“Salam.. Ust.. Esk PI (Pusat Islam) ade buat solat sunat gerhana ke?”, tanya saya kepada Ust Daud menerusi sms.
“Wasalam.. X pasti lak.Gerhana tu waktu mana?”, jawab Ust Daud.
“Dalam brite ckp 3.01 ptg sampai pkl 5++.. Gerhana maksimum dalam pukul 4.26 ptg”, balas saya semula.
“Nanti ust bincang dengan Ust Zamri ye”, Ust Daud menyimpulkan kata-katanya.
Fenomena gerhana matahari dijangka akan berlaku pada hari jumaat (15.1.2010), bermula 3.01 petang sehingga 5.38 petang dengan fasa pertamanya berlaku pada 3.01 petang dan mencapai tahap gerhana maksimum jam 4.26 petang.
Gerhana terjadi bukannya menunjukkan bala Allah s.w.t, tetapi adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya. Gerhana matahari terjadi apabila bulan selari dan berada di tengah-tengah antara bumi dan matahari. Maka cahaya matahari akan terlindung oleh bulan daripada sampai ke bumi dan terjadilah gerhana matahari.
Gerhana bulan pula terjadi apabila bulan berada selari dengan matahari dan bumi tetapi terseling di belakang bumi. Hal ini akan menyebabkan cahaya matahari tidak dapat dipantulkan oleh bulan dan terjadilah gerhana bulan.
SOLAT KHUSUF DAN SOLAT KUSUF
Solat gerhana disebut dalam bahasa Arab sebagai KHUSUF bagi bulan, dan KUSUF untuk matahari. Yang bermaksud hilanglah cahaya bulan atau matahari.
Dari Aisyah r.ha berkata. Nabi s.a.w bersabda “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”
(Riwayat Bukhari Dan Muslim)
Cara solat ini agak berlainan kerana terdapat sedikit penambahan.
CARA SOLAT SUNAT GERHANA
Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )
Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)
Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I’tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua
1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I’tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
Solat sunat gerhana ini adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang dituntut. Solat ini juga menunjukkan kita tunduk dengan kekuasaan Allah s.w.t di atas kuasa-Nya mentadbir alam semester ini.
Mudah-mudahan dengan kurniaan gerhana ini, dapat meningkatkan lagi keimanan kita dalam mentaati perintah Allah s.w.t.
RUJUKAN : Ust Azhar Idrus di ustazazhar.com/
Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang
14 Januari 2010