Pernah terjadi tidak lama dahulu, seorang ahli politik bukan beragama Islam membaca ayat Al-Quran di dalam ucapannya, para penonton (terutamanya orang Islam) bersorak dan bertakbir.
Terjadi juga satu peristiwa, di mana seorang ahli politik yang beragama Islam dari pihak kerajaan membaca ayat Al-Quran telah dimaki oleh penyokong pembangkang. Saya terdengar satu ayat daripada mereka, “Kau tak layak baca ayat Al-Quranlah!”
Saya menjadi keliru dengan kejadian ini, mengapakah orang Islam membaca Al-Quran dikatakan tidak layak membacanya, sedangkan orang bukan Islam pula yang ditakbir dan disorakkan?
Saya melihat perkara ini semakin menjadi-jadi dan kebencian itu menyebabkan perpecahan orang Islam yang besar.
Inilah yang dikatakan BENCI YANG TIDAK BERTEMPAT. Walaupun kita tidak bersetuju dengan pendapat dan ideologi politik sesuatu parti, tidak bermakna kita HALAL untuk mengutuk, memaki dan melabel orang lain sesuka hati dengan nama yang tidak elok.
Mungkin satu parti itu tidak begitu Islamik, tetapi adakah kita ini sudah Islamik untuk mengatakan orang lain tidak Islamik? Idealogi yang ke arah Islam belum dikira Islamik jika perangai dan akhlak begitu buruk mengalahkan orang yang jahil agama.
Senang cerita, LU PIKIRLAH SENDIRI!
BAGI KAMU AGAMA KAMU, BAGI AKU AGAMA AKU
Menyorot kembali kes bacaan Al-Quran di antara orang bukan Islam dan orang Islam tadi, Ustaz Kazim telah menerangkannya di dalam Kuliah di atas. Islam adalah hak eksklusif orang Islam! (Link : Azan & Iqamah)
Oleh itu, mengapa kita membenci sesama Islam dan menyokong orang bukan Islam sebagai pejuang Islam? Adakah perjuangannya semata-mata politik ataupun dengan tujuan yang sebenar membawa Islam. Jika melihat perkara ini, jelas membuktikan bahawa Islam belum boleh menang lagi di tangan ‘pejuang-pejuang’ itu.
Islam hanya akan menang jika orang Islam bersatu tanpa membuat pakatan dengan mana-mana pihak bukan Islam dan masanya belum kunjung tiba lagi ketika ini.
Bagaimana mahu menjadi negara Islam sebenar jika orang bukan Islam pun mempunyai kuasa untuk menentukan undang-undang negara? Memang nampak mereka (bukan Islam) baik dengan orang Islam, tetapi hanya untuk kepentingan diri dan mereka akan minta macam-macam jika telah berkuasa nanti. Mampukah kita menghadapi cabaran itu?
Kebaikkan mereka (bukan Islam) dengan kita hanya sebagai kawan sepakat untuk menang pilihanraya sahaja. Dan atas nama rakan seangkatan (dengan bukan Islam) jugalah kita mengenepikan sahabat-sahabat se-Islam yang lain?
Bagi mereka agama mereka, bagi kita agama kita. Jika mereka hendak sokong Islam, sudah lama mereka akan masuk Islam, tidakkah begitu?
BENCI KERANA APA?
Perhimpunan Agung UMNO sedang berlangsung ketika ini, ramai dari kalangan puak pembangkang begitu meluat dengan perhimpunan itu. Persoalannya, mengapa begitu meluat dan membenci sehingga keluar perkara-perkara yang tidak betul?
“Cuba tengok baju yang mereka pakai, orang atas-ataslah yang kaya dapat kontrak buat baju diorang (perwakilan UMNO)”
Saya berasa sedih dengan pernyataan itu, Ayah saya adalah salah seorang perwakilan dalam perhimpunan Agung itu, pakaian yang diberikan ditempah sendiri di kedai jahit dan BUKANNYA diberi siap (kontrak membuat baju perwakilan) seperti yang dinyatakan tadi.
Jangan kerana kita membenci seseorang itu, semua yang dibuatnya dikira sebagai buruk dan busuk! Siapalah kita yang boleh menghukum sesuka hati? Adakah Islam mengajar menuduh dan berburuk sangka? Islam tidak mengajar seperti itu. Subhanallah.
Kesimpulannya, benci kerana apa? Kerana berlainan parti? Hanya kerana orang itu lain partinya kita sudah membencinya sedangkan orang itu tiada dosanya dengan kita?
Jika mahu membenci, bencilah dengan perangainya dan tunjuklah perangai yang baik kepada orang yang kita benci, bukan berperangai sama macam orang yang kita benci! Jangan membenci orangnya, kerana manusia boleh berubah dari buruk kepada baik dan sebaliknya. Kerja-kerja menghukum serahkan pada Allah!
Semoga umat Islam dan Melayu di Malaysia kembali bersatu dan terus maju. Insya-Allah!
“PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH”
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 2011.