“Dan aku, persis debu-debu sahara itu. Yang bermusim, tetap setia berteman angin lalu. Lantas mengemis cinta di menara-menara harapan. Menagih segeluk mutiara ilmu-tinggalan pewaris anbiya’Mu”
Alhamdulillah. Saya berpeluang untuk menghabiskan bacaan Buku “Travelog Debu-Debu Kota Seribu Menara” karya penulis muda yang berbakat besar, Ustaz Farid Rashidi. Usahanya menulis di blog membuahkan hasil. Saya yakin buku ini akan menjadi kenangan bagi beliau. Tahniah Ustaz!
Saya belum pernah menjejakkan kaki ke bumi Anbiya. Setakat ini hanya mampu untuk mendengar, melihat melalui gambar dan membaca! Terasa di dalam hati untuk ke sana, melawat makam para Nabi, Sahabat dan para syuhada’ untuk mengambil ibrah dalam pengorbanan mereka.
Ternyata, pembacaan buku ini membawa saya jauh ke bumi Anbiya. Terasa seperti kita terbang ke sana mengambil angin perjuangan di bumi asing.
BIODATA PENULIS
Sebelum kita menelaah apa-apa karya, seeloknya kita mengenal atau mengambil tahu tentang pengarang karya tersebut.
Nama sebenar beliau ialah Mohd Farid Bin Md Rashidi Bin Abas. Beliau dilahirkan pada 3 Mei 1985 dan berasal dari Kampung Bendang Bechah, mukim Kupang, daerah Baling, Kedah Darul Aman. Merupakan anak kedua dari tujuh adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu, Sungai Petani.
Kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Darau Menggatal, Sabah. Setelah tiga tahun di Sabah, beliau mengikut keluarga berhijrah kembali ke tempat asal kelahiran dan menyambung pengajian di Sekolah Kebangsaan Syed Sheh, Kupang.
Menganjak ke alam remaja, beliau meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah, Kampung Pisang, Kedah. Setelah menamatkan pengajian di sekolah tersebut, beliau mengambil Diploma Pendidikan Islam, Sejarah Tamadun Islam di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu selama tiga tahun.
Pada penghujung yahun 2006, beliau terbang ke Universiti Al-Azhar cawangan Tanta untuk meneruskan pengajiian dalam jurusan Syariah Islamiyyah sehingga kini.
PENGAJARAN DARI BUKU INI
1. KOTA 1000 MENARA (MASJID)
Mesir negara yang mempunyai banyak masjid. Selang beberapa jarak, sudah kelihatan menara masjid yang tersergam indah. Tidak hairanlah Mesir digelar Kota 1000 Menara!
Iktibarnya, masjid yang banyak menunjukkan syiar Islam yang subur. Ianya juga tidak boleh dijadikan alasan bagi orang yang malas solat kerana masjid sangat dekat dengan mereka!
2. KEADAAN DI MESIR YANG SUBUR DENGAN AL-QURAN
Saya tertarik dengan kisah yang penulis nukilkan berkenaan suburnya Al-Quran di bumi Mesir. Dari awal pagi lagi, alunan ayat-ayat suci Al-Quran telah menerobos di corong-corong radio. Begitu juga apabila menaiki pengangkutan awam, pasti dipasang bacaan Al-Quran untuk didengar oleh para penumpang.
Juga kisah seorang Makcik dan anaknya di dalam bas bersama penulis. Anak kepada makcik itu baru berumur 4 tahun, tetapi telah menghafaz 11 juzuk Al-Quran! Masya-Allah.. Fenomena yang luar biasa di Mesir. Begitu subur Al-Quran di sana.
3. JAUH BERJALAN LUAS PENGALAMAN
Penulis mengisahkan pengalaman beliau berkelana di bumi Mesir. Antara yang menarik di dalam buku ini ialah berkenaan dengan adat orang Arab berkahwin.
Saya merasakan juga, jika adat orang Arab ini dipraktikkan di Malaysia pastinya ramai yang membujang sampai ke tua apatah lagi nak menambah isteri. Hantaran mereka sekitar LE60,000 iaitu sekitar RM30,000! Hantaran 10 ribu pun dah tercekik nak mengumpulnya, inikan pula 30 ribu? Allahu Akbar.
Buku ini juga sesuai digunakan bagi sesiapa yang ingin berkelana di Bumi Mesir. Terutamanya jika hendak melawat tempat-tempat menarik di Mesir seperti Wadi Ar-Baie’n, Terusan Suez, Kubu Solahuddin Al-Ayubi, dan banyak lagi. Sangat menarik!
4. KECEKALAN RAKYAT MESIR
Mesir adalah sebuah negara yang darurat. Rakyatnya hidup dalam keadaan yang susah dan tertekan. Disebabkan tekanan itu, maka rakyatnya cekal menghadapi suasana sehingga kanak-kanak yang kecil sudah berani untuk bekerja mencari rezeki.
Kanak-kanak yang kecil jika di Malaysia masih lagi bermain lari-lari di sekolah, makan di kantin dan menonton Upin & Ipin. Di Mesir kanak-kanaknya ibarat sudah dewasa kerana sudah bekerja sendiri sedari kecil, kisah ini dinukilkan dalam bab “Mereka Berjuang Untuk Hidup”. Bacalah jika mahu mengetahui kisah yang seterusnya.
BUKU INI DITERBITKAN SEMULA
Buku yang saya baca adalah terbitan awal daripada Ustaz sendiri. Alhamdulillah, buku ini telah diterbitkan semula oleh syarikat MUSTREAD SDN. BHD.
Kini, buku ini boleh didapati di seluruh negara di kedai-kedai buku yang berhampiran dengan harga RM24.90.
Sekalung tahniah dari saya untuk Ustaz. Sebuah karya yang menarik dan saya percaya ini bukan pengakhiran bagi karyanya, pasti ada karya-karya lain yang akan menyusul, Insya-Allah. Walaupun sudah lama menghabiskan pembacaan, tetapi disebabkan kesempitan masa, saya tidak dapat memaparkan ulasan ini.
Sesungguhnya ilmu itu tidak pernah habis untuk dicedok, tetapi sekurangnya kita harus terus mencedoknya sehingga kita mati.
SEBUAH TRAVELOG BERKONGSI CERITA
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 2011.