Apabila Anak Nak Jadi Influencer, Apa Kata Papa & Ummi?

Anak saya, Masykur berumur 6 tahun hadiahkan saya lukisan ni yang dia lukis sendiri.

Suatu hari, ada pameran lukisan dekat KL, saya dan isteri sempat tunjukkan lukisan ni pada seorang Artist di sana.

Katanya ; sekali pandang dia dah tahu yang Masykur ada bakat melukis semula jadi. Beliau sarankan agar kami melorongkan kelas-kelas melukis untuk mengembangkan bakat Masykur ke tahap berkemahiran tinggi bila mula dewasa nanti.

Artist itu mula menyebut beberapa nama anak muridnya, saya tak berapa ingat semua, cuma yang saya ingat, nama ArtJamilah. Saya search di google, nama tu agak popular juga dalam industri seni lukisan rupanya.

Kami dah mula berfikir, bagaimanakah kerjaya generasi anak-anak kami di masa dewasa mereka nanti?

Dari satu segi, saya setuju di zaman kita memang memerlukan sijil dan ijazah untuk membina kerjaya dalam dunia makan gaji di industri tertentu seperti Kedoktoran, Undang-Undang, Kejuruteraan dan seumpamanya. Tetapi lama kelamaan peluang membina kerjaya dan kekayaan sudah melangkaui dari keperluan memiliki segulung Ijazah di masa anak-anak kita.

Tetapi, proses ini umpama “Tarik Rambut Dalam Tepung, Rambut Tak Putus Tepung Tak Berselerak”. Akademik tidak boleh diketepikan dengan hanya menumpukan 100% pada bidang diminati oleh anak-anak, berikutan ramai anak-anak sekarang yang berhenti sekolah kerana mahu menjadi influencer terkenal.

Bagi mereka, menjadi Youtuber, Tiktokers, Influencer mempunyai jaminan masa depan yang cemerlang. Anak saya sendiri pun pernah kata dia nak buat Channel Youtube dia sendiri.

Cuma, kita sebagai ibu bapa kena mainkan peranan penting. Jangan sampai minatnya itu menyebabkan ilmu-ilmu dan kemahiran asas tidak mereka perolehi.

MEMBACA, MENGIRA, MENULIS, MENGAJI AL QURAN, ILMU FARDHU AIN, ILMU KEMAHIRAN HIDUP dan beberapa ilmu asas yang lain perlulah mereka perolehi.

Seperti yang Tiktokers Paling Terkenal Di Malaysia, Khairul Aming pernah menyebut ;

“Adik-adik yang masih bersekolah, teruskan pembelajaran. Walaupun awak nak jadi content creator, awak kena ingat, jadi content creator bukan sekadar untuk viral.

Untuk relevan lama dalam industri, awak perlukan banyak pengetahuan. Critical Thinking, Problem Solving, ada adab, ada Common Sense.

Jadi habiskan pembelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus, yang boleh memajukan negara kita Malaysia.”

InsyaAllah kita sebagai ibu bapa mulalah mengenalpasti kecenderungan personaliti anak-anak kita. Antara cara yang kami gunakan adalah Ujian STIFin untuk mengetahui sama ada anak kita adalah seorang ; Sensing, Thinking, Intuiting, Feeling atau Instinct. Dan selepas itu kita melihat pula apakah minat dan bakat mereka.

Selepas itu, mulakan membina kehidupan mereka. Jangan lupa berdoa agar Allah SWT memudahkan urusan dan mentakdirkan mereka dengan takdir-takdir yang baik.

—-
Jamal Rafaie Jakiran
Jakarta, Indonesia
29 Ogos 2023

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *