Hati manusia tetap terluka. Itu adatnya. Walaupun sudah berkali-kali diingatkan agar tidak merajuk apabila tidak dicalonkan atau digugurkan, berkecil hati secara sendiri pasti akan hadir tanpa diduga.
Sedar dengan perkara itu, lahirlah kenyataan daripada Pengerusi Barisan Nasional : “Kalau nak merajuk tu, kita harap 24 jam sahaja, lepas tu turun bekerja balik”.
Yang sudah lama menanti, kecewa. Walaupun TIDAK bekerja sekeras-kerasnya dalam menunjukkan perkhidmatan yang sebaiknya sebelum ini, diri dirasakan “Winnable Candidate”! Bagi yang kuat bekerja pula tapi tidak terpilih anggap sahaja tidak ada rezeki.
Dan yang paling payah ialah wakil rakyat yang sudah berkhidmat 5 penggal tetapi masih menganggap dirinya “Winnable Candidate”. Walaupun masih diterima pengundi di kawasannnya, saya fikir eloklah mereka berundur. Berilah peluang kepada orang lain yang sudah lama dalam parti untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.
Pokok pangkalnya hati kena ikhlas. Apa salahnya jika kita menganggap kita masih Winnable Candidate, kita turun membantu calon yang dipilih dalam kempen PRU nanti. Dulu orang lain bantu kita, sekarang tiba masanya kita bantu orang yang sudah membantu kita sejak dahulu lagi. Balas budi bak kata Tun Dr. Mahathir.
Sukar untuk kita puaskan hati semua pihak. Apabila pilih orang ini, orang itu kecewa. Apabila pilih orang itu, orang ini pula akan kecewa. Bagaimana? Keputusan pasti akan dibuat, itulah risikonya dan saya berdoa agar yang merajuk itu akan terus membantu parti tanpa mensabotaj dan bertanding sebagai CALON BEBAS atas logo POKOK atau KUNCI!
WANNA BE CANDIDATE
PRU-13 sangat menarik. Jika dahulu, pentas politik ditandingi oleh orang-orang yang arif tentang politik. Tetapi kali ini, Imam, artis, pelakon, bekas askar, bekas polis, penyanyi, orang agama yang sedang berkhidmat pun mahu bertanding. Saya fikir mereka mahu bertanding kerana dirasakan diri mereka popular dan “Calon Boleh Menang”.
Populariti amat penting dalam proses kempen. Popular di kalangan pengundi sama ada terkenal dengan perkhidmatannya, atau terkenal dengan skandalnya, atau dengan lagunya yang dinyanyikannya!
Yang penting, kalau pengundi suka dan mampu memberi undi kepada parti, itu sudah cukup baik.
Saya memerhatikan konsep “menggunakan populariti calon” banyak digunakan oleh puak pembangkang. Sebagai contoh PAS mencalonkan penyanyi Aisyah di Parlimen Jempol. Wakil rakyat lain seperti Nurul Izzah (PKR) yang terkenal dengan kata-katanya yang kontroversi menjadi pertaruhan parti.
Saya fikir modus operandi “CALON POPULAR” tidaklah memberi kesan yang besar kepada rakyat dari segi perkhidmatan. Seperti Nurul Izzah yang dikatakan tidak memberi servis yang baik kepada rakyat Lembah Pantai dan apakah ada pengalaman penyanyi Aisyah dalam politik dan faham tentang menjadi WAKIL kepada RAKYAT?
Nama besar seperti Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor juga mengakui tidak memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat Ijok dan akhirnya lari ke DUN Pelabuhan Klang. Popular, tetapi adakah ianya menjadikan negara lebih baik?
Saya fikir rakyat memerlukan Wakil Rakyat yang boleh buat kerja daripada Wakil Rakyat yang popular dengan kontroversi melalui kata-kata dan perbuatannya. Ataupun wakil rakyat yang suka berperang terkinja-kinja di Parlimen, menyertai demostrasi ganas, berceramah siang dan malam, juga ‘membina’ kerajaan bawah pokok persis kerajaan Pasir Berdengung Laksama Do Re Mi!
Saya fikir itu amat memalukan. Puak ini mungkin diterima sebagai “Winnable Candidate” tetapi saya yakin lama kelamaan mereka hanyalah “Wanna Be Candidate” apabila rakyat sudah tahu peribudinya. Satu dua penggal boleh lagi, lepas tu?
PILIHLAH YANG LEBIH STABIL DAN MAMPU MEREALISASIKAN HARAPAN RAKYAT
Perkara utama yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional ialah calon-calon BN untuk PRU-13 ini mesti “CALON BOLEH MENANG”.
Zaman sekarang bukan masanya “Letak Tunggul Pun Boleh Menang”, rakyat sudah boleh menilai keupayaan parti dan kredibiliti calon. Keputusan memilih calon yang sesuai dengan kehendak pasaran perlu dilakukan.
PM Najib Razak dan pemimpin BN yang lain menyaring satu persatu dan membuat perhitungan terhadap calon-calon pasukan Transformasi. Keputusan yang dibuat pasti melibatkan banyak faktor dan saya yakin itulah pilihan yang terbaik.
Kesimpulannya, merajuk pasti ada dalam mana-mana parti tetapi saya fikir BN lebih stabil dalam menentukan calon-calonnya. Tidak seperti Pakatan Pembangkang yang bertindih merebut kerusi, itulah lumrah orang BERPAKAT daripada orang yang duduk dalam SATU BARISAN.
Jika ada pertindihan kerusi, kita dapat lihat yang mana satu “Winnable Candidate” dan yang siapa pula “Wanna Be Candidate”.
Pilihanraya Umum memberi peluang kepada rakyat menentukan kuasa kerajaan. Peluang di tangan anda! Selamat mengundi dan selamat bekerja buat jentera BN di seluruh negara!
SUKA BN, TANDA RIGHT. BANGKANG BN, TANDA PANGKAH DEKAT LOGO BN TU YE!
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 16 April 2013.