“Ini Uftinya Tuanku”

sultan terima ufti
Kredit Gambar : The Rakyat Post

Ketika saya menulis perkara ini, jam 2 pagi, 2 April 2015. Makna kata, sudah masuk hari kedua, Malaysia memasuki era baharu dalam sistem percukaian negara.

Seolah-olah hari raya. Ia diraikan begitu meriah sehingga banyak pantun-pantun persis mesej Malam Raya. Dan begitu banyak resit-resit muncul di media sosial. Bagusnya tentang cukai baharu ini ; rakyat Malaysia sedar untuk melihat resit pembelian mereka yang selama ini dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah (melainkan kalau nak claim). Hari ini baru mereka tahu, apa yang mereka belanjakan.

Sistem percukaian kepenggunaan kita sudah bermula pada 29 Februari 1972 dan bukannya tiba-tiba muncul pada 1 April 2015. Ada dengar-dengar kata sekarang muncul pula dakwaan “Cukai Adalah Haram”. Sedangkan selama ini mungkin “ulama’-ulama'” itu ditaja pelajaran mereka ke luar negara menggunakan ‘duit haram’ terbabit. Biarkanlah mereka dengan hukum-hukum itu, mereka bukan ahli untuk membuat fatwa kebangsaan.

Terima Hakikat Percukaian

“Jika kita tanyakan kepada 10 orang tentang cukai, 12 orang tidak menyukainya,” kata Dato’ Ahmad Maslan dalam sebuah Majlis Penerangan Perdana tentang GST.

Benar. Siapa pun tidak suka jika disuruh membayar. Walaupun begitu, kita seharusnya rasional tentang sebab mengapa cukai perlu dipungut. Ramai orang kata tujuan cukai dikutip adalah untuk ditelan pemerintah, itu bukan jawapan akademik dan menjadi satu kesalahan.

Sesebuah negara diuruskan kerajaan. Dan kerajaan memerlukan dana kewangan untuk menguruskan negara. Buat jalan, sekolah, hospital, ubat-ubatan, subsidi, gaji kakitangan awam, kenderaan awam, infrastruktur, landskap, urus saliran, pemeliharaan alam sekitar, tentera, polis, bomba dan banyak lagi. Semuanya memerlukan sumber pendapatan untuk mengoperasikan perkara-perkara itu.

Apabila bertambah seorang anak dalam sebuah keluarga, perbelanjaan keluarga juga meningkat. Begitu juga dengan pertambahan rakyat di Malaysia yang meningkat sehingga 28 juta penduduk. Mengikut perangkaan Kementerian Kewangan, hanya 1 juta penduduk Malaysia membayar cukai pendapatan kepada kerajaan.

Setiap hari, ada sahaja permintaan daripada pelbagai golongan. Cuepacs yang mewakili Kakitangan Awam memohon kenaikan gaji. Jalan berlubang perlu ditampal. Persatuan-persatuan memohon peruntukan kewangan unyuk aktiviti, lampu jalan perlu ditambah di kawasan gelap. Keselamatan pula perlu dipertingkat dari segi Polis atau tenteranya. Petani pula memohon subsidi tambahan. Pelajar pula tak habis-habis menuntut semuanya percuma. Ubat di hospital perlu dibekalkan. Orang sakit perlu dibantu tiap-tiap bulan.

Jadinya, Nisbah 1 juta pembayar cukai untukĀ  menampung 27 juta penduduk lain adalah sangat tidak adil sedangkan kesemua golongan perlu disantuni oleh kerajaan. Maka, untuk bersikap adil, sistem cukai disusun semula dengan GST dan peratusan cukai pendapatan dikurangkan sebanyak 1%.

Adakah cukai ini begitu membebankan? Sejak 1972, banyak orang telah hidup sehingga kini. Pada pandangan sekeliling, cukai sebenarnya tidak membebankan kerana restoran-restoran bertaraf tinggi masih penuh, jualan kereta bertambah, pasaraya sesak dengan pembeli. Ibaratnya, menulis dirinya susah dalam media sosial sambil makan di restoran yang boleh tahan harganya. Yang benar-benar terbeban pula tak mampu nak beli Topup dan telefon pintar.

Hakikatnya, cukai itu dari rakyat, diproses di Dewan Rakyat dan dikembalikan kepada rakyat. Dengan membayar cukai, anda telah menunaikan hak pemerintah dan melicinkan hak anda sebagai rakyat untuk ditunaikan oleh pemerintah.

Al-Kisah sejarah dulu-dulu ; “Ini uftinya Tuanku”. Dan harta itu dikembalikan kepada rakyat jelata dalam pelbagai cara oleh pemerintah yang bijaksana.

Jamal Rafaie
Kuala Selangor

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *