Mehnah Di Bumi Utara


“Ya Allah.. Dah gerak la!!”, saya berkata kepada teman.

Tren yang sepatutnya saya naiki pada pagi itu terus berlalu di hadapan mata saya. Lewat 1 minit sahaja sebelum ia bergerak. Tidak diduga, tren pada hari itu bergerak awal 5 minit dari masa yang dicatatkan pada pagi itu.

“Ya Allah.. Sayang tiket tu.. Macam mana ni?”, teman saya bertanya.

“Tak pe la, tak ada rezeki hari ini nak naik tren. Cari tiket bas pulak la”, saya memberi cadangan dan kami terus ke stesen bas di sebelah.

BACA SETERUSNYA>>

Pagi itu, perjalanan ke stesen keretapi Butterworth berjalan seperti biasa, mengikut rancangan kami akan dapat sampai tepat pada masanya. Saya menghantar motorsikal di kampus, sebelum itu berhenti mengisi minyak dahulu risau kalau-kalau tersadai di tepi jalan. Namun apa kan daya, nasib tidak menyebelahi saya dan saya percaya ada hikmah di sebaliknya.

Petang itu, dimaklumkan di berita bahawa sebuah tren mengangkut barang tergelincir di Guar Cempedak akibat cuaca yang terlalu panas yang menyebabkan landasan keretapi mengembang dan membengkok.


Kerja-kerja memperbaiki landasan dan mengalih tren 28 gerabak itu segera dijalankan. Akibatnya, perjalanan Kereta Api Antarabandar KTMB tergendala pada hari itu dan keesokan harinya. . Alhamdulillah.. Allah Maha Mengetahui, saya tidak terlibat dengan insiden itu.

DI STESEN BAS SEMENTARA BUTTERWORTH

“Pergi ke flatform nombor 28 ye. Tiketnya RM31 sahaja”, kata kakak penjual tiket Bas Super Nice.

“Terima kasih ye kak”, ucap saya kepada kakak penjual tiket bas. Saya terus menuju ke bas Super Nice di Flatform 28.


“Bang.. Betul ke ni bas pergi KL?” saya bertanya kepada pemandu bas.

“Emmm.. Ntah la. Nanti abang tanya bos”, jawab driver bas itu.

Saya kehairanan, mengapa pemandu bas tidak tahu ke mana destinasi basnya? Masya-Allah, bukankah dia yang akan memandu nanti? Ada juga pemandu seperti itu ya.

Saya perhatikan, hanya saya seorang sahaja orang Malaysia. Penumpang yang lain semuanya orang Bangla, Nepal, dan Indon. Saya bagai berada di luar negara pula. Asing di bumi sendiri. Mungkin mereka mahu ber’cuti’ di Kuala Lumpur kot, seperti tahun-tahun sebelum ini, KL ‘diserang’ pendatang asing sewaktu musim perayaan.

“Bang.. Bas ni berhenti kat mana ye? Hentian Pudu ke Hentian Duta?” saya bertanya untuk mendapatkan maklumat. Untuk dimaklumkan kepada Bapak saya.

“HENTIAN DUTAAA!!” abang itu menengking saya. Mengapa harus menengking pelanggan? Saya bertanya dengan penuh hikmah dan lemah lembut. Mungkin marahnya dengan karenah bangla-bangla barangkali. Sebelum saya bertanya, beliau baru saja memarahi seorang Mat Bangla kerana terlupa tiketnya diletakkan di mana.

Mungkin kerana tiada budi bahasa, perniagaan bumiputera kita kurang maju. MUNGKIN!! Itu yang saya perhatikan.

KISAH PENUMPANG SEBELAH

“Nama U sapa, nak turun KL ke?” saya bertanya kepada teman sebelah.

“Saya Misdur, saya Bangla. 1st Time pergi KL”, jawab Misdur.

“U sudah berapa lama kat sini?” saya bertanya lagi. Sengaja menghidupkan keadaan mesra di dalam bas yang ‘sunyi’ itu.

“Saya sudah kerja 2 tahun setengah. Kerja itu Bagan Ajam. Kerja dengan ituuu Cina. Kedai jual kereta. Bos sudah bagi cuti satu minggu. Jadi.. Saya jalan-jalan KL la”, terang Misdur.

Bas berhenti di Hentian Sebelah Simpang Pulai.

Penumpang turun untuk berehat dan buang air di tandas berdekatan. Saya segera naik ke dalam bas kerana risau ditinggalkan bas seperti ditinggalkan tren tadi. Setelah lama bas berhenti, tiba masanya ia bergerak, Misdur belum naik bas lagi. Tiba-tiba dia berlari dari Petronas sambil membawa beg plastik dan meluru naik ke dalam bas.

“Nah.. Ini U punya”, kata Misdur sambil menghulurkan sebuku roti dan setin Red Bull.

“Ya Allah.. Susah-susah je”, saya mengambilnya dengan rasa serba-salah dan terharu.

Saya berasa bersalah ketika itu. Mengapa tidak saya yang membelinya? Mungkin itu cara Allah memberi hikmah kepada saya, kita sangat jarang MEMBERI. Insan yang ‘dipandang rendah’ oleh kebanyakan masyarakat itu lebih berhati mulia daripada kita. Walaupun hidup susah, mereka tetap memberi, kerana memberi itu satu kebahagiaan. Saya mengambil iktibar. Astaghfirullah..

HENTIAN PUDU ATAU HENTIAN DUTA?

“Silap sebut kot tadi. Kami berhenti kat Hentian Pudu je”, kata Pemandu Bas.

“Masya-Allah.. Bahana marah, kata-kata hilang punca, lidah kelu salah bicara”, saya bermonolog di dalam hati.

Hentian Duta

ATAU

Hentian Puduraya?

Kesalahan menyebut Hentian Pudu kepada Hentian Duta, menyebabkan rancangan saya sedikit terganggu. Manakan tidak terganggu, Bapak menunggu saya di Hentian Duta, saya pula turun di Hentian Puduraya. Mujur KL tidak jam kerana cuti raya Cina, Bapak sampai dalam 5 minit sahaja. Tetapi tetap menyusahkannya.

Pelbagai ujian sepanjang perjalanan pulang. Ketinggalan tren, ditengking pemandu bas, tersalah maklumat destinasi bas. Mungkin itu sedikit sahaja ujian bagi saya apabila memikirkan insan lain yang lebih mencabar ujiannya.

Saya berdoa supaya dipermudahkan perjalanan, tetapi sebelum Allah SWT memakbulkannya, Dia mahu menguji saya dengan ujian ini untuk saya mengambil hikmah atas masalah ini. Benar Ya Allah.. Kami merancang, Engkau juga merancang, tetapi perancangan Engkau mengatasi segala-galanya. ALLAH MAHA MERANCANG DAN MENGETAHUI.

Bukan mudah untuk mendapat apa yang kita mahukan. Pasti ada ujian, dan ujian saya amat kecil dari orang lain yang lebih besar ujiannya. KEMBALIKAN KERINDUANKU!! Allah mengujinya dan sekarang Allah telah memakbulkannya. Saya selamat sampai juga di rumah yang tercinta ini. Syukur Ya Allah.

PENGAJARAN :

1) Rancang dan datang ke stesen lebih awal.
2) Hidup mesti MEMBERI walaupun kita ini sedang susah.
3) Belajar mengawal kemarahan kerana marah menumpulkan kewarasan.
4) Bersyukur dan mengambil hikmah selepas diuji Allah SWT.

Terima kasih kepada Roy yang sudi menghantar saya ke Jeti Butterworth. Terima kasih juga kepada Misdur kerana mengajar saya erti MEMBERI. Insya-Allah..

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *