Cuaca terasa bahang kebelakangan ini. Bahang PRU13 masih belum reda sudah ditambah pula dengan bahangnya cuaca yang meresahkan ramai orang.
“Kenapa terasa panas sangat ni?”, tulis seorang rakan di akaun Twitternya.
Di sana sini saya mendengar keluhan rakan-rakan. Ada juga yang menulis status baju basah dibanjiri peluh walaupun kipas di tahap maksimum, aircond pasang tapi macam tak berfungsilah, dan macam-macam lagi.
Kolumnis Johardy Ibrahim juga menulis dalam Mingguan Malaysia pada 19 Mei 2013 yang lalu tentang KETIBAS (KETIak BASah). Satu tajuk yang kelakar tetapi membincangkan tentang perihal kita umat manusia yang tidak selesa apabila terasa panas. Beliau juga berkongsi tentang fenomena cuaca dan pengalamannya sendiri ketika di US.
Persoalan kepada fenomena panas luar biasa ini telah dijawab oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengatakan cuaca panas ini disebabkan oleh ribut Tropika Aere berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara kita.
Kali ini, jerebu melanda lagi. Semua orang berada dalam keadaan resah gelisah. Pembakaran terbuka berlaku di Riau Indonesia ‘menghilangkan’ seluruh Singapura dan sebahagian Malaysia.
Itu persoalan lain, kaedah saintifik sudah menjawab persoalan ini, tetapi saya terfikir tentang satu perkara, ADAKAH ALLAH SEDANG MENGHUKUM KITA?
SEBAB ALLAH TAK TURUNKAN HUJAN
Saya menonton Buletin 1.30 di TV3, berita melaporkan kejadian puting beliung membadai Oklahoma (sebuah negeri di Amerika Syarikat) sehingga merosakkan ratusan kediaman di sana. Saya juga sayu melihat sebuah sekolah menerima nasib yang sama dan pasukan penyelamat mengeluarkan pelajar daripada runtuhan sekolah tersebut.
Kejadian puting beliung di Amerika Syarikat bagi kita adalah satu perkara yang biasa. Semasa kempen Presiden US juga terjadi perkara yang sama, taufan Sandy meranapkan sebuah negeri di AS.
Negara kita Malaysia kurang mengalami bencana alam, paling hebat setakat ini adalah Tsunami tahun 2004 di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Itupun hanya serpihan daripada Tsunami yang berlaku di Acheh, sungguhpun demikian kita turut berasa terjejas sehingga ada yang terkorban.
Saya ada mendengar ceramah daripada Ustaz Kazim Elias, beliau berbincang tentang punca-punca mengapa Allah tak turunkan hujan dan menurunkan bala.
1. Zina Berleluasa
Saya sempat bersama dalam majlis angkat nikah sepupu saya baru-baru ini. Sebagai seorang yang masih belum bernikah, saya pun turut berdebar-debar melihat keadaan sepupu yang sudah basah tergetar-getar.
Jurunikah hanya menyuruhnya membaca selawat nabi dan istighfar secara kuat! Habis tercungap-cungap akibat berdebar! Kelu lidah tak terkata.
Selepas itu akad nikah pun bermula. Percubaan melafazkan akad gagal! Disebabkan pengantin lelaki menyebut perkataan ‘nya’ yang tidak ada dalam ayat yang disebutkan oleh Jurunikah. Hampir 10 minit diperlukan oleh sepupu saya untuk bertenang bagi melafazkan akad dengan sempurna. Alhamdulillah, beliau selamat bernikah akhirnya!
Saya melihat proses perkahwinan agak rumit. Perlu kursus, mengisi itu dan ini, belum lagi ditambah dengan karenah ibu mertua yang meminta hantaran tinggi dan grand! Kahwin pertama kali pun susah, inikan pula nak berkahwin 2,3, dan 4? Mungkin sebab itu ramai orang memilih berkahwin di Thailand? Walallhua’lam.
Sepatutnya benda yang halal dipermudahkan (nikah) dan yang haram diperketatkan (zina).
2. Zakat Tak Dibayar
Zakat juga salah satu faktor mengapa Allah tak turunkan hujan. Pernah diceritakan terdapat ladang atau sawah yang rosak akibat terlalu kering dan diserang serangga perosak. Tak tahulah apa alasannya, tapi orang kata pemilik sawah itu mengelak membayar zakat tanaman. Mungkin juga ada asasnya.
Zakat Fitrah, InsyaAllah semua orang membayarnya. Kutipan zakat di setiap negeri mencecah jutaan ringgit. Cuma zakat emas, pertanian, perniagaan agak sukar untuk ditunaikan.
3. Memutuskan Silaturrahmi
Inilah yang paling banyak berlaku sekarang. Lagi-lagilah demam Pilihanraya masih tidak lega lagi. Bangsa sama, agama sama, makanan sama, baju sama, sekolah sama, bahasa sama, cuma bendera sahaja yang lain, habis bertengkar.
Kita benci buat maksiat, kita benci mendedahkan aurat, tapi putuskan persahabatan yang banyak berlaku sesama masyarakat. Masing-masing harus bermuhasabah. Tidak berbaik-baik lebih daripada 3 hari, nescaya Allah akan murka.
ADAKAH ALLAH SEDANG MENGHUKUM KITA?
Apabila perkara yang kita lakukan mengundang kemurkaan Allah. Sama-samalah kita rasa seorang sedikit jerebu, panas, hujan, taufan dan sebagainya.
Semurka-murka Allah dengan sifatnya MAHA MEMBALAS, Allah masih menyayangi kita dengan sifat-Nya Yang Maha Pengasih. Apa yang berlaku tidak berlaku secara sia-sia, ada perkara yang Allah SWT mahu kita mengambil pengajaran.
Ianya terpulang kepada kita untuk menilai sesuatu musibah itu dari kaca mata yang mana. Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
[Al-Rum 30:41]
Ya. Allah turunkan bala agar kita insaf dan kembali bertaubat.
AMPUNKAN DOSA-DOSA KAMI YA ALLAH
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 28 Jun 2013.
Setelah baca artikel awak… saya semakin faham isu nie… terima kasih… harap pembaca lain bookmark blog nie…
Allah menghukum kita melalui kifarah yg kita dah buat. Sebab itu kita kena rajin solat 5 waktu dan tidak boleh ditinggalkan. Kerana solat dapat mencegah diri kita drpd perbuatan mungkar. Walaupun kita pernah melakukan maksiat sekalipun tapi itu merupakan peribadi dan aib sendiri yg perlu kita jaga. Kalau kita melakukan maksiat terang-terangan sampai orang luar nampak dan tak berani hendak tegur diri kita, maka kita telah menyusahkan org luar itu utk menegur diri kita agar aib diri kita terjaga. Maka di situlah kemungkaran utk perbuatan kita tersebut iaitu maksiat terang-terangan. Wallahua’lam.