Banyak Berdebat Kurang Berjabat

Selepas mengumumkan kabinet barunya sebaik sahaja dipilh semula menjadi ketua negara, Bapak Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, “Kecintaan saya kepada parti berakhir apabila kesetiaan saya kepada negara bermula”.

Pernahkah kata-kata ini keluar daripada mulut wakil-wakil rakyat kita di Malaysia?

Kerisauan kepada suasana politik di Malaysia sangat merimaskan. Terutamanya selepas Pilihanraya Umum 12 yang lalu. Kecoh! Satu kesimpulan awal yang boleh dibuat. Saya bukannya seorang penganalisis politik, tetapi sebagai rakyat Malaysia dan mahasiswa, rasanya saya juga berhak untuk menyuarakan pendapat. Pendapat dari insan yang kerdil dan kurang pengalaman ini.


PERUBAHAN POLITIK MALAYSIA

Pilihanraya Umum Ke-12 yang diadakan pada Mac 2008 telah merubah iklim politik Malaysia yang menyaksikan 5 buah negeri (kini 4 buah negeri) jatuh ke tangan parti pembangkang. Satu tamparan hebat kepada kerajaan Barisan Nasional yang sekian lama memerintah Selangor, Kedah, Perak (BN semula), Pulau Pinang dan Kelantan.

Sejak itu, politik Malaysia telah berubah. PANAS!!

“Barisan Nasional tak sangka boleh kalah, Pakatan Rakyat tak sangka boleh menang”. Siapa sangka ianya boleh berlaku. Bagi saya, kepincangan awal bagi politik kita disebabkan BN tidak bersedia menjadi pembangkang, dan PR pula tidak bersedia menjadi kerajaan.Tidak hairanlah perangai masing-masing tidak berubah ketika di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

“Dah jadi kerajaan masih nak membangkang, dah jadi pembangkang masih nak berkerajaan”. Itu yang saya lihat dan perhatikan. Sekadar pendapat saya sahaja.

ISU DEMI ISU MUNCUL

Saya tidak mahu menafsir dan membuat kesimpulan pada setiap isu yang timbul. Biarkan ianya menjadi rahsia dan penyelidikan saya sendiri. Tetapi saya berpendapat bahawa politik Malaysia ini semakin meruncing bermula apabila Datin Seri Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding semula bagi menduduki kerusi Parlimen itu.

Kampus saya di Permatang Pauh, terasa kurang selesa sewaktu pilihanraya kecil itu berlangsung. Poster berlambakan, jalan penuh sesak sehingga ke tengah malam hanya kerana mahu memenuhi kehendak berpolitik di antara kedua-dua parti yang bertanding. Akhirnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam pilihanraya kecil itu dan menduduki kerusi ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Suasana sewaktu Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh

Sejak dari itu, satu demi satu isu menjadi perbualan dan perdebatan hangat dalam kancah politik Malaysia. Tidak sahaja di dalam Parlimen, tetapi dijadikan ‘gosip’ hangat di warung-warung tepi jalan.

Antara yang hangat diperkatakan ialah penubuhan kerajaan baru pada 16 September yang diidamkan oleh Ketua Pembangkang ketika itu, dan yang terbaru ialah kes-kes Ahli Parlimen melompat parti menjadi bebas dan ada yang dipecat. Ketika ini, perdebatan di Parlimen tentang pembongkaran rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan (BN) menjadi topik hangat.

RAKYAT MEMERHATIKAN ANDA

Ada di antara mereka mempunyai tahap pelajaran yang tinggi. Doktor, Engineer, Ahli Perniagaan, Guru, Ahli Ekonomi dan sebagainya. Tetapi ramai di antara mereka yang tidak menunjukkan perangai yang bertepatan dengan status yang mereka miliki.

Gambar Hiasan

Rakyat disajikan setiap hari dengan perangai kebudak-budakan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang mewakili mereka. Ada sahaja yang kecoh di Parlimen setiap hari, bukannya berdebat mengenai hak rakyat dan rang undang-undang yang dibahaskan, tetapi soal peribadi dan kepartian yang tak berkesudahan.

SERANGAN DAN PEPERANGAN POLITIK

Dalam buku Gerakan Freemasonry ada menerangkan bahawa, gerakan Freemasonry akan meletakkan seorang wakil di setiap negara di dunia ini untuk memporakperandakan politik di negara itu. Sifirnya mudah, membantu mereka untuk menguasai politik di sesebuah negara itu dan menjadikan negara itu mengikut acuan mereka yang dikenali sebagai New Age (perancangan Al-Masih Dajjal).

Cuba kita perhatikan di negara jiran kita, Thailand, rusuhan dilakukan oleh penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Taksin Sinawatra, bagi mendesak supaya Perdana Menteri Abhisit Vejjajive meletak jawatan. Itu negara jiran kita Thailand, negara yang tidak mempunyai banyak kaum di negara itu, tetapi masih berbalah. Kita? Nauzubillah.. Moga Allah jauhkan dari rusuhan yang melampau di negara ini.

Setiap hari, ada sahaja ceramah politik yang menghentam antara satu sama lain. Debat, kutuk, ceramah, poster, blog, risalah dan apa-apa saja yang boleh dijadikan modal politik, pasti akan digunakan. Tidak ada suatu pun yang mendatangkan kebaikan dan perpaduan. Yang ada hanya dendam, dengki, marah dan fitnah!

Jika syarikat telekomunikasi berlawan antara satu sama lain, ianya memberi kebaikan kepada pengguna kerana perkhidmatan yang baik pasti diberikan untuk memikat hati pengguna (persaingan antara syarikat). Tetapi adakah rakyat dapat kebaikan jika parti-parti politik bersaing sesama sendiri? Makin gawat keadaaannya dan tak menguntungkan rakyat kerana hak rakyat tak dibincangkan, tapi yang ada hanya rancangan untuk menjatuhkan lawan.

Banyak ceramahnya, kerjanya tak ada!

Politik sekarang sudah kotor. Bukan kerana politik itu hakikatnya kotor, tetapi binatang-binatang politik itu yang mengotorkannya. Apalah salahnya jika kuasa dan mandat yang diberikan oleh rakyat digunakan untuk sama-sama membangunkan pembangunan insan dan infrastruktur, kerana ianya dapat memberikan pengaruh yang bersih dan berpanjangan.

KURANGKAN BERDEBAT BANYAKKAN BERJABAT

Semua pihak terutamanya ahli-ahli politik untuk memikirkan perpaduan dan bukannya permusuhan. Apa yang saya perhatikan, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan politik kita ini semakin gawat. Antaranya :

  • Semangat kepartian yang tinggi. Wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat. Apa yang terjadi sekarang di Parlimen ialah mereka menganggap mereka adalah wakil parti. Kerana itulah soal rakyat tidak diambil perhatian.
  • Masuk politik kerana nak kaya. Satu sebab yang selalu berlaku. Masuk politik kerana mahu mendapatkan projek-projek besar untuk menjadi kaya dan menggunakan kuasa yang diperolehi untuk kepentingan diri. Lihat sahaja dengan kes-kes rasuah yang menimbun untuk disiasat.
  • Dendam kesumat. Apabila dipecat, cuba nasib di parti lain. Lepas tu hentam balik rakan-rakan di parti asalnya. Selalu juga berlaku.
  • Ikut siapa yang menang. Ini satu lagi jenis orang yang tidak berjuang. Bila parti ni menang, ikut pasti ni. Bila parti tu menang, ikut parti tu. Kadang-kadang buat macam tu untuk mudah mendapatkan kontrak kerja. Orang jenis ini menjadikan kualiti perjuangan parti yang sebenar gagal dipraktikkan.
  • Tidak ikhlas berjuang. Kalau tak dapat kontrak, mulalah merajuk keluar parti.

Ujian harta, wanita dan pangkat menjadi bentuk ujian yang paling besar yang melanda sesiapa sahaja. Dalam bidang politik, ujian paling besar adalah wang dan kuasa. Kerana kuasa dapat menentukan segalanya. Setuju?

Alangkah bagusnya kalau pemimpin saling bekerjasama

Pada hemat saya, senario ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. Kemungkinan besar ianya dapat dipulihkan apabila tiba PRU 13 nanti. Wallahua’alam.. Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan melaksanakan tanggungjawab saya kepada negara dengan memilih wakil rakyat yang sepatutnya. Tunggu calon-calon semua!! Undi saya adalah rahsia!

Banyakkanlah berjabat wahai pemimpinku. Juga nasihat kepada diriku yang akan menjadi pemimpin sekurang-kurangnya pemimpin kepada diriku sendiri. Kita sebagai rakyat perlulah memilih pemimpin yang baik untuk kita dan tumbangkan pemimpin yang bermasalah!!

Entri ini adalah pendapat peribadi saya dan bukannya mewakili mana-mana parti. Kepada sesiapa yang tidak sependapat dengan saya, tidak mengapa. Setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri. Tunaikan tanggungjawab anda pada PRU 13 akan datang. Insya-Allah.. Setiap undi amat bermakna.

BANYAKKAN BERJABAT! KURANGKAN BERDEBAT!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *