.
Irama nasyid asalnya daripada alunan irama padang pasir di negara Arab. Selepas kedatangan Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bait-bait syair yang menceritakan tentang keindahan alam,memuji wanita, berhala dan pemimpin, telah bertukar arah kepada bait-bait syair yang memuji, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah Subhanahu Wataa’la dan Rasul-Nya.
Islam telah tersebar ke seluruh alam dengan berkat usaha para sahabat Nabi SAW. Dengan tersebarnya agama suci ini, secara tidak langsung irama padang pasir yang memuji Allah SWT, Rasulullah SAW, dan keindahan Islam turut dibawa bersama ke seluruh alam.
Irama nasyid di Nusantara telah lama bermula tetapi tidaklah sepopular sekarang. Kehadiran kumpulan Al-Jawaher, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan El-Suraya (kebanyakannya kumpulan nasyid wanita) telah mewarnai perjalanan irama nasyid suatu ketika dahulu.
.
Selepas itu, irama nasyid di tanah air kita ini dihiasi dengan kehadiran kumpulan nasyid ‘indie’ atau ‘underground’ seperti kumpulan nasyid jemaah Al-Arqam iaitu Nada Murni (kumpulan asal Rabbani dan Hijjaz) dan The Zikr (Raihan) dalam era 80-an.
Akhirnya, kumpulan nasyid yang bertujuan murni ini telah keluar dari kepompong ‘underground dan indie’ dan mula dikenali masyarakat dengan terbitnya album Puji-Pujian dari kumpulan RAIHAN. Penerbitan album Puji-Pujian ini telah mencatatkan rekod di Malaysian Book Of Records dengan jualan album tertinggi dalam sejarah Malaysia dengan jualan album mencecah 1,000,000 album! Masya-Allah..
Selepas pengharaman jemaah Al-Arqam, kumpulan Nada Murni telah pun dibubarkan dan mereka berpecah kepada dua kumpulan yang dikenali pada hari ini sebagai kumpulan HIJJAZ dan RABBANI. Raihan, Hijjaz dan Rabbani boleh dikatakan sebagai kumpulan paling berpengaruh ketika itu dan sekarang. Lihat sahaja faktor-X mereka yang dapat menembusi hati nurani masyarakat. Cuba minta rakan-rakan anda menyanyikan lagu Puji-Pujian, pasti mereka tahu walaupun mereka itu Mat Rock sekali pun. Try la.. Insya-Allah diorang tahu..
.
Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. banyak memberi sumbangan kepada industri nasyid ini dengan menaungi dan menerbitkan album seperti kumpulan Hijjaz dan Rabbani. Selepas Hijjaz menubuhkan syarikat sendiri, mereka pula meneruskan perjuangan dengan melahirkan kumpulan Inteam yang telah mengubah iklim nasyid Malaysia dengan lagunya yang hits, Kasih Kekasih.
.
Kumpulan Inteam bagi saya adalah pelopor irama nasyid kontemporari. Buat kali pertamanya lagu nasyid (Kasih Kekasih) menjadi juara carta ERA suatu ketika dahulu. Lagu ini memberi tamparan impak yang maksima kepada industri hiburan Tanah Air dan membuka lembaran baru irama nasyid kontemporari.
HIBURAN WADAH DAKWAH!!
Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.