Sehari Di Pulau Temasek, Hanya 5 Ringgit..

Masuk sahaja ke pintu negara Singapura. Suasana sangat berlainan dari negara asalku, Malaysia.

Sebelum ini, saya selalu mendengar Singapura adalah sebuah negara yang berdisiplin, jika kita membuat sampah merata-rata tidak lama selepas itu pihak berkuasa Singapura akan datang menyaman kita!

Had Laju jalan raya juga begitu. Kebanyakkan jalan raya mereka hanya membenarkan kita memandu sekitar 80 KM/J sahaja. Kamera CCTV diletakkan di sepanjang jalan dan ruang, tiada ruang untuk kita melanggar undang-undang!

Bercerita tentang lampu isyarat pula, jika kita di Malaysia apabila melihat lampu kuning pasti kita akan menekan minyak selaju-lajunya! Di Singapura, orang takut untuk laju apabila lampu kuning menyala! Silap hari bulan, saman yang tidak sedikit jumlahnya pun sampai. Tahniah!

PERANGAI SAYA DAN KITA

Di Malaysia, ramai yang tidak puas hati dengan Saman Speed Trap. Apabila terkena saman, pasti marah dengan tindakan Polis menyaman kita. Tetapi kita tetap laju di jalan raya kerana kita tahu tidak semua tempat dipasang dengan Kamera Kelajuan. GPS pula banyak membantu untuk memberitahu kita lokasi mana yang bakal ‘ditembak’.

Orang Malaysia yang suka memandu laju di negara sendiri, boleh pula membawa perlahan di Singapura. Kamera Kelajuan di sepanjang jalan menakutkan kita. Di sana, kita berjaya menjadi pemandu yang berhemah seperti mula-mula kita dapat lesen dahulu atau pun semasa diuji oleh JPJ!

Tidak pula kita mengomel dengan Speed Trap dan undang-undang yang dipraktikkan di Singapura. Semua kecut perut!

Di Singapura juga, rakyat Malaysia menjadi rakyat yang pembersih untuk tidak membuang sampah merata-rata. Jaga-jaga ada yang memerhati!

Pelaksanaan undang-undang yang praktikal memberi kesan kepada masyarakat. Dengan tindakan yang tegas, orang takut untuk melanggar lampu merah, parkir kereta sesuka hati dan dapat menjaga kebersihan. Tahniah diucapkan kepada pihak berkuasa Singapura kerana berjaya memberi rakyatnya dan orang luar menjadi orang yang ‘baik’.

Tetapi adakah undang-undang yang tegas ini mendidik rakyat menjadi manusia yang benar-benar berdisiplin?

Sebelum itu, jom kita tinjau-tinjau negara Singapura ini.

SINGAPURA YANG DAHULUNYA PULAU TEMASEK

Temasek atau Singapura suatu ketika dahulu – Gambar dari Pasar Geylang Serai

Sekali melihatnya, mata saya dapat mengambarkan bagaimana negara ini sebelum menjadi seperti sekarang. Dahulunya, di sinilah tempatnya Parameswara singgah sebelum berhijrah ke negeri Melaka untuk membina sebuah kerajaannya.

Pulau Temasek (Kota Laut) dahulunya adalah negara di bawah kekuasaan kerajaan Sriwijaya sebelum diambil alih oleh kuasa-kuasa asing yang pernah menjajah kepulauan Melayu. Lokasinya yang sangat strategik iaitu berada di tengah-tengah pertemuan di antara timur dan barat menyebabkan Temasek menjadi rebutan kuasa besar.

Sir Stamford Raffles dilantik menjadi Gabenor British di pelabuhan Bengkulu, Sumatera. Beliau berpendapat British perlu memilik sebuah pelabuhan yang benar-benar strategik dan kukuh. British sudah mempunyai Pulau Pinang, tetapi terlalu jauh di utara Selat Melaka manakala pelabuhan Bengkulu menghadap Selat Sunda.

Sir Stamford Raffles masuk campur dalam politik Melayu sehingga Singapura jatuh ke tangan British

Oleh kerana Temasek adalah pulau yang paling strategik dijadikan pelabuhan, maka Raffles menyakinkan Syarikat Hindia Timur British untuk menjadikan Temasek pelabuhan terbaru mereka. Raffles menjumpai sebuah perkampungan kecil Melayu di muara Sungai Singapura yang dipimpin oleh Temenggung Johor iaitu Temenggung Abdul Rahman dan keadaan politik di Temasek ketika itu tidak stabil.

Sepatutnya abang Tengku Abdul Rahman iaitu Tengku Hussain menjadi raja di sana, tetapi kerana ketiadaan Tengku Hussain ketika kemangkatan baginda Sultan, maka Tengku Abdul Rahman dilantik menjadi raja di Temasek.

Raffles sedar bahawa perkara ini dapat dimanipulasikan untuk British mendapat Temasek. Beliau berpakat dengan Tengku Hussain untuk merampas semula Temasek dari tangan adiknya tetapi dengan syarat Tengku Hussain perlu memberi kebenaran kepada British untuk membuka pelabuhan di Singapura.

Komplot itu berjaya dan bertapaklah British di bumi Singapura. (Itulah bangsa kita, kerana mahu kuasa sanggup berkomplot dengan kuasa luar? Mungkinkah ada benarnya SUARAM mendapat dana Yahudi untuk Yahudi mendapatkan Malaysia?)

PAP dibawah kepimpinan Lee Kuan Yew berjaya menguasai Singapura dan mentadbir sehingga sekarang

Selepas itu, satu demi satu kuasa mengambil Singapura. Dari orang Melayu kepada British dan beralih kepada People Action Party (PAP) yang dipimpin Lee Kuan Yew. Singapura akhirnya berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965 kerana tidak sefahaman dengan Malaysia khususnya dalam soal hak istimewa orang-orang Melayu.

Jadilah Singapura seperti sekarang yang dikuasai oleh orang yang bukan asalnya dari negeri itu. Itulah dunia, harta tidak semestinya hak milik seseorang sepanjang dunia bernafas sehingga kini.

Singapura mempunyai banyak bangunan pencakar langit, bangunan yang besar dan tempat pelancongan yang bertaraf dunia seperti Universal Studios di Pulau Sentosa.

SEHARI KE SINGAPURA, HANYA ADA RM5

Saya ke Singapura bersama Team Al Afiah untuk merawat seorang pesakit di sana. Kami ditempatkan di satu kawasan majoriti orang Melayu dan bermalam di Hotel 81 Classic, Jalan Joo Chiat, Geylang Singapura.

Bermalam di Hotel 81 Classic, Hotel 81 mempunyai jaringan cawangan di seluruh Singapura

Pada mulanya saya tidak teringat tentang wang yang dibawa. Hanya apabila sampai di Singapura, saya baru tersedar hanya 5 ringgit sahaja yang ada dalam dompet saya! Mengikut logik akal, mana mungkin kita boleh ‘hidup’ di negara orang dengan berbekalkan duit yang hanya mampu membayar parkir kereta di sana!

Apalah ada dengan duit RM5? Jika ditukar dengan Dolar Singapore kita hanya dapat sekitar 2 Dollar sahaja. 2 Dollar? Nak bawa masuk kereta ke Singapura pun sudah kena bayar 10 Dollar. Aduh!

Setiap kenderaan yang masuk ke Singapura perlu didaftarkan dan diberikan kad AUTOPASS. Kad ini wajib dibuat di kaunter Imigresen Singapura. Bayaran yang dikenakan ialah sebanyak 10$ untuk setiap kad yang mengandungi kredit 4$ sahaja (6$ dipotong untuk harga kad).

Setiap kereta luar hanya diberi 10 hari percuma untuk berada di Singapura. Lebih dari 10 hari itu, pemilik kenderaan perlu membayar cukai kepada kerajaan Singapura. Seluruh operasi di Singapura seperti bayaran parkir semuanya menggunakan AUTOPASS, ibarat Touch N Go di Malaysia.

Pasar Geylang Serai antara pusat perniagaan orang Melayu Singapura

Tidak jauh dari Hotel kami, terdapat satu kompleks membeli belah ala-ala Kompleks PKNS yang dipenuhi dengan peniaga-peniaga Melayu yang bernama Pasar Geylang Serai.

Geylang Serai nama spesifik di tempat itu, menjual barang-barangan keperluan solat, jubah, kopiah, minyak wangi, barangan runcit dan sebagainya. Saya tidak membeli apa-apa kerana faham-fahamlah, duit tadi ada berapa?

Lebih baik naik Hopping Bus dari naik kereta. Nak tahu kenapa?

Kalau kita nak melancong ke seluruh pelusuk Singapura, banyak pakej-pakej yang menarik disediakan oleh agen pelancongan di sana. Dengan menaiki Hopping Bus kita dibawa ke tempat-tempat menarik mengikut pakej yang kita beli.

Menurut pakej yang diberikan, 2 hari diperlukan untuk menikmati keseluruhan Singapura dengan 3 perjalanan, 4 jalan dan 43 tempat perhentian. Menarik bukan?

Kami tidak sempat untuk pergi ke merata tempat. Maklumlah perjalanan di sana bukan bertujuan untuk berjalan-jalan menikmati alam semata-mata. Tetapi kami hanya sempat singgah di dua tempat iaitu Singapore Botanic Garden dan Merlion Park.

Bergambar kenangan di Singapore Botanic Garden

Singapore Botanic Garden hampir sama-sama dengan Taman Botanik Putrajaya yang pernah saya lawati tidak lama dahulu.

Taman ini memuatkan taman-taman yang dihiasi dengan pokok-pokok yang indah dan menawan, suasana yang nyaman dan menenangkan fikiran.

Bergambar dengan mercu tanda Singapura : Merlion Park

Merlion atau patung singa campur ikan sudah lama menjadi mercu tanda Singapura. Sebelum ini saya hanya melihat di Televisyen sahaja. Merlion Park terletak di tengah-tengah Kota Singapura.

Pengunjung dapat menaiki HIPPO River Cruise di tasik Merlion Park dan dapat menikmati pemandangan bangunan tinggi yang cantik di sekeliling tasik.

IBARAT KELUAR DARI PENJARA?

Semasa mahu keluar dari Singapura, ada sebuah kereta yang agak tergesa-gesa, kereta itu bernombor plat Singapura. Saya memerhatikan sahaja kereta itu mendaftar keluar dari pintu Imigresen Singapura.

Kami pun memberi Passport untuk diperiksa di laluan kereta yang disediakan.

Setibanya kami di pintu Malaysia, kereta Singapura tadi terus meluru laju meninggalkan kami. Di Singapura jalan macam siput, di Malaysia pula macam ribut? Mungkin pemandu itu tidak tahan untuk ke tandas mungkin, kita boleh bersangka baik.

Berbalik pada persoalan saya tadi, adakah dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat mampu untuk mendidik rakyat untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab?

Bagi saya, kita hanya ‘berubah’ apabila takut dengan undang-undang, jika tiada undang-undang adakah kita akan tetap berkelakuan baik? Atau kita jadi seperti pemandu itu tadi?

Pendidikan berbeza dengan ketegasan. Tetapi dalam mendidik perlukan ketegasan untuk melahirkan insan yang kamil.

Saya tertarik untuk melihat bagaimana orang Jepun mendidik anak mereka untuk bersikap jujur, menepati waktu dan tidak mengambil hak orang lain, walhal mereka bukan Islam dan tidak pernah mendengar tentang akhlak dalam Islam.

Mungkin silap umat Islam dalam mendidik dan bukannya Islam itu tidak sempurna.

NOTA : Bagaimana dengan nasib orang Melayu di Singapura. Azan tidak kedengaran tetapi dikhabarkan masjid penuh setiap waktu. Bagaimana boleh jadi begitu?

JALAN-JALAN SINGAPURA, MUNGKIN ADA PENGALAMAN YANG BAIK UNTUK DIKONGSIKAN

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
53100 Setapak, 10 Oktober 2012.

Related Post

7 Replies to “Sehari Di Pulau Temasek, Hanya 5 Ringgit..”

  1. Seperti di negara-negara sekuler lainnya, Islam di Singapura tidak mendapatkan tempat yang cukup. Misalnya saja, tidak boleh ada kumandang adzan. Seseorang boleh melakukan adzan di masjid, namun suaranya tak boleh keluar dari masjid. Ini yang diberlakukan oleh MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura)—sebuah lembaga semacam MUI di Indonesia yang memegang penuh otoritas beragama Islam di sini.

    Apa alasannya? Ini supaya orang non-muslim yang mayoritas tidak terganggu. Tak ada usaha dari MUIS untuk melakukan protes dan aksi untuk memperbaiki keadaan ini.

    Tapi, hal ini tidak berlaku di wilayah Masjid Sultan—salah satu masjid tertua di Singapura. Di sekitar Arab Street ini, adzan boleh dikumandangkan lewat speaker, dan menjalankan fungsinya sebagai pengingat dan pemanggil.

    Saat ini di Singapura terdapat 69 masjid. Semua masjid ini dibawah admistrasi MUIS sepenuhnya.

  2. Terima kasih atas maklumat. Saya pun banyak terima dan perkongsian daripada orang Melayu yang saya jumpa di Singapura, mereka sangat seronok jika berjumpa orang Melayu Malaysia di Singapura.

  3. di tempat saya bekerja sekarang pun ada sorang singapura, melayu.kat KL ni.saya Tanya kenapa tak kerja saja di singapura, kan nilai duit besar? sana lagi banyak guna duit.semua kena duit…

  4. Memang betul, setiap negara di dunia ada baik dan buruknya. Sebab itu ada ungkapan yg kata ; “Hujan Emas Di Negara Orang, Hujan Batu Di Negara Sendiri”.

    Saya pernah ke South Africa, kata mereka gaji mereka untuk pegawai kerajaan adalah RM15k. Kami terkejut, tapi katanya ; “Everything in South Africa is tax”. Harga petrol lebih RM5++ seliter..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *