya diberi muka oleh pemimpin PH yang lain hanya kerana Tun Mahathir. PPBM perlu menunjukkan kekuatan kepada komponen PH bahawa mereka mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan orang-orang Melayu memandangkan sokongan terhadap PH oleh pengundi Melayu pada PRU14 yang lalu tidaklah begitu memberangsangkan. Oleh kerana itu, PPBM sedang giat merekrut dan mengajak ahli-ahli UMNO untuk menyertai mereka.

10. Saya fikir, PPBM tidak perlu tergopoh gapah mencari ahli yang ramai. PPBM hanya perlu bersuara lantang mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera selaku pemerintah hari ini. UMNO di pihak pembangkang pun akan turut menjalankan kerja-kerja mereka, PPBM pula dari dalam kerajaan. Namun kecewa saya lihat, PPBM pula sibuk menjadi Tukang Jawab kepada pemerintahan kerajaan ala-DAP dan mempertahankan pula dasar-dasar ke-DAP-an itu.

11. Harus diingat, sama ada UMNO atau PPBM, kedua-duanya hanya sekadar wadah perjuangan. Orang mahu melihat apa tindakan yang telah diperjuangkan. Hasilnya kita mahukan keuntungan untuk orang-orang Melayu dalam negara kita, negara yang asalnya adalah Tanah Melayu. Tiada gunanya berlawan parti mana yang paling ramai ahli tetapi akhirnya hanya menyebabkan orang kita semakin berpecah belah dan berburuk sangka.

12. Sejujurnya, kita harus merubah sikap dan cara kita berfikir tentang politik yang memberikan keuntungan kepada bangsa kita, tetapi dalam masa yang sama tidak pula menzalimi bangsa-bangsa lain di Malaysia. Jika kita mahu berubah. Mampukah? Dan perlukah bertukar parti?

HJ. JAMAL RAFAIE JAKIRAN
Kuala Terengganu
14 Julai 2018

Comments

comments

Powered by Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge