1. Saya terbaca status di Facebook seorang rakan : “Allah tangguhkan kemenangan Islam di Kuala Besut. Kami redha kami kalah, tetapi kami tak redha dengan penipuan BN,”. Sebelum hari pembuangan undi, saya juga terbaca sebuah status : “Pihak yang HAK(PAS) akan menang di Kuala Besut, yang TAGHUT(UMNO) pasti akan kalah!”.
2. Keputusan PRK Kuala Besut sudah diumumkan. BN diisytiharkan menang di kawasan itu. Kemenangan diiringi dengan syukur oleh jentera yang terlibat. Formula 16:16 berjaya ditolak dan formula 17:15 masih kekal di Terengganu. Orang Pas berkata 16:16 dapat membentuk sebuah kerajaan yang harmoni, tetapi saya tidak bersetuju dengan perkara tersebut kerana 16:16 memang nampak seimbang tetapi sejarah telah membuktikan bahawa ‘kestabilan’ yang dicanang sebenarnya lebih memberi kesan buruk kepada sesebuah kerajaan. Keputusan sukar dibuat dan terjadilah “Hung Parliment” atau “Hung State Assembly”. Ianya tergantung dan ketidakseimbangan politik mendatangkan kesan buruk kepada rakyat.
3. Selain daripada formula 16:16, saya ingin menulis tentang pandangan saya terhadap perjalanan dan perjuangan PAS. Alasan PENIPUAN, TAGHUT, tuduhan BUAT MASJID TAPI TAK SOLAT dan sebagainya, bagi saya adalah sebab mengapa Pas begitu jauh dengan kemenangan Islam. Mengapa?
4. Saya melihat PAS gagal mengenal pasti yang mana satu musuh mereka yang sebenar. Seperti penulisan saya sebelum ini, PAS melihat UMNO sebagai musuh utama mereka dalam politik. Menentang UMNO dianggap sebagai satu jihad kerana melabelkan UMNO sebagai “Taghut”. PAS mengatakan perjuangan mereka adalah perjuangan Islam yang sebenar, saya tidak mempertikaikan tentang perjuangan Islam itu, tetapi mengatakan UMNO sebagai musuh yang harus dibunuh membuatkan mereka keliru dalam perjuangan memartabatkan Islam. PAS harus faham bahawa, UMNO adalah lawan dalam politik dan bukannya musuh sebenar dalam kehidupan. Bermusuh dalam kehidupan hanya kerana tidak sama pendapat atau “Bukan Geng Kita” adalah ciri-ciri Syiah dan Khawarij. Inilah yang baru dikatakan Assabiah.
5. Mengapa ada ahli PAS yang mengatakan kemenangan Islam tertangguh jika PAS tidak menang? Adakah kemenangan UMNO adalah kemenangan kafir? Dan adakah hanya apabila PAS menang barulah ianya dikira sebagai KEMENANGAN ISLAM? PAS bersama Pakatan Rakyat, dalam Pakatan Rakyat mereka terdiri daripada orang Islam dan orang Kafir. Jika ada pertembungan di antara BN (UMNO-calon Islam) dan DAP (Kafir) di sesuatu kawasan, adakah kemenangan DAP adalah kemenangan Islam kerana PAS bersama-sama dengan DAP dalam satu Pakatan?
6. Kegagalan memahami konsep perjuangan dan mengenal musuh sebenar menyebabkan PAS jauh dengan kemenangan Islam. Penggunaan tuduhan UMNO Taghut, tuduhan BN menipu dalam Pilihanraya adalah salah satu sebab mengapa rakyat menolak PAS. Perkara yang menjadi tuduhan itu adalah tidak benar. Itu belum lagi diambil kira soal mulut yang menghina, tindakan ganas, surat layang dan sebagainya yang dilihat tidak bertepatan dengan tuntutan Islam.
7. PAS tidak akan menang menurut perjuangan Islam selagi mereka masih tidak mengubah musuh mereka yang sebenar. Jika PAS hanya mampu berlawan dengan UMNO sahaja dan tidak pula berupaya menegur DAP apabila mereka mempertikaikan agama Islam, itu memang sangat jauh untuk mengecapi kemenangan Islam.
8. “Tidak semua dalam PAS adalah malaikat dan tidak semua dalam UMNO adalah syaitan” : kata-kata Ustaz Nasharuddin Mat Isa. UMNO dilihat sebagai parti yang buruk dan assabiah berlabel bangsa manakala PAS dilabel sebagai sebuah pergerakan Islam yang syumul. UMNO dan PAS adalah parti, parti tidak ada masalah, yang bermasalah ialah orang-orang yang ada dalam parti tersebut.
9. Dalam konteks ini, semua harus bermuhasabah mengubah diri ke arah yang lebih baik. Kita usah mengatakan parti kita lebih baik dan parti orang lain semua jahat. Fikirkan tentang kesatuan dan jangan berpecah belah. Saya fikir Islam di Malaysia tidak akan menang jika umat Islam khususnya bangsa Melayu tidak mahu bersatu. Islam itu bukan diturunkan untuk PAS sahaja, juga bukan untuk UMNO sahaja. Islam adalah agama rahmat untuk sekalian alam.
10. PAS jangan melihat ahli UMNO sebagai jijik dan Taghut. Kita tidak boleh menilai seseorang hanya menerusi parti mana yang disertainya. Jika ada ahli PAS kata yang HAK pasti menang di Kuala Besut, yang BATIL akan tewas!
11. Persoalannya, siapa yang menang siapa yang kalah di Kuala Besut? Dan siapa pula yang HAK dan siapa pula yang BATIL? Kita sebenarnya bersatu, cuma kita yang memecahkannya.
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 25 Julai 2013.