BLOGGING. Tiada penerbit, tiada penyunting, tiada birokrasi, tiada sekatan.
Itulah yang seronoknya menulis blog. Kita berhak untuk menulis apa sahaja yang kita hendak tulis. Pandangan kita telus, tiada potongan daripada mana-mana pihak. Kita juga boleh menyampaikan mesej dengan gaya penulisan kita sendiri.
Hari ini, saya berminat untuk menulis tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bukan menulis tentang sejarah kepimpinannya, tetapi tentang CHEDET.CC atau Blogging To Unblock.
PENA MAHATHIR
Saya secara peribadi sangat menghormati pemimpin yang rajin membaca dan menulis. Pemimpin bukan sahaja boleh menarik minat rakyat, menolong rakyat semasa susah, tetapi pemimpin yang baik ialah mereka yang boleh membawa perubahan kepada perangai dan sikap para pengikutnya.
Pemimpin yang banyak membaca dan menulis mempunyai ideologinya yang tersendiri. Idea untuk mengubah rakyat dengan penulisan adalah seni yang tidak ada dalam kebanyakkan pemimpin yang lain. Ramai pemimpin politik yang ada hanya pandai menabur janji dan popular di kalangan para pengikutnya, tidak kiralah popular menggunakan duit atau terpekik terlolong dianggap hero.
Mengikut sejarah, Tun M mula menulis di akhbar ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya Singapura. Ketika itu, internet tidak ada dan akhbar juga sedikit. Menjadi kolumnis bagi sesebuah akhbar adalah satu pengiktirafan dan luar biasa!
Dalam penulisannya, Tun M banyak menulis dan memperjuangkan nasib orang Melayu yang perlu diberi peluang untuk maju seiring dengan bangsa-bangsa lain. Beliau menjadi kolumnis untuk akhbar Sunday Times dan menggunakan nama timang-timangannya CHE DET.
MENULIS BUKU KONTROVERSI
Suasana politik Malaysia runcing pada tahun 1969. Tun M sendiri tewas dalam PRU ketika itu kepada Hj. Yusuf Rawa (PAS) dengan majoriti 89 undi di Parlimen Kota Star Selatan.
Tun M beranggapan Tunku Abdul Rahman begitu memihak kepada kaum Cina dan meminggirkan kaum Melayu ketika itu. Oleh kerana itu, DAP menang banyak kerusi di Kuala Lumpur dan mencetuskan kemarahan orang Melayu sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei yang mengguris perasaan orang Melayu seperti slogan “Mati Melayu, Sakai Pergi Masuk Hutan” dan “KL Sekarang Cina Punya”.
Tun M ada pendapatnya dan menulis surat terbuka kepada Tunku Abd Rahman untuk bertanggungjawab dengan masalah rusuhan kaum 13 Mei dan perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Disebabkan Surat Terbuka itu, Tun M dipecat daripada UMNO kerana lantang bersuara menyuruh Tunku meletakkan jawatan. Bermulalah kehidupan Tun M sebagai ahli UMNO yang dipecat dan terbuang.
Tun M tidak duduk diam, selepas tewas dalam PRU dan dibuang daripada UMNO, beliau bergiat semula di Klinik MAHA dan menulis sebuah buku yang sangat kontroversi yang bertajuk “THE MALAY DILEMMA”.
Buku ini diharamkan dalam era Tunku Abd Rahman dan tiada penerbit yang berani untuk menerbitkan The Malay Dilemma.
Buku tersebut mengisahkan tentang masalah orang Melayu, perangai orang Melayu yang perlu diubah untuk membawa Melayu ke arah yang lebih baik. Masalah tidak menerima kritikan menyebabkan ada pemimpin ketika itu sangat takut dengan buku ini lantas mengharamkannya.
CHE DET SERTAI BLOG
Selepas 40 tahun dipecat daripada UMNO kerana mengkritik kepimpinan Tunku, Tun M membuat perkara yang sama iaitu mengkritik kepimpinan Tun Abdullah kerana kelemahan dalam pemerintahan.
BN mengalami kekalahan yang agak teruk dalam PRU 12 dan Tun M menganggap perkara ini berlaku adalah disebabkan kelemahan pentadbiran Pak Lah yang membuka banyak ruang kepada pembangkang bagi menghentam kerajaan.
Akibat kelantangan Tun M menyuarakan kritikannya, beliau disekat oleh Pak Lah untuk membuat sidang media, diwawancara wartawan, berjumpa dengan ahli UMNO, memberi ucapan dan sebagainya. Disebabkan itu, Tun M meletakkan jawatan dalam UMNO dan akan masuk semula ke dalam parti selepas era Pak Lah.
Sekatan media dan kebebasan bersuara lebih menyebabkan Tun M tidak duduk diam, pada tanggal 1 Mei 2008 ketika berumur 82 tahun, Tun Mahathir menyertai alam siber dengan menubuhkan blognya sendiri yang diberinama CHEDET.CC.
2 bulan pertama blog ini dilancarkan, seramai 3 juta pelawat dicatatkan mengunjungi blog tersebut. Setahun kemudian 19 juta pelawat dan ketika ini (2012) pembaca blog Tun Mahathir sudah menjangkau hampir 43 juta orang!
Tun M mendapati menulis di blog lebih bebas, tiada sebagai suntingan dan beliau bebas untuk menulis apa yang beliau sarankan. Ini menyebabkan beliau sangat seronok untuk terus menulis dan menulis. Penangan tulisannya memberi impak kepada pengunduran Pak Lah daripada jawatan Presiden UMNO.
“Masyarakat mahu menyuarakan perkara ini dan mereka dapati apa yang saya katakan adalah apa yang mereka mahu katakan. Sebab itulah mereka berminat membaca blog saya”, kata Tun Dr. Mahathir dalam rancangan HISTORY : Mahathir.
Benarlah “Mata Pena Itu Lebih Tajam Daripada Mata Pedang”.
MUNGKINKAH ADA “THE MALAY DILEMMA 2”?
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 1 Oktober 2012.
ahaa sememangnya, UV blog tue mmg tinggi walaupun bru 2 bulan..mmg the best la DR Mahathir
Membacalah sebanyaknya untuk menulis….
dan menulislah (ilmu) untuk dibaca…. Pena itu seperti sebilah pedang….untuk berjuang.
Menyuarakan pendapat dengan cara yang betul dan berani.. salah satu sebab MJR menulis,mungkin..
Artikelnya dinanti-nantikan.. hehe.. Thanks follow my blog..