Susahlah Jika Banyak Beralasan

1. Majlis Fatwa telah mengharamkan wanita Islam daripada menyertai pertandingan Ratu Cantik. Peserta Islam itu mempertahankan penyertaan mereka dengan alasan ; “Mengapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta Ratu Cantik tak boleh?”. Ada juga yang mempertikaikan ; “Mengapa lelaki boleh sertai Mr. Universe? Mereka pun dedahkan aurat juga! Mengapa perempuan tak boleh sertai Ratu Cantik pulak? Bukankah sama mendedahkan aurat?”.

2. Pengharaman Shisha sudah dikuatkuasakan. Ianya dilarang untuk dijual di kedai-kedai makan atau di premis awam. Ada orang yang mempertikaikan ; “Rokok pun haram juga, mengapa rokok tak diharamkan dijual di kedai? Mengapa Shisha tak boleh?”. Inilah alasan yang digunakan oleh penggemar Shisha, kerana itu kita dapat melihat masih ramai yang menghisap Shisha di khalayak ramai tanpa rasa sangsi.

3. Tidak lama dahulu Majlis Fatwa Negeri Perak mengeluarkan fatwa pengharaman tarian Poco-Poco kerana dikesan mempunyai ciri-ciri daripada agama Kristian. Tarian Yoga juga haram daripada dipraktikan kerana dikesan mempunyai ritual agama Hindu yang dikhuatiri dapat menjejaskan akidah umat Islam. Orang yang selalu mempraktikan Poco-Poco dan Yoga memberi alasan ; “Tarian Kuda Kepang pun ada unsur-unsur mistik. Tarian Makyung pun ada kesan-kesan Khurafat, mengapa pula kami tak boleh berYoga dan berPoco-poco?”.

4. Orang kita terlalu banyak beralasan untuk meninggalkan sesuatu perkara. Alasan daripada perkara lain memberi ‘lesen’ kepada mereka untuk terus membuat perkara yang telah diharamkan oleh syarak. Renungilah sabda Nabi Sholallahu A’laihi Wasallam :

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu , dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,’Apa saja yang aku larang terhadap kalian, maka jauhilah. Dan apa saja yang aku perintahkan kepada kalian, maka kerjakanlah semampu kalian. Sesungguhnya apa yang membinasakan umat sebelum kalian hanyalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi Nabi-nabi mereka’.”

[Diriwayatkan oleh al-Bukhâri dan Muslim].

5. Apa sahaja yang dijadikan alasan oleh sesetengah pihak adakalanya masuk akal untuk diperdebatkan. Tetapi ianya tidaklah boleh digunakan hanya untuk melepaskan diri kita daripada terus melakukan perkara yang telah diharamkan syarak.

6. Sikap banyak bertanya dan memberi alasan telah menyebabkan kaum-kaum Nabi terdahulu ditimpa bencana oleh Allah Subhanahu Wa Taa’la.

7. Janganlah terlalu bertanya tentang perkara yang lain. Kita sudah diberikan oleh Allah sebuah akal yang mampu berfikir yang mana satu haram dan mana satu halal mengikut keilmuan yang kita pelajari. Tindakan memberi alasan dan asyik bertanya tentang amalan haram lain mengapa tidak diambil tindakan akan menyebabkan Amal Makruf Nahi Mungkar sukar dijalankan. Ianya akan menyebabkan sesuatu perkara menjadi lebih kompleks dan masyarakat akan menjadi serba salah untuk beribadat.

8. Usah pertikai, tinggalkanlah perkara yang haram. Takkan depan Allah di akhirat nanti kita nak jawab ; “Orang lain pun buat perkara Haram Ya Allah, bukan aku seorang sahaja.”. Akhirnya, orang itu dan orang ini masing-masing dimasukkan ke dalam api neraka! Di akhirat amalan akan dihisab mengikut individu, pada masa itu mulut sudah tidak boleh bertanya dan menjawab. Digam terus!

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu : “Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji kepada kalian, maka berhajilah”. Seseorang berkata,”Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?” Maka beliau diam hingga orang tersebut mengulanginya sampai tiga kali, kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,”Kalau aku katakan ya, niscaya hal tersebut menjadi wajib, dan niscaya kalian tidak akan sanggup,” kemudian beliau bersabda,”Biarkanlah aku terhadap apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian binasa karena pertanyaan dan penentangan mereka kepada nabi-nabi mereka. Jika aku memerintahkan sesuatu kepada kalian, kerjakan semampu kalian. Dan jika aku melarang sesuatu pada kalian, tinggalkanlah”.

[Riwayat Muhammad bin Ziyâd]

Rujukan Hadis : http://almanhaj.or.id/content/3489/slash/0/laksanakan-perintah-jauhi-larangan-dan-jangan-banyak-bertanya/

Walallahua’lam.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 25 Julai 2013.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *