BN Perlu Skuad Khas Pantau Pengurusan Kerajaan

Anwar Ibrahim mendakwa separuh rakyat Malaysia adalah penyokong Pakatan Rakyat. Jika begitu, logiknya separuh daripada kakitangan kerajaan adalah Pembangkang. Golongan pembangkang dalam sektor awam terdiri daripada kelas bawahan sehingga ke golongan pegawai kanan kerajaan.

Kita harus faham bahawa jika Parti yang menguasai Kerajaan bertukar sekalipun, kakitangan awam tidak berubah dan sukar untuk memberhentikan mereka sesuka hati. Kakitangan awam akan bekerja sehingga ke umur pesara. Maka, tidak timbul isu menukar kerajaan hanya kerana Laporan Audit Negara ini. Yang buat masalah adalah kakitangan Kerajaan, adakah Pakatan Rakyat akan buang semua pekerja dan pilih staf kerajaan yang baharu?

Jika kita ada seorang kakitangan/pegawai kerajaan dari kalangan pembangkang yang berumur 25 tahun, mereka akan menjadi duri dalam daging kepada kerajaan sehingga berumur 60 tahun. 35 tahun berkhidmat berjiwa pembangkang. Itu baru seorang, jika separuh?

Kita harus mengesyaki bahawa golongan pegawai-pegawai kementerian yang mungkin adalah pembangkang/tak sehaluan akan membuat keputusan yang merugikan atau memberi imej buruk kepada kerajaan. Tidak semua perbelanjaan dan pengurusan kementerian diketahui oleh Menteri atau Ahli Politik kerajaan, seperti apa yang Kementerian beli untuk pejabat, bagaimana mereka belanja secara terperinci, Menteri mungkin tidak tahu. Kebiasaan yang kita tahu Menteri hanya akan mengumumkan jumlah Total yang dibelanjakan oleh Kementeriannya. Mungkin tidak tahu APA YANG DIBELANJAKAN.

Apabila Laporan Ketua Audit Negara dilaporkan, pasti kita akan mendengar perkara-perkara yang tidak masuk akal. Contohnya Kastam membeli kasut yang tidak memenuhi spesifikasi lantas ia adalah satu pembaziran. Begitu juga dengan laporan Kementerian Kesihatan yang melaburkan duit kerajaan untuk tujuan Kempen Tak Nak Merokok di media sosial yang kosnya tidak masuk akal. Begitu juga dengan menjemput artis-artis luar negara yang dirasakan tidak perlu. Adakah Kerajaan menyedari tentang keputusan-keputusan Pegawai Kementeriannya?

Kebanyakkan ketirisan yang berlaku adalah disebabkan ketidakcekapan kakitangan kerajaan. Atau juga MUNGKIN mereka (staf pembangkang) sengaja berbuat sebegitu untuk memburukkan kerajaan yang sedia ada. Tindakan tegas harus diambil kepada pegawai yang Tidak Bijak itu.

KERAJAAN adalah satu badan yang begitu besar. Terdiri daripada banyak peringkat pengurusan dan keputusan. Namun, semua perkara yang buruk akan terpalit semula kepada PEMBUAT DASAR sedangkan perkara buruk itu dilakukan oleh kakitangan mereka. Apa boleh buat, sudah nasib badan?

Cadangan untuk penambahbaikan untuk perkara ini, saya ingin mencadangkan agar sebuah Pasukan Khas (terdiri daripada Ahli Politik dan Profesional) diwujudkan untuk memantau keputusan dan pengurusan kakitangan/pegawai kerajaan di peringkat Jabatan. Jika tindakan daripada pegawai Kerajaan itu akan merugikan Kerajaan, lebih elok kita tegah dan diperbetulkan kembali.

Pemantau dasar kerajaan perlu dipandang menerusi kaca mata kepentingan politik (menjaga imej parti) dan segi pengurusan serta kewajaran kos yang dibelanjakan.

Perhubungan dengan pihak Audit Negara juga perlu dieratkan untuk meminta nasihat atau laporan awal daripada mereka agar pembaziran dan ketirisan dapat dicegah sebelum melarat. Apa yang berlaku sekarang adalah semua ‘rahsia’ diketahui selepas Laporan didedahkan kepada umum. Akhirnya, nama kerajaan akan busuk disebabkan tindakan yang diambil tidak mengikut spesifikasi Audit Negara.

Mencegah Lebih baik Daripada Mengubati.

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 2 Oktober 2013.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *