Saya Bangga Menjadi Melayu, Saya Bukan Orang Arab

Saya dengan rendah diri ingin memberitahu bahawa saya BANGGA MENJADI MELAYU. Walaupun arwah atuk saya bernama J.Kumar (dalam IC ditulis Jacomah), seorang Benggali yang berasal daripada Dhaka, Bangladesh. Manakala arwah nenek pula berasal daripada Jawa Barat Indonesia, namanya Yem Binti Wongsotarno. (Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya). Di sebelah ibu, kami berketurunan Jawa dan ada sikit-sikit darah Siam.

Sebelum merdeka, British tidak memanggil orang Melayu sebagai Melayu. Jika kamu orang Kedah, akan dipanggil Kedahan. Jika kamu orang Kelantan, kamu akan dipanggil Kelantanese dan jika berasal dari Johor akan dipanggil Johorian. British mengamalkan dasar Pecah Dan Perintah supaya orang Melayu tidak bersatu dan kekal dengan semangat KEKITAAN negeri yang menebal. Dengan cara ini, orang Melayu tidak fokus untuk bersatu menolak British.

Hanya selepas orang-orang Melayu daripada seluruh Tanah Melayu mulai sedar dengan ancaman Malayan Union, Pendeta Za’ba mencadangkan agar slogan HIDUP MELAYU diperkenalkan untuk membawa kesatuan orang-orang Melayu.

Persoalannya, siapakah itu ORANG MELAYU?

Petikan sajak bertajuk MELAYU tulisan Allahyarham Usman Awang ada menceritakan ;

“Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu”

Dalam lagu UMNO terdapat satu baris lirik yang berbunyi “Kita RUMPUN Melayu”. Mengapa tidak ditulis “Kita ORANG Melayu”? Jawapannya ada di atas ; “Melayu itu luas maknanya.”

Saya walaupun seorang yang berketurunan Benggali, tetapi tidak banyak budaya Benggali yang dipraktikan dalam hidup. Hanya beberapa sahaja yang masih diamalkan seperti gemar memakan capati, kuah dhal dan pantang jumpa kari kambing! Budaya-budaya lain dah ikut cara orang Melayu.

Saya tidak berapa faham dengan segelintir orang yang bertungkus-lumus mahu menghilangkan “Melayu” dalam hidupnya yang dikatakannya tidak membawa kepada syurga. Mereka ini suka mengikut cara Arab dengan mahu berkahwin dengan orang Arab, memaksa diri menjadikan Nasi Mandy sebagai makanan kegemaran, cakap dah macam ala Arab P.Ramlee dengan tujuan mahu mengikut kehidupan Nabi.

Saya berasa lucu, saya tidak fikir bahawa Islam itu datang adalah untuk menghapuskan budaya sesebuah bangsa secara total. Islam itu datang meng-Esakan Allah dan mengubah budaya yang buruk kepada baik. Dan saya fikir orang Melayu sudah pun membuang sedikit demi sedikit budaya yang khurafat dan bertentangan dengan Islam.

Orang Melayu kaya dengan sopan santun yang bertepatan dengan Islam. Orang Melayu juga gemar pulang ke kampung menziarahi orang tua yang dituntut Islam. Banyak lagi budaya Melayu yang baik dan tidak ditolak Islam.

Mengikut sunnah Nabi sangatlah dituntut, tetapi cuma jangan kita berlebih-lebih dan menghina orang lain yang tak berjubah. Saya pernah dengar orang kata ; “Masa pagi raya mesti pakai jubah baru ikut Sunnah, pakai baju Melayu bersamping ni tak bawa kepada Iman dan Taqwa”. Saya tidak pernah dengar Nabi bersabda begitu, yang kita tahu pakaian orang beriman adalah menutup aurat dan tidak semestinya berjubah.

Keghairahan ‘membuang’ budaya Melayu kerana nak ikut Nabi mungkin ada sedikit salah faham. Orang kita gemar bersandarkan bahawa sunnah Nabi adalah pakai jubah, serban, dan celak. Tetapi jarang untuk mencontohi sunnah Nabi yang lebih besar dengan berkata jujur, berhikmah, pembersih, menepati waktu, tidak menipu, sayang anak yatim, sayangi fakir miskin, sayangi anak kecil, bersedekah, senyum dan kuat berusaha.

Bukankah budaya Melayu banyak mengajar tentang akhlak ;

– Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri. (Jangan cakap bohong, nanti lama-lama sudah pandai mencuri)
– Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. (Belajar kenang budi dan terima kasih)
– Yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Kita harus bijak memelihara budaya kita agar bertepatan dengan agama Islam dan bukan cara Islam untuk membuang budaya bangsa yang baik. Kita harus dapat bezakan yang mana budaya Arab dan yang mana sunnah Rasulullah. Hisap Syisha bukan sunnah Nabi tetapi budaya orang Arab. Itulah penyakit kita, asal orang Arab buat, semua nak kata sunnah Nabi.

Orang India tetap pasang lagu Hindustan di kedainya walaupun mereka Islam. Orang Cina tetap dengan Mee Tarik China dan reka bentuk masjid mereka mirip tamadun Cina walaupun mereka Islam.

Budaya Melayu yang baik perlu dipelihara. Percayalah, budaya dan bangsa adalah salah satu tanda KEKUASAAN Allah Subhanahu Wa Taa’la yang mencipta manusia pelbagai rupa, bahasa dan berbangsa-bangsa.

Saya berbangga (nada bersyukur) menjadi Melayu kerana Allah muliakan Melayu dengan Islam.

P/S : Pembangkang kata 40,000 orang Bangladesh mengundi semasa PRU13, saya adalah salah seorangnya, ada berani tangkap saya?

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 12 November 2013.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *