Tun M : Taksub – Assabiah

HARI ini kita lihat orang Islam bukan sahaja tidak bersatu tetapi pecah seribu dan sering berperang sesama mereka. Dengan itu mereka menjadi lemah dan mudah dikuasai oleh musuh Islam. Keadaan ini berlaku kerana ketaksuban pengikut pentafsir-pentafsir agama Islam.

Bagi mereka – guru, imam atau pemimpin mereka lebih utama dan lebih tepat ajaran Islam mereka daripada al-Quran dan hadis yang sahih. Walau apa pun yang dilakukan oleh guru dan pemimpin mereka, walaupun jelas bertentangan dengan ajaran yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, mereka tetap akan terima pendapat guru mereka tanpa soal.

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang berasas kepada wahyu daripada Allah SWT hanyalah satu. Tetapi kerana tafsiran-tafsiran yang berbeza, maka kini terdapat banyak ‘agama’ Islam. Dengan ini berpecahlah umat Islam kepada mazhab atau puak-puak yang berbeza fahaman Islam mereka.

Orang Islam dilarang berperang sesama mereka atau membunuh orang Islam lain. Tetapi dengan mendakwa bahawa puak- puak lain ini bukan Islam dan murtad maka mereka menghalalkan permusuhan, pembunuhan dan peperangan dengan orang yang didakwa kononnya murtad ini.

Sementara Islam menerima orang yang mengucap dua kalimah syahadah iaitu “La illahaillallah Muhamadur Rasulullah” (Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh-Nya) sebagai orang Islam, lebih-lebih lagi apabila mereka berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman, tetapi guru mereka menambah kepada syarat ini dengan mendakwa hanya yang mengikut mereka sahaja yang boleh diterima sebagai orang Islam.

Apabila guru pula mencampur aduk agama Islam dengan kepentingan politik mereka maka berlakulah perpecahan yang lebih ketara dan mendalam di antara orang Islam.

Perpecahan yang disebabkan politik ini berlaku walaupun mereka berpegang kepada ajaran dan mazhab yang sama. Umpamanya di Malaysia, Alhamdulillah, semua orang Melayu terdiri dari Ahlil sunnah waljama’ah, yang bermazhab kepada Imam Syafie tetapi mereka berpecah kerana ajaran parti politik yang memperalatkan Islam.

Ketaksuban kepada pemimpin politik yang sebeginilah yang menyebabkan pengikut dan pemimpin Pas menerima dakwaan Nik Aziz bahawa orang UMNO murtad.

Memurtadkan orang Islam adalah satu perkara yang amat berat. Ia tidak boleh dibuat dengan mudah oleh mana-mana individu atau puak walaupun terpelajar dalam bidang Islam. Ia memerlukan penyelidikan dan pengadilan oleh ulama-ulama yang tidak berkepentingan.

Pihak yang dituduh hendaklah disoal periksa dengan cara yang jujur, tersusun serta adil kerana keadilan amatlah dituntut oleh agama Islam. Berkali-kali al-Quran menegaskan, “Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil”.

Dakwaan Nik Aziz bahawa orang UMNO sudah murtad, yang dibuat dengan mudah tanpa usul periksa, tanpa memberi peluang untuk mempertahankan diri, tidak mengikut kehendak Islam supaya berlaku adil. Sebenarnya hukuman ini tidak Islam sama sekali.

Apakah 3 juta orang UMNO ini pernah menolak Allah SWT sebagai Allah yang satu atau mendakwa bahawa Nabi Muhammad bukan Rasul-Nya. Apakah azan orang UMNO atau muazzin atau imam mereka tidak menyebut “Asyahaduallaha illallah, wa asyahaduanna Muhammadur Rasulullah”. Tidak ada seorang pun daripada orang UMNO yang tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Apakah yang diucap atau dilakukan oleh 3 juta orang UMNO yang boleh menjadikan mereka murtad? Apakah ada bukti mereka menyembah Tuhan lain?

Saya pernah berkata dalam bahasa Inggeris “Better the devil you know than the angel you don’t.” Ini adalah pepatah Inggeris. Ia bukan bermaksud devil (syaitan) dan jauh sekali angel (malaikat). Ia hanya bermaksud “lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali”. Saya maafkan Nik Aziz yang tidak faham maksud pepatah Inggeris ini.

UMNO bekerjasama dengan MCA, Gerakan dan MIC yang dikenali lama. Pas bekerjasama dengan DAP, anak kandung PAP Singapura, yang tidak dikenali oleh Pas, dan yang menolak perjuangan Islam Pas.

Lagipun PAP dahulu cuba menimbul kebencian orang Cina terhadap UMNO dan Perikatan, sehingga Singapura terpaksa dikeluarkan daripada Malaysia. Lihat sahajalah nasib orang Melayu di Singapura.

Dan lihat juga bagaimana Menteri Besar Perak daripada Pas terpaksa tunduk kepada DAP sehingga memberi tanah kepada penyokong DAP buat selamanya walaupun dasar negara ialah geran tanah hanya boleh diberi setakat 99 tahun sahaja.

Sesungguhnya rakan Pas lebih dekat dengan devil yang tetap akan menguasai Pas jika Pas menjadi kerajaan – nauzubillah.

Selain daripada kurang faham pepatah Inggeris ini, apalagi yang dilakukan oleh UMNO yang boleh menjadi 3 juta ahlinya murtad. Apakah kerana tidak menyokong Pas atau tidak mengundi Pas maka ahli UMNO menjadi murtad. Di mana dalam al-Quran dan hadis yang sahih atau tulisan ulama yang tidak berkepentingan yang mendakwa kegagalan menyokong Pas menjadikan orang Islam UMNO murtad.

Sebaliknya banyak yang diamalkan oleh Pas adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Sementara Islam menuntut supaya orang Islam bersaudara. Nik Aziz mendakwa orang UMNO sudah tidak Islam, Pas dan ahli Pas menolak berimam dengan imam UMNO dan mendirikan sembahyang dua imam, perkuburan orang Pas mestilah diasingkan daripada kubur orang UMNO, perkahwinan orang UMNO dengan orang Pas dilarang dan bermacam lagi yang menolak ajaran al-Quran bahawa orang Islam itu bersaudara.

Pas mendakwa bahawa mengundi Pas menentukan syurga bagi si mati. Sekarang ada orang bukan Islam yang berjanji dan akan undi Pas. Apakah mereka ini dan ahli DAP yang bukan Islam juga akan ke syurga?

Sesuatu yang tidak disukai Allah SWT ialah ketaksuban (fanatik) kepada seseorang pemimpin sahaja. Golongan assabiah termasuk Khawarij inilah yang memecahbelahkan orang Islam sehingga mereka berperang sesama mereka dan secara langsung menjayakan perjuangan musuh Islam.

UMNO tidak dakwa orang Pas sudah murtad kerana menyalah guna, menyalah tafsir dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Selagi mereka mengucap dua kalimah syahadah dan tidak menyekutukan Allah, mereka tetap orang Islam. Tetapi mereka harus bertaubat kerana mendakwa orang UMNO murtad tanpa sebab dan menarik balik dakwaan itu.

UMNO tidak akan hukum Pas kerana banyak salah guna Islam. Allah SWT yang akan hukum.

Tun Dr. Mahathir Bin Mohammad

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121129/re_01/Taksub—assabiah#ixzz2DcnJFJoQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *