CUIT : Saya Dan Jalan Lima Utusan Melayu

Staf Kumpulan Utusan bergambar kenangan di pejabat lama mereka sebelum berpindah ke pejabat baru
Staf Kumpulan Utusan bergambar kenangan di pejabat lama mereka sebelum berpindah ke pejabat baru

OLEH : Zaini Hassan (Diterbitkan pada 26 Jun 2013 – Utusan Malaysia)

PEJAM celik, pejam celik sudah 23 tahun saya bersama akhbar ini, Utusan Malaysia.

Sepanjang tempoh itu banyak kenangan yang saya lalui. Kewartawanan sesungguhnya hidup saya.

Saya memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet pada Januari 1989 di Jalan 5, Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Terlalu teruja saya dengan dunia ini. Saya mengejar berita di sana-sini. Arahan ketua tidak pernah saya langgar. Kerana terlalu minat saya lakukannya semua tugas diberi.

Saya berkahwin pada 1990. Tiga bulan kahwin, isteri saya terbang ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran. Saya tak peduli, walaupun ditinggalkan seorang dalam suasana yang masih membara.

Masih teringat Ketua Pemberita masa itu, Rosli Ismail berkata, “Hang tinggal kerja, “pi ikut bini hang”. Saya tak peduli arahan beliau.

Saya terus berlari ke sana ke mari mengejar berita. Hanya surat aerogram penghilang rindu. Pada masa itu tiada e-mail, whatsapp atau facebook.

Saya terus mengejar pak-pak menteri sehinggalah ke tugasan tinjauan rakyat yang mengadu longkang pecah atau kisah sedih keluarga miskin tinggal dalam gerobok. Hidup saya ialah kepada tentang kewartawanan.

Terima kasih saya kepada guru kewartawanan saya di Kajian Sebaran Am, ITM, Murad Marican (kini Profesor Dr.) yang ketika itu meminta saya membuat latihan amali di Utusan Malaysia.

Ibu pejabat Utusan Malaysia masa itu, sekitar 1988, sudah terlalu lama. Sejak berpindah dari Cecil Street di Singapura pada Februari 1958, di Jalan Lima, Chan Sow Lin itulah pejabat Utusan. Buruk dan tidak terurus. Siling tinggi dan dipenuhi kepulan asap para wartawan yang terkacip di bibir-bibir mereka batang rokok.

Saya masih teringat jari jemari Mustakim Aminuddin, Editor Sukan Utusan menari-nari di mesin taip, sambil rokok terpacak di bibir. Itu adalah trademark beliau. Begitu juga dengan sub-editornya, Abang Zainal, perokok tegar. Kepulan asap rokok Faridah Hitam dan Norela Daud, bagaimanapun lebih hebat daripada asap rokok lelaki.

Rokok hanya diharamkan di Jabatan Pengarang Utusan di zaman Khalid Mohd menjadi Ketua Pengarang.

Sebelum Khalid, Ketua Pengarang Johan Jaaffar (Datuk), gemar menggonggong rokok di bibirnya tanpa menyala. Dia melilau ke hulu ke hilir di celah-celah meja kami, setiap petang ala pelakon teater, mencari ilham menulis kolum satiranya.

Alhamdulillah, kesemua mereka masih sihat sehingga ke hari ini. Suasananya di bilik berita ketika itu cukup hebat.

Arahan ketua di sana-sini. Hilai ketawa tidak henti-henti. “Kau duduk di sini,” arah seorang pemberita apabila saya mula melaporkan diri membuat latihan amali, atau dikenali sebagai praktikal.

Saya masih ingat pemberita itu. Beliau ialah seorang lelaki sedikit gendut yang kemudian saya kenali dia sebagai Badrul Hisham Abdul Aziz. Dia banyak mengajar saya. Membetulkan berita-berita yang saya tulis, dibakulsampahkan satu demi satu apa yang ditulis, tanpa rasa kasihan, sehinggalah saya boleh menulis berita dengan betul.

“ITM ajar tulis berita macam ni ke! Kau ingat kau datang dari ITM hebat sangat, buat balik…,” jerit beliau.

Itulah Bad. Arwah YB Datuk Bad. Yang kemudian semasa saya memegang jawatan Penolong Pengarang Berita, bersama-sama beliau beberapa tahun kemudian, dia berhenti daripada Utusan untuk bertanding pilihan raya. Beliau adalah rakan saya yang cukup riuh dan colourful ketika itu. Al-Fatihah.

Pada masa itu ketika menaip menggunakan mesin taip, kami semua menggunakan kertas dengan salinan karbon sebanyak enam keping.

Semua diserahkan kepada Pengarang Berita ketika itu, (Encik) Khalid Mohd (kini Datuk) untuk disunting.

Dengan wajah berbauk (berjambang), para pemberita melihat Encik Khalid macam singa. Memang macam singa pun, ramai pemberita baik yang lama apatah lagi yang baru macam kami, semua gerun dengannya.

Evolusi teknologi berkembang satu demi satu. Daripada mesin taip, berubah menggunakan komputer yang cukup asas. Berita ditulis dan disimpan dalam disket dan diserahkan kepada Encik Khalid untuk disunting.

Kemudian sistem rangkaian memasuki ke jabatan pengarang Utusan, sehinggalah ke hari ini.

Masih ingat cerewetnya, pengurus jabatan pengarang, Haji Taib Ahmad yang menguruskan sistem komputer itu. Walaupun beliau orang lama, namun celik ITnya cukup tinggi masa itu. Dialah juga yang menemuduga saya masuk Utusan. Masih terngiang-ngiang kata-katanya kepada batch kadet kami yang berjaya. “Ingat yang terbaik sahaja akan kekal di Utusan. The sky is the limit.” Haji Taib kini dalam usia 70-an dan kurang sihat.

Hari ini semuanya cukup pantas. Gambar boleh dihantar terus dari tepi padang bola. Dulu perlu ada runner untuk menghantar filem balik ke pejabat untuk diproses di bilik gelap.

Malangnya kadang-kala kepantasan teknologi, gagal pula mengatasi keupayaan fizikal dan pemikiran manusia, menyebabkan produk akhirnya, terbabas juga dan lambat ke pasaran.

Banyak kenangan di Utusan. Setahun selepas menjawat jawatan pemberita kadet, saya dihantar oleh Ketua Pengarang, Zainuddin Maidin (kini Tan Sri dan bekas Menteri Penerangan) bertugas di Kota Bahru. Kerajaan 18 tahun BN jatuh ke tangan Pas selepas PRU 1990.

Pada masa itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat baharu sahaja masuk ke pejabat MB. Pada masa itu tiada istilah boikot memboikot akhbar, terutamanya akhbar Utusan. Nik Aziz pun membaca Utusan setiap hari.

Saya bersama-sama pemberita-pemberita akhbar lain, termasuk Shamsul Akmar (NST, kini bertugas dengan Tun Mahathir), bosnya Badrul Hisham Mahzan (kini Pengarah Pemasaran NSTP) dan lain-lain menjadikan pejabat MB Nik Aziz sebagai rutin rondaan kami.

Nik Aziz boleh bergurau-gurau dengan kami. Jika bukan di pejabat, rumah rasminya di JKR 10 akan menjadi tempat kami melepak. Boleh masuk sampai ke dapur dan makan.

Masih teringat juga kami sering ke rumah Ku Li di Palm Manor, KB (istana kecil warna putih di Jalan Sultan Ibrahim) untuk mewawancara beliau. Ku Li pada masa itu ialah Presiden Semangat 46.

Politik di sana-sini sudah menjadi sarapan, makan tengah hari dan makan malam kami.

Tiada apa-apa insiden buruk berlaku. Kerja kami berjalan seperti biasa. Kurang dua tahun di KB saya diarah pulang semula ke ibu pejabat dan saya bertugas sehinggalah ke saat ini di Jalan Lima.

Minggu lalu, kami diarahkan berpindah ke bangunan baru. Bangunan baru di sebelah Jalan Lima sudah siap. Ia adalah bangunan ultra-moden. Bercirikan environmental friendly (mesra-alam). Ada antara lantai tanpa jubin. Saya suka dengan suasana itu. Saya pernah pergi ke rumah seorang sahabat arkitek, juga macam rumah tak siap — tapi itulah trendnya sekarang. Ada banglo-banglo besar atau pejabat korporat, termasuk Menara MK di Damansara, membiarkan batu bata tidak dilepa dan lantai tidak dijubin.

Semasa sibuk-sibuk mengemas dan membungkus barang-barang ke dalam kotak, seorang rakan terjumpa sekeping kertas jadual kerja lama.

“Cuba tengok empat nama-nama ini semua sudah tiada di dunia,” kata Rosmanizam Abdullah @ TL Ang, Penolong Pengarang Utusan. Saya yang melihat kertas itu juga terkelu.

Mereka, ikut turutan roster itu adalah Bakarudin Busu, Saadon Jaafar, Johari Shawal, Sry Angreni Zet.

Kebetulan sungguh nama mereka sederet dalam senarai roster itu. Mereka ini semuanya sudah meninggalkan kita. Mereka meninggal dunia dalam usia masih muda. Al-Fatihah.

Cuit ini kini ditulis semasa kami semua karyawan Utusan sudah berada di bangunan baharu yang belum diberi nama lagi. Kini bangunan kami sudah ada lif. Dulu semasa orang bertanya tingkat berapa pejabat Encik, saya berkata, tingkat 2 sahaja.

Diharapkan selepas ini semangat Utusan akan terus membara, seperti membaranya bangunan baru ini.

Selamat maju jaya Utusan Melayu!

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130626/re_05/Saya-dan-Jalan-Lima-Utusan-Melayu#ixzz2XRe4u1oa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *