Cepat Obses Cepat Gedebe

Kemarahan boleh menjemput sikap tidak profesional - Gambar Hiasan
Kemarahan boleh menjemput sikap tidak profesional – Gambar Hiasan

Saya puji perangai segelintir rakyat Malaysia yang begitu mengambil tahu tentang sesuatu perkara.

Fenomena ini boleh membuatkan kita tidak perlu lagi berita di TV dan portal berita di Internet. Semua berita boleh didapati apabila kita scroll sahaja status update di Facebook.

Ketika artikel ini ditulis, segelintir rakyat Malaysia begitu obses dengan isu yang berlaku di Mesir. Pelbagai kata-kata yang membangkitkan semangat juang menentang pemberontakan, ada yang berkongsi gambar-gambar kanak-kanak diserang, ada yang memaki dan ada juga yang turut mengambil laba politik dengan membandingkan kebaikan Morsi dengan pemimpin Malaysia.

Jika orang Mesir tahu, pasti mereka terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh segelintir rakyat Malaysia. Pastinya, seekor kambing dihidangkan kepada kita tanda berterima kasih!

Tetapi, kadang kala saya berasa lucu dengan sikap ini. Saya tidak berbicara soal perjuangan atau pihak mana yang betul atau mana yang salah dalam pertempuran di Mesir, tetapi tentang sikap kita sendiri.

Sebelum versi Mesir-Morsi ini meletus, masyarakat dunia sedang melihat kekalutan yang berlaku di dunia Arab. Perdana Menteri Turki Reccep Tayyib Erdogan berdepan dengan demonstrasi puak pembangkang, Syria pula bergolak dengan revolusi puak-puak Sunni yang ingin menjatuhkan pemimpin Syiah Bashar Al-Assad, dan timbul pula isu penubuhan pejabat Syiah di Klang yang menggemparkan semua orang di negara kita sendiri.

HAK KITA UNTUK MARAH

Setiap apa yang berlaku mengundang perkara yang sama. Kebiasaan yang berlaku ialah kita sering cepat marah dengan apa yang berlaku. Yang lebih menyedihkan lagi jika kemarahan ini turut mengheret orang lain untuk turut sama beremosi dengan kita.

Contohnya apabila berlaku isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad Sholallahu A’laihi Wasallam. Sebagai orang Islam, pastinya kita berasa marah dengan apa yang berlaku. Perkara ini turut mengheret suara hati saya bagi menempelak individu yang sanggup menghina Nabi yang maksum daripada dosa, Nabi Muhammad SAW.

Marah itu biasa. Tetapi cara kita menunjukkan kemarahan itu boleh menyebabkan tujuan marah bertukar kepada mengikut nafsu Amarah.

Mengambil contoh dengan apa yang berlaku terhadap diri saya sendiri. Satu hari saya menulis status di Facebook yang mempertikaikan tindakan segelintir manusia yang mengutip laba politik dengan menyalah dan memfitnah TV3 kerana mengatakan bekas Presiden Morsi adalah seorang Diktator.

Nampak gayanya, mereka sangat marah pemimpin itu digelar sebagai Diktator. Saya menegur mereka agar tidak menyebarkan berita atau tuduhan yang belum pasti benarnya terhadap TV3. Sekali lagi puak-puak ini marah terhadap saya.

Saya juga mengatakan bahawa dunia Arab memerlukan seorang pemimpin yang tegas dalam pemerintahan. Seperti yang kita maklum, bangsa Arab adalah bangsa yang keras kepala dan hanya pemimpin yang tegas sahaja yang mampu mengawal sikap keras kepala rakyatnya. Morsi melakukan hal yang sedemikian, beliau menggubal undang-undang yang memberikan lebih kuasa kepada beliau (Presiden) untuk mentadbir negara.

Disebabkan pengubalan rang undang-undang di negara Mesir yang memberi lebih kuasa kepada Presiden Mesir itulah beliau dilihat sebagai tindakan Diktator oleh kumpulan penentang Morsi dan Ikhwanul Muslimin.

DIKTATOR. Itu adalah alasan yang digunakan oleh puak anti-Morsi untuk menghasut rakyat menggulingkannya. Inilah yang disebutkan oleh pengacara Ally Iskandar dalam Malaysia Hari Ini (MHI), beliau memetik sebuah wawancara yang mengatakan bahawa penentang Morsi mengatakan Morsi adalah seorang pemimpin Diktator.

Apabila Ally Iskandar berkata seperti itu, tiba-tiba puak-puak pembangkang Malaysia menggunakan isu ini dan disebar di dalam internet bahawa TV3 mengatakan Morsi adalah seorang Diktator. Paling sedih, ramai yang menyebarkannya walhal mereka tidak mengetahui perkara yang sebenar dan orang-orang yang menyebarkan fitnah ini adalah terdiri daripada golongan yang memboikot TV3.

Bagaimana kita boleh percaya kepada golongan pemboikot yang tidak menonton? Hanya seorang pemboikot menonton TV3 dengan tujuan mencari ruang kesalahan, apabila terjumpa dan disebarkan di internet secara meluas. Inilah yang dikatakan fitnah di akhir zaman hadir menerusi bumbung-bumbung rumah kita sendiri (internet).

Ally Iskandar menyebut “ada orang kata”, ianya berlainan dengan “saya kata”, “saya fikir”, “saya rasa”. Jika anda tidak dapat membezakan perkara ini, tak tahulah apa lagi yang hendak dikatakan.

FITNAH MENJADIKAN ORANG GEDEBE

Apabila fitnah berkaitan TV3 ini berluasa, ianya telah menyebabkan ramai orang menjadi gedebe. Saya bertanya kepada rakan-rakan Kelantan apa maksud gedebe, mereka kata maksudnya “samseng”, kadang kala boleh dikatakan sebagai “berani”.

Sebagai contohnya, seorang junior saya di sekolah adalah seorang pelajar yang baik dan bersopan santun. Tidak pernah meninggikan suara dan bercakap dengan elok dengan saya di bangku sekolah dulu. Apa yang menghairankan ialah apabila sudah berinjak dewasa, beliau menyertai PAS dan saya tidak pasti tarbiah mana yang digunakan oleh beliau dalam berpolitik.

Beliau adalah salah seorang yang melenting apabila saya berbicara tentang Morsi di Facebook. Beliau menganggap saya sebagai musuh beliau sehingga sanggup mengatakan diri saya “bengong” dan sebagainya. Saya menegurnya dengan mengatakan pemahaman beliau terhadap status saya silap, tetapi beliau terus memaki saya.

Saya menulis di Facebook :

Ada orang Sedih, Geram, Marah, Maki apabila Morsi dipanggil Diktator. Adakah anda tahu apa itu Diktator? Diktator boleh dikatakan pemerintahan kuku besi yg memberi kuasa luar biasa kepada pemimpin. Tun Mahathir juga pernah dituduh Diktator, tetapi penyokong dan Tun sendiri tidak gelabah beremosi kerana kita tahu Tun tidak begitu, Tun Mahathir seorang pemimpin yg hebat. Sama juga seperti Morsi, jika kita tidak menganggap Morsi sebagai Diktator mengapa harus beremosi? Bagi saya, bangsa Arab perlukan pemimpin yang ‘kuku besi’ untuk handle kaumnya yang keras kepala. Sangat jarang kita dengar zaman Hosni ada demo besar2ran sebelum digulingkan. Tidak ada masalah jika Morsi berkeras (sehingga dicop sebagai Diktator?), itu mungkin cara terbaik mengawal rakyatnya yg memberontak dgn alasan yg tak munasabah.

Tiba-tiba junior saya menyelit secara tiba-tiba tanpa memahami apa yang saya ingin katakan :

Screenshot_2013-07-08-14-01-40

Saya khuatir beliau dalam keadaan marah dan terus bertindak mem’bengong’kan orang lain tanpa memahami apa yang ingin dikatakan. Lantas saya menegurnya.

Screenshot_2013-07-08-14-01-40 (1)

Sebelum saya menulis status di atas, saya merujuk dahulu di Dewan Bahasa apa yang dimaksudkan dengan “DIKTATOR”. Apabila saya menulis, saya tidaklah menulis sebijik-sebijik apa yang ada dalam kamus dewan. Saya juga ingin menegaskan saya tidak mengatakan bahawa Morsi adalah seorang Diktator, tiba-tiba beliau menjawab lagi.

Screenshot_2013-07-08-14-02-23

Saya amat menghargai semangat yang ditunjukkan oleh Along Doli. Tapi sayang beliau tersilap memilih ‘musuh’ dalam memperjuangkan isu Mesir. Saya mungkin ada kelemahan dalam menyampaikan apa yang saya maksudkan dalam bentuk penulisan. Sedangkan YB Nurul Izzah bercakap di gereja tentang hak kebebasan beragama pun dipertahan oleh rakan-rakannya bahawa media tidak faham apa yang dikatakan oleh Nurul Izzah, inikan pula Along Doli tidak memahami apa yang saya tulis.

Along Doli, maafkan saya. Anda tidak faham apa yang saya maksudkan. Usah terlalu gedebe membawa satu-satu isu.

Dan lebih penting, mengapa pula kita di Malaysia saling bermusuhan? Apa yang kita dapat? Adakah dengan cara bermusuhan dapat menyelesaikan masalah? Itulah yang membawa saya untuk menulis di ruangan ini, mengapa kita terlalu obses dengan sesuatu isu tetapi akhirnya menyebabkan perpecahan di negara sendiri?

Saya harap kita tidak harus percaya dengan propaganda dari sesetengah pihak. Musuh Islam bertepuk tangan melihat masalah umat Islam semakin meruncing. Saya tahu Ikhwanul Muslimin mempunyai hubungan rapat dengan PAS, dan ini bukan bermakna anda boleh menggunakan isu ini untuk mendapatkan laba politik di Malaysia.

Bagi penyokong pembangkang, siapa yang tidak sokong Morsi adalah pengkhianatan kepada Islam. Saya tidak begitu, percayalah. Takkan saya mahu melihat kerajaan Islam runtuh?

Saya menulis hanya kerana mahu menegur sikap gedebe yang tidak bertempat, bukan mengajak agak orang membenci Morsi. Silap, itu silap jika mengatakan saya anti-Morsi.

Lagi satu buat apa saya hendak anti kepada Morsi, beliau bukan orang Malaysia. Saya lebih risau dengan sikap pemimpin pembangkang Malaysia yang cakap tak serupa bikin yang mencemuh demonstrasi menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat Mesir, tetapi bersikap berlainan dengan apa yang dikatakannya.

Jangan terlalu Obses, jangan pula terlalu Gedebe. Berpada-padalah.

NOTA : TERINGAT LAGU “DUNIA BARU ISLAM”.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 8 Julai 2013.

Related Post

3 Replies to “Cepat Obses Cepat Gedebe”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *