Fakta Menarik Tentang Twitter

Twitter saya : @JamalRafaie

Saya mendaftar akaun Twitter pada 24 April 2010. Tetapi akaun Twitter ini senyap daripada sebarang update kerana saya tidak begitu berminat untuk menggunakannya. Berbanding dengan Facebook, kita boleh memuatnaik gambar-gambar peribadi dan dapat menulis dengan begitu panjang tentang apa yang kita hendak tulis di dalamnya.

Twitter hanya tentang status-status pendek, gambar pula jika di’upload’ hanya akan dimasukkan ke dalam akaun Photo satu-satu server yang disediakan oleh pihak Twitter.

Tambahan pula saya tidak mempunyai Smartphone yang membolehkan saya mengakses Twitter 24 jam, minat itu tidak ada. Kini saya sudah mempunyai telefon pintar yang boleh menghubungkan saya dengan dunia luar selama 24 jam! Alhamdulillah.

ARTIKEL MENARIK TENTANG TWITTER

Saya menyelak Mingguan Malaysia dan saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh wartawan Johardy Ibrahim yang berjudul “ISTILAH POPULAR DALAM TWITTER”. Mungkin kita di sini boleh mendapat input yang baru mengenai Twitter?

Jom Baca..

Artikel Dari Johardy Ibrahim : Kredit Mingguan Malaysia

ISTILAH POPULAR DALAM TWITTER

PERNAHKAH anda menerima soalan secara khusus tentang tahap penggunaan Twitter. ”Jika anda tidak memiliki akaun Twitter atau baru membuka akaun, sila nyatakan diri anda sebagai, Baru Bermula. Jika anda sudah memiliki akaun dan aktif, sila nyatakan diri anda sebagai, Sudah Arif”.

Termenung juga memikirkannya. Tidak mungkin masuk kategori ‘baru bermula’. Sudah lama ada akaun Twitter. Tetapi hendak mengaku ‘Sudah Arif’ pun was-was. Memang ada sahabat yang diistilahkan ‘pengikut’ atau follower yang telah menjalin komunikasi Twitter mengikut kaedah yang disarankan.

Dalam konteks Twitter saya, secara jujur saya akui belum menguasai sepenuhnya perbendaharaan kata dan metodologi Twitter. Bermakna saya belum menggunakan sepenuhnya peluang dan kemungkinan yang wujud dalam alam Twitter.

Acapkali bila membaca Tweet (istilah untuk ayat perutusan) menerusi telefon bimbit, anda pasti perasan dengan penggunaan perkataan ringkasan yang terlalu ringkas dan mungkin tidak sama dengan ringkasan yang biasa anda guna. Dalam kebanyakkan ringkasan, ringkasan menggunakan bahasa Inggeris.

Terdapat lebin 130 ringkasan, perkataan, frasa dan alat untuk tweet. Apa? Lebih 130!!!.. Hendak menghafal nombor telefon kawan pun terkial-kial, ini hendak mengingat 130 perkara Twitter?

Tetapi percayalah, kebanyakkan remaja berusia bawah 25 tahun menguasai antara 90 hingga 110 istilah dan alat dalam Twitter. Bagi anda yang berusia 35 tahun ke atas dan rasa berat untuk mengingat benda-benda itu (kerana ada benda yang lebih realistik yang perlu diingat seperti menyiapkan kerja di pejabat, membayar bil dan menghantar anak ke sekolah): jangan bimbang. Ingat dan guna nama yang berkaitan sahaja. Lainlah anda seorang pengguna Twitter tegar seperti ramai golongan remaja hari ini.

Sebelum itu anda kena pilih bagaimana anda hendak menyebut Twitter. Jika anda sebut cara orang Malaysia, maka sebut ‘twit-ter’. Jika rasa nak pamerkan anda hanya menonton televisyen Hollywood dan tidak pernah RTM, maka sebutlah gaya Amerika: ‘twi-derr’.

Ringkasan asas dalam Twitter yang perlu anda ketahui ialah RT bermaksud ringkasan daripada ReTweet atau diulang siar. Anda mendapati kenyataan itu menarik, lalu anda RT, supaya orang yang mengikuti anda boleh sama-sama membacanya, dan mungkin melakukan RT juga.

Butang RT memang tersedia pada kotak Twitter.com. Anda juga boleh masukkan komen anda menggunakan butang Quote Tweet. Ada cabaran di sini. Disebabkan had 140 perkataan, komen anda hendaklah diringkaskan. Atau anda juga boleh ringkaskan kenyataan asal, cuma waspada tidak hilang maknanya.

Hash tag bukan istilah tetapi alat simbol #. Ia adalah kaedah anda menyusun perutusan terkini bagi enjin carian Twitter anda. Simbol # diguna oleh kumpulan khusus mengikut minat. Misalnya, #LFC adalah khusus bagi kelab pengikut Liverpool FC dan anda akan dapati penyokong dari seluruh dunia ada di situ. Setelah mengutus kenyataan, anda pergi ke enjin carian Twitter dan taip #LFC.

ISTILAH

Simbol # juga boleh digunakan untuk memulakan trend. Misalnya #Merdeka55 yang berjaya mencatat 3.6 juta kali penggunaan semasa 31 Ogos yang lalu.

Istilah diringkaskan lain yang penting anda ingat ialah FollowFriday (FF) yang mesti dengan simbol #followfriday. Ia adalah bersifat cadangan iaitu menarik perhatian orang tertentu dalam Twitter.

#Merdeka55 : Satu Rekod Negara.

Direct Message (DM): adalah mesej ringkas, yang disediakan fungsinya untuk anda menghantar mesej secara terus kepada seseorang. Ia tidak dibca oleh pengikut lain. Tetapi orang yang dihantar mestilah mengikut anda juga bagi membolehkan DM itu berfungsi.

Di Malaysia, penggunaan Twitter yang semakin meningkat setelah ramai yang jemu di Facebook, turut mencipta istilah Twitter tempatan. Paling popular ialah ‘retis’ atau ‘artis’.

Difahamkan, retis bukan menunjuk kepada artis sebenar (pelakon, penyanyi) tetapi kepada perlakuan seseorang yang perasan diri popular seperti artis. Khabarnya, baru-baru ini ada seorang artis menulis dalam Twitter membantah penggunaan retis. Difahamkan juga, pernyataan artis itu diketawakan sebab ia tidak berkaitan dia pun!

Bagi yang sudah arif menggunakan Twitter, mesti ketawakan saya kerana paparkan perihal istilah di atas. Benar RT adalah sangat asas. Seumpama belajar A,B,C tetapi saya tujukan kepada sahabat handai yang keberatan untuk mengaktifkan akaun Twitter mereka.

Apa keseronokan Twitter, bukankah sudah ada Facebook? Anda berkomunikasi dengan orang yang kenali di Facebook (hatta namanya pun Facebook) dan ‘tidak anda kenali’ dalam Twitter. Hal ini demikian kerana penggunaan # atau ringkasan tertentu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja dalam enjin carian Twitter.

Secara umumnya, seseorang itu mengutus Tweet semata-mata untuk mendapatkan perhatian. Sama nawaitu dengan Facebook. Jika anda menafikannya, elok anda menulis buah fikiran anda dalam diari. Mungkin dibaca oleh anak cucu suatu hari nanti. Itu pun jika mereka kenal apa itu ‘diari’ ketika itu. Jika anda benci jadi perhatian, elok anda berhenti mengguanakan internet sama sekali.

Namun, sekiranya alasan anda lemah dalam Twitter disebabkan ‘tak tahu nak tulis apa’ atau merasakannya bosan (asyik Tweet gambar makanan), sila guna kaedah ini: Ikut (follow) pemilik Twitter yang menarik di hati anda.

Mungkin ada pelawak yang tampil dengan pernyataan kelakar. Misalnya jenaka ini: “teman wanita anda berisi? Bantu dia kurus, berjalan 5 km sehari. Dalam sebulan dia akan 300 km jauh dari anda”.

Jika anda peminat bola, ini paling seronok mendapatkan seberapa ramai kawan baru Twitter. #LFC yang saya ikuti memberi peluang saya berkenalan dengan penyokong Liverpool di Amerika Syarikat dan Afrika.

Seandainya anda minat kisah-kisah mitos atau fakta luar biasa (Incredible Facts!), anda boleh ikuti Twitter ahli silap mata tertentu. Mereka ini pernah tweet gambar jet eksekutif yang diberi pinjam oleh sahabat tanpa niat minta balasan.

JOHARDY IBRAHIM (MINGGUAN MALAYSIA : 30 September 2012)

Bolehlah berjinak-jinak dengan Twitter. Ini boleh jadi satu metod dakwah dan menyambung silaturrahmi di antara kita sesama Islam.

NOTA : Siapa yang dimaksudkan “Mereka pernah Tweet gambar jet eksekutif” itu?

FOLLOW ME ON TWITTER : @JamalRafaie

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 1 Oktober 2012.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *