UMNO Menang Bukan Kerana Kuat

1. Tahniah buat UMNO kerana berjaya menambah jumlah kerusi Parlimen dalam PRU13. Dulu ada 79 kerusi dan sekarang sudah ada 88 kerusi Parlimen yang dimiliki oleh UMNO.

2. PAS pula hanya berpuas hati dengan 21 kerusi, merosot 2 kerusi daripada PRU sebelum ini.

3. Bilangan kerusi UMNO bertambah manakala bilangan kerusi PAS berkurang. Adakah ini bermakna UMNO semakin kuat dan PAS semakin lemah?

4. Secara jujurnya saya merasakan bahawa UMNO tidak kuat dan PAS tidaklah lemah seperti yang disangka. Fenomena ini berlaku adalah kerana orang-orang Melayu sudah tidak mempunyai pilihan untuk bergantung harap selain daripada bergantung kepada UMNO. Baik buruk UMNO, itu sahajalah pilihan mereka (bagi kebanyakkan orang Melayu).

5. UMNO bernasib baik dalam PRU13 disebabkan ‘undi terpaksa’ orang Melayu. Bayangkan jika ada sebuah lagi parti Melayu Islam diwujudkan, pastinya orang Melayu akan memilih parti itu kerana UMNO dilihat tidak begitu bermaya untuk terus melindungi orang-orang Melayu. Mereka tidak memilih PAS kerana mereka takut Islam akan tergugat disebabkan DAP. Siapa yang tidak kenal dengan DAP, parti ultra kiasu yang menolak Islam. DAP hanya berbaik dengan PAS kerana kepentingan politik sahaja, bukan kerana keikhlasan yang meninggi. Saya fikir jauh di sudut hati orang PAS, mereka tahu mereka digunakan DAP untuk kepentingan politik mereka.

6. Disebabkan kekhuatiran orang Melayu terhadap DAP, mereka menolak PAS kerana PAS bersekongkol dengan DAP. Saya percaya, jika PAS berjuang bersendirian dalam PRU13 yang lalu, nasib mereka akan lebih baik daripada apa yang mereka ada sekarang. PAS mempunyai jentera yang kuat dan bermotivasi, tetapi disebabkan prinsip semasa mereka, mereka ditolak.

7. UMNO dilihat lemah selepas era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO. Era Pak Lah begitu lemah dan begitu banyak isu yang melibatkan ahli keluarga, oleh itu beliau ditolak oleh ahli parti sendiri. Selepas itu era Najib Tun Razak, saya fikir beliau pula terlalu memenuhi apa sahaja yang diminta oleh kaum bukan Melayu dan tidak tegas dengan sikap pembangkang. Dasar kerajaan di era Najib Razak dilihat menghilangkan identiti Melayu dan memberi kesamarataan kepada kaum-kaum lain. Peruntukan yang diagih kebanyakkan berbentuk umum dan agenda Melayu/Bumiputera semakin sayup kedengaran. Orang Melayu berasa kecil hati, mereka merasakan bahawa hak istimewa orang Melayu semakin terhakis dek kerana kerajaan mungkin mahu memenuhi slogan 1Malaysia.

8. UMNO kekurangan pemimpin yang berkaliber. Hal ini kerana sesetengah pemimpin UMNO tidak memberi ruang kepada orang lain yang dirasakan lebih berbakat daripada pemimpin itu untuk menyertai UMNO. Mereka khuatir jika orang yang lebih berbakat daripadanya menyertai UMNO, orang itu akan menggugat kedudukan mereka dalam parti. Kebiasaannya orang yang lebih berbakat akan dipilih sebagai pemimpin. Akhirnya, UMNO akan semakin tidak berkualiti kerana pemimpin yang bakal menggantikan pemimpin yang sedia ada lebih tidak berbakat daripada pemimpin yang sedia ada.

9. UMNO juga gagal memberikan latihan yang kukuh kepada ahli UMNO khususnya kepada orang Muda. Orang Muda dilihat tidak mempunyai halatuju dalam perjuangan mereka dalam UMNO. Tidak tahu hujung pangkal dan mereka dibiarkan mencari arah sendiri. Saya khuatir, UMNO semakin tidak bermaya pada masa yang akan datang kerana tidak mempunyai pelapis yang berisi di dada mereka dengan erti perjuangan.

10. UMNO harus berubah. Parti ini sangat disayangi oleh orang-orang Melayu. Walaupun banyak isu dan perkara buruk yang melanda UMNO, itu adalah kelemahan individu-individu yang tamak di dalam UMNO. Ada orang yang masuk politik kerana perjuangan. Ada orang masuk politik kerana projek. Ada orang masuk politik sebab nak bangga dengan jawatan yang ada.

11. Masih ada ruang buat UMNO. Ahli-ahli harus bermuhasabah, terutamanya kepada pemimpin-pemimpin yang naik, atas sifat kepandaian mereka mengipas orang atasan. Bagi saya, pemimpin seperti ini hanya merosakkan UMNO. Apabila tidak lagi ada tempat di dalam UMNO, orang seperti ini akan masuk parti lawan dan bercerita tentang keburukan UMNO yang sebenarnya dilakukan oleh diri mereka sendiri semasa di dalam UMNO. Sebagai contohnya, Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhammad Taib. Siapa mereka semasa dalam UMNO dahulu?

12. Saya memerhatikan ramai anak muda yang masih mempunyai semangat yang kuat untuk memajukan orang Melayu tetapi mereka tidak mempunyai tempat dan ruang daripada UMNO. UMNO perlu ambil perhatian yang serius tentang hal ini. UMNO wajib berubah. Kepimpinan melalui teladan, InsyaAllah, akan dipermudahkan.

13. Jika UMNO masih tak nak berubah, saya khuatir dalam PRU ke 15 UMNO akan terus hilang kuasa. Percayalah.

Walallhua’lam.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 28 Julai 2013.

ORANG ISLAM TAK BOLEH MINUM AIR INI!

“Saya nak yang air ni Uncle”, saya meminta Uncle Gopal menuangkan air yang menjadi pilihan saya.

“Adik tak boleh minum air ni. Orang Islam haram minum air ni”, tegah Uncle Gopal.

Ketika itu saya masih kecil. Mama membawa saya ke jamuan perpisahan Bosnya yang bakal berpindah ke cawangan lain. Saya ketika itu berumur sekitar 5 tahun, apa yang ada dengan budak berumur 5 tahun itu yang baru mengenal dunia.

“Mama.. Air Root Beer tak boleh minum ke?”, saya bertanya kepada Mama kerana keliru.

“Eh.. Boleh la. Nanti Mama cakap kat Uncle Gopal”, Mama menenangkan saya.

Mama berkata kepada Uncle Gopal. “Gopal.. Ada dua ‘beer’ je yang orang Islam boleh minum. Ginger Beer dan Root Beer”.

“Ooo.. Macam itu ka? Ok-ok.. Mari sini adik, Uncle tuangkan air ni yer”, Uncle Gopal menuangkan air Root Beer di gelas saya sambil memujuk budak comel ini. Hehe..

Setelah berbelas tahun peristiwa ini berlaku, hari ini saya terfikir semula tentang apa yang tersirat dalam peristiwa ini. Ianya berkisah tentang iman dan prinsip hidup mukmin.

Walaupun Uncle Gopal bukan seorang Islam, tetapi beliau sangat menghormati kepercayaan dan peraturan agama lain. Beliau tahu ‘beer’ diharamkan oleh Islam untuk diminum oleh penganutnya dan beliau begitu menjaga peraturan itu walaupun beliau tidak mengetahui Root Beer boleh diminum oleh orang Islam.

Orang bukan Islam boleh ‘mengikut’ perintah Allah. Kita yang Islam ni bagaimana?

Continue reading