Kanak-Kanak Pun Dilamun Cinta?

“Ku Ukir Namamu, Di Awan Gunung Jerai.. Disaksikan Laut, Daun Nyiur Melambai.. Jauh Pandangan Permai, Di Situ Tanjung Dawai, Terkenang Peristiwa, Cinta Kita Terurai.. Oh! Indahnya.. Peristiwa.. Cinta Kita Di Pantai Merdeka..” -lagu Cinta Pantai Merdeka-

“Sapa pulak yang pasang lagu petang-petang macam ni? Jiwang betul”, saya bermonolog di dalam hati seraya mata mencari siapakah gerangannya yang memasang lagu ini.


“Masya-Allah!!”, saya terkesima!

Di pintu sebuah rumah, seorang lelaki sedang duduk terkulai sambil memegang handphonenya. Lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian Jinbara sedang diperdengarkan. Bukan lagu yang memeranjatkan, tapi si lelaki itu yang mengejutkan saya.. Lelaki itu berumur antara 7-10 tahun!

Umur di antara 0-12 tahun masih dikategorikan sebagai kanak-kanak. Jika golongan mereka ini bercinta, dinamakan CINTA MONYET. Cinta yang bukan cinta, cinta yang suka-suka sahaja barangkali. Bukan itu yang ingin saya bicarakan. Biarkan cinta monyet itu bergayut di batang pokok Bonsai, yang cintanya tidaklah setinggi mana.

Zaman ‘mendewasakan’ manusia. Jika dulu, hendak menonton TV pun payah. Terpaksa pergi ke rumah ketua kampung untuk menonton TV ‘akuarium’ yang dijana bateri sel basah, jika kuasa baterinya sudah lemah, makin lama makin kecil gambarnya. Tidak untuk zaman sekarang, TV dan semuanya hanya dihujung jari, klik sahaja sudah boleh menyaksikan Manchester United lawan Chelsea di Old Trafford. Mudah!

Kisah menulis surat cinta zaman dulu-dulu pun menarik juga. Tulisannya pasti lawa-lawa, kalau tak lawa pasti dikeronyokkan dan dibuang ke dalam tong sampah. Bila dah berpuas hati dengan ayat yang ditulis untuk kekasihnya, diletakkan pula wangi-wangian agar cintanya terus harum seharum surat cintanya. Kerja belum selesai lagi! Khidmat posmen pula diperlukan, apa lagi.. adik sendiri menjadi mangsanya.. Lepas suratnya sampai, kena tunggu surat balas pula. Aduh! Sungguh memeritkan jiwa menunggu jawapan rindu yang belum pasti itu.

Tidak untuk zaman sekarang. Mudah sahaja, hujung jari juga diperlukan. Taip di keypad, dan hantar. Terima maklum balas dalam masa yang singkat sahaja. Mudah! Jika zaman dahulu menulis ‘Aku Cinta Padamu’, kini “I luv U”.. Jika dulu ‘terima kasih daun keladi, ada masa jumpa lagi’, sekarang ‘tq’ jer.. Haha.. Sangat simple, mungkin kerana inilah budak-budak zaman sekarang ramai yang tak reti bahasa!

Teknologi memudahkan manusia, tetapi tidak menyedarkan manusia untuk bersyukur. Setuju?

TEKNOLOGI DAN KANAK-KANAK

Kanak-kanak zaman sekarang juga tidak ketinggalan dalam arus pemodenan ini. Sebagai contohnya di sebuah negeri di Pantai Timur, rakan saya bercerita yang murid sekolah rendah diberikan setiap seorang sebuah Notebook oleh kerajaan negeri. Sangat beruntung mereka. Diberi kemudahan itu bermula dari sekolah rendah lagi. Persoalannya, wajarkah mereka diberikan Notebook setiap seorang? Apa yang mereka lakukan?

“Mana changer Notebook mu ni? Mu letak mane?”, tanya rakan saya kepada adiknya.

“Dok tahu gi mane.. Saing (kawan) amik kot”, jawab adiknya.

Harga ribu-ribu, tapi macam mainan yang harganya RM10 di pasar malam. Bagi saya, di peringkat umur sebegitu masih tidak sesuai diberikan Notebook setiap seorang. Memang zaman sekarang adalah zaman IT, tetapi tidak semua yang telah berfikiran ‘IT’. Bukan niat saya untuk mempertikaikan peruntukan kerajaan ini, tetapi macam tak wajar sahaja. (tak tahu sekarang murid sekolah dapat lagi ke tak)

Bukan sahaja Notebook, kanak-kanak juga sudah ada akaun Facebook, Tagged, Friendster dan lain-lain lagi. Dan mungkin juga sudah mempunyai blog sendiri! Adik saya juga begitu, kecil-kecil lagi sudah tahu menggunakan telefon, habis digodeknya telefon bimbit Bapak. GPS, MMS, Bluetooth, Kamera, semua telah dikhatamkannya. Tak tahu la mereka belajar di mana, tapi mereka memang cekap. Internet jangan ditanya, bila buka internet sahaja, game online pasti diakses.

Jadi tidak hairanlah jika kanak-kanak pun telah ‘dilamun’ cinta. Mungkin mereka pun tidak mengerti lagi apa yang dikatakan dalam lirik lagu itu, tetapi melodi lagu itu telah membawa pendengarnya ke alam fantasi. Jadi, mereka telah dilamun cinta ke? Itulah penangan teknologi zaman sekarang! Segalanya di hujung jari.

P/S : Kita sebagai Muslim, perlu mengambil peluang untuk menggunakan teknologi yang ada ini bagi memupuk semangat belajar di kalangan kanak-kanak. Contohnya, pasanglah lagu-lagu nasyid yang memuji Allah dan Rasul-Nya, video praktikal solat, dan lagu-lagu doa yang menarik untuk mereka ikut. Elakkan dari mendidik dengan lagu-lagu yang merosakkan jiwa. Nauzubillah.. Didiklah mereka dengan ilmu melalui teknologi dan bukannya teknologi yang mendidik mereka. Wallahua’alam..

DIDIKLAH KANAK-KANAK MELALUI TEKNOLOGI!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
13600 Perai, Pulau Pinang.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *