Di sebuah kampung yang damai, datang seorang putera Raja bernama Tun Nila Utama (P.Ramlee) dari negara Pura Cendana.
Disambut pula oleh Puspawangi (Saadiah) yang bermain Nenek Kebayan di tepi pantai, lantas dibawanya Tun Nila Utama pulang ke rumah bertemu ibu bapanya, Kemenyan (bapa) dan Setanggi (ibu).
Tiba-tiba datang satu rombongan, orangnya nampak ganas. Si ayah namanya Datuk Laksamana Padang Jarak Padang Terkukur dan si anak misai melentik bernama Megat Alam Sengketa (Shariff Dol).
Tujuan rombongan ini datang adalah untuk meminang si dara jelita, Puspawangi.
Kemenyan tidak pula menghalau rombongan Megat Alam Sengketa tetapi menjemput mereka dengan penuh tertib ke dalam rumah.
Rombongan Megat Alam Sengketa pun mula menyampaikan hasratnya untuk melamar si Puspawangi. Kemenyan tidak terus menolak, tetapi meminta masa untuk berbincang di dapur.
“Siapa yang datang ramai-ramai di luar tu bang?”, tanya Setanggi kepada Kemenyan.
“Itulah dia Datuk Laksamana Padang Jarak Padang Terkukur, belum pergi perang dah jatuh tersungkur”.
1.. 2.. 3.. 4.. Hehe.. 5.. 6.. 7.. 8.. Hehe.. 9.. 10..!
Kemenyan meluru ke ruang tamu; “Maaf Datuk Laksamana, datuk keturunan Ayam Belanda hamba keturunan Itik Serati, tak boleh kahwin! Lagi pun anak hamba kata misai anak Datuk macam misai kucing!”.
Cisss.. Marah rombongan Datuk Laksamana Padang Jarak Padang Terkukur dan melihat Tun Nila Utama yang tersenyum saja di situ.
————————————
Obama datang ke Malaysia sebagai Presiden Amerika Syarikat. Datangnya ke sini difahamkan bertujuan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang turut melibatkan 12 buah negara.
Datangnya membawa hajat, dan kita semua tahu bahawa mereka ada niat begitu, adakah kita harus menghambat Presiden Amerika Syarikat itu keluar?
Itu tidak diplomasi. Barack Obama tetap adalah tetamu negara kita. Sebagai sebuah Negara Berkecuali dan dasar negara kita adalah “berbaik dengan semua negara”, maka wajarlah kedatangan Presiden kuasa besar dunia itu diraikan dengan sebaiknya.
Kita usah bersifat terlalu membenci. Hanya satu negara sahaja yang tidak diiktiraf oleh negara kita, iaitu ISRAEL (rujuk Passport Malaysia). Maka, jika ketua negara selain Israel mengadakan lawatan kerja ke Malaysia, mereka wajar menerima pengiktirafan Tetamu Negara, jangan disambut dengan demonstrasi atau macam menghalau awek yang baru sahaja ‘diceraikan’.
Semasa Obama melamar Malaysia menyertai TPPA, adat bertamu bolehlah kita bertanya tentang apa tujuannya (walau dah tahu), apa yang mereka tawarkan, apa yang mereka inginkan. Kita wajar mendengar.
Setelah itu, bolehlah kita bincangkan lamaran itu dalam rumahtangga (negara) kita. Lihatlah bahawa Perdana Menteri Malaysia mahu Dewan Rakyat yang meluluskan sama ada menerima atau menolak perjanjian ini. Ianya bukan keputusan hakiki seorang Perdana Menteri Malaysia, tetapi diserahkan kepada Wakil-Wakil Rakyat di Parlimen untuk menentukannya.
Kira 1 sampai 10 di parlimen dan katakan TIDAK KEPADA TPPA. Selesai, selamat jalan TPPA.
Mengapa kita harus takut dan marah sedangkan kita tahu apa kehendak Obama? Mengapa terlalu emosi mahu menghalau Obama keluar dari Malaysia? Tunjukkan sikit kita ini ada akhlak Islam, kan nak laksanakan Hudud, kenalah berakhlak, tak gitu?
Hormatilah tetamu negara kita. Mr. President of The United States Of America (POTUS), welcome to Malaysia.
We are The Patriots!
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 25 April 2014.