SETIAP hari rakyat Malaysia bercerita tentang politik. Tidak kira di rumah, balai raya, warung di tepi jalan hatta di dalam masjid! Kesannya, setiap hari ibarat pilihanraya yang kempennya sepanjang masa.
Fenomena ini berlainan di negara maju seperti Amerika Syarikat (mengikut pembacaaan saya), rakyat US hanya akan berpolitik sewaktu musim Pilihanraya sahaja. Teringat saya kepada kisah ketidakpuashatian Al Gore (Parti Demokrat) yang meragui kemenangan Bush (Parti Republikan) di dalam Pilihanraya Presiden tidak lama dahulu. Kes ini akhirnya dibawa ke mahkamah untuk diadili.
Dipendekkan cerita, mahkamah telah memutuskan Bush adalah Presiden US yang sah. Selepas pengumuman itu Al Gore bertemu dengan Bush dan berkata “Bush ialah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya”. Kes itu berakhir begitu sahaja, yang menang meneruskan tanggungjawab manakala yang kalah akur dan memberi ketaatan kepada negara. Tidak kira wakil Republikan atau Demokrat (menang), mereka sama-sama berganding bahu membangunkan negara sepanjang tempoh Parti Republikan memerintah US.
Berbeza dengan kita di Malaysia, sifat kepartian yang kuat menyebabkan rakyat berpolitik hampir 24 jam sehari, 7 hari seminggu! Perbezaan pendapat dalam politik ini menyebabkan isu yang kecil menjadi besar dan mempunyai banyak versi akibat beredar dari mulut ke mulut. Tetapi apabila fikirkan balik, fenomena ini dapat menangkis perasaan “aku tidak pedulisme” yang menebal di kalangan rakyat. Persoalannya, adalah bercerita tentang politik dapat mencambahkan pemikiran atau sekadar menambah dendam terhadap lawan? Sama-sama kita fikirkan.
Disebalik kerancakan berpolitik di kalangan rakyat Malaysia terutama orang Melayu, ada satu cabang dalam proses berpolitik yang kurang rancak berjalan, iaitu daftar pengundi. Kerancakan berpolitik tidak menjamin perjuangan politik anda jika tidak mengundi. Sudahkah anda mendaftar menjadi pemilih dalam pilihanraya? Jika sudah tahniah, belum cukup umur tidak mengapa, bagi yang sudah cukup umur tapi belum mendaftar, cepat-cepat ya.
Sebenarnya proses pendaftaran untuk menjadi pengundi sangat mudah. Pendaftaran hanya memerlukan anda membawa Kad Pengenalan sahaja, proses yang lain akan diuruskan oleh pegawai yang bertugas mendaftarkan nama anda. Yang menariknya juga, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mendaftar, tidak seperti mengundi artis pujaan anda di Akademi Fantasi atau Malaysian Idol, mungkin separuh gaji dibelanjakan jika terlalu fanatikkan?
Sehubungan dengan kesedaran memilih kerajaan dengan kuasa mengundi, saya telah pun mendaftar nama di Pejabat Pos dua hari selepas hari ulang tahun kelahiran saya yang ke 21.
Proses pendaftaran sangat mudah :
- Tunggu giliran di Pejabat Pos atau sebagainya.
- Apabila sudah sampai giliran, hanya perlu tunjukan IC dan katakan “saya nak mendaftar menjadi pengundi”
- Pegawai yang bertugas akan mengisikan borang anda menggunakan komputer.
- Selepas borang siap diisi dan dicetak, anda hanya perlu menurunkan tandatangan.
- Anda akan memperolehi salinan borang dan pendaftaran selesai. Mudah kan?
Kebiasaanya, data pengundi baru akan dikemaskini setiap 3 bulan sekali. Saya difahamkan nama saya akan disenaraikan menjadi pengundi pada bulan September nanti. Insya-Allah pada Pilihanraya Umum akan datang (mungkin Pilihanraya kecil jika ada), saya boleh mengundi calon pilihan saya.
Menjadi pengundi memberi hak untuk memilih kerajaan. Dengan hak tersebut, sedaplah sedikit bercakap tentang politik tanah air kan? Jangan berfikir bahawa satu undi tidak dapat memberi kesan dan ada kes calon tewas di dalam pilihanraya hanya kerana 1 undi! Tidak kira anda dari parti apa sekalipun, ayuh segera daftar mengundi!
Golongan muda terutamanya orang Melayu sangat kurang berminat untuk mendaftarkan diri menjadi pengundi walaupun bersemangat waja berpolitik! Apakah ertinya ketidakpuashatiaan tidak dapat diterjemah jika anda sudah berkelayakan? Saya juga difahamkan golongan muda dari kaum lain (selain Melayu) sedang racak mendaftarkan diri mereka. Mereka dilihat lebih senyap berpolitik tetapi merekalah yang bakal menentukan masa depan negara!
Setakat ini, saya masih kurang bersetuju dengan cadangan pendaftaran automatik sebagai pemilih bagi rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas. Kesedaran mengundi kita masih rendah. Kos juga meningkat kerana SPR perlu menyediakan prasarana yang cukup untuk seluruh rakyat Malaysia mengundi (pembaziran kertas undi yang tidak turun mengundi). Selain itu, data yang tidak tepat seperti alamat yang berpindah-pindah sangat merumitkan SPR untuk menentukan kawasan Pilihanraya pengundi.
Sekadar pendapat dan promosi untuk kita mengundi.
SUDAHKAH ANDA MENJADI PENGUNDI?
Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan.
jangan silap mengundi.. tangan kita akan dapat di saham akhirat esok..
berhati2… bukan suruh sokong parti tertentu..
tapi kalau kita ada iman kita fikirkan…
.-= Syafrizal´s last blog ..Semak maklumat blog anda =-.
Insya-Allah.. Pilihan akan dibuat sebaiknya..
tak sabar nak pergi mendaftar dan pergi mengundi =)
.-= syukrisapuan´s last blog ..Antara warisan dan pilihan =-.