Bagi Sedekah Biar Berpada?

Sedekah amalan mulia, tetapi adakah mengemis satu profesion? - Gambar Hiasan
Sedekah amalan mulia, tetapi adakah mengemis satu profesion? – Gambar Hiasan

Orang kata; “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

Buat baik kenapa pula perlu berpada-pada? Bukankah ‘buat baik’ adalah satu amalan yang mulia?

Saya setuju dengan pepatah buat baik berpada-pada, ianya bukan bermakna kita harus bertindak jahat sekali-sekala, tetapi berbuat baiklah selagi ianya tidak mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri.

Rakan saya seorang Ustaz, seorang Ustaz yang sangat baik pada pandangan saya. Kata-katanya sungguh lembut, tidak pernah pula saya mendengar beliau marah. Sangat menghormati ibu bapa dan bergaul dengan pergaulan yang baik dengan orang yang dikenali mahupun yang tidak dikenali.

Beliau terlalu baik sehinggakan ramai penganjur ceramah yang tidak membayar apa-apa kepada beliau apabila dipanggil ceramah. Beliau juga pernah berkata kepada saya, beliau pernah dibayar sebanyak RM200 untuk berceramah di Pulau Pinang. Perjalanan menaiki kereta dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang , pergi dan balik saya kira lebih daripada RM200.

Beliau juga pernah menceritakan pernah memberi wang sebanyak RM5000 kepada seorang Ustaz (dikatakan seorang agen sebuah persatuan amal berkaitan Palestin) yang menawar diri untuk menyampaikan sumbangan tersebut kepada badan amal tersebut. Apabila kawan saya bertanya sendiri kepada Badan Amal tersebut adakah sudah menerima sumbangan beliau, mereka berkata “Tidak terima apa-apa daripada Ustaz Si Fulan”. Ternyata beliau ditipu dan Ustaz itu sudah ‘hilang’ daripada dunia yang fana ini.

Penipuan itu menyebabkan kawan saya, kehabisan duit simpanan sehingga untuk membeli Top-Up telefon pun tidak mampu! Alangkah kasihannya saya kepada beliau.

PENGALAMAN SENDIRI

Satu hari seorang pemuda (bukan Islam) datang ke rumah. Katanya beliau memerlukan duit untuk ke Hospital. Katanya juga anak di rumah tidak makan. Hidup susah, bil api air kena potong di rumah. Jika anda melihat pasti anda juga akan berasa kasihan dengan pemuda itu.

Sebagai manusia, diberikan sejumlah wang kepadanya. Kasihan anak dan isteri tak makan di rumah, bil eletrik pula kena potong, pasti mereka susah, orang seperti ini wajar dibantu.

Selang dua tiga hari kemudian, beliau datang lagi. Kali ini, beliau bersama seorang rakan yang berbalut dengan bandage di kepala. Katanya mahu ke Hospital tetapi tidak mempunyai duit. RM10 pun tidak mengapa katanya, janji boleh buat isi minyak ke Hospital.

Selang dua tiga hari beliau datang lagi! Membawa isterinya pula. Katanya beliau baru berkahwin, belum ada pekerjaan yang tetap, nak minta sedikit pertolongan kewangan. Ketika itu saya sudah mula gelisah, baharu kahwin? Bukankah kali pertama datang ke rumah dulu kata anak di rumah tak makan? Mana anaknya?

Ternyata beliau mengambil kesempatan di atas pertolongan orang lain. Selepas disiasat, pemuda itu tidak bekerja dan mabuk setiap hari. Beliau minum arak yang murah dan bermutu rendah serendah RM3. Minta belas kasihan orang lain untuk minum arak! Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan selepas itu saya dan keluarga sudah tidak layan lagi dengan orang itu.

Ini pula kisah PEMINTA SEDEKAH KEHORMAT. Mereka ini akan bergerak setiap bulan untuk membuat ‘collection’ terhadap wakil-wakil rakyat di kawasan mereka. Selain menggubah dasar kerajaan di Dewan Rakyat atau Dewan Negeri, antara lain, tugas wakil rakyat adalah memberi bantuan segera kepada rakyat yang memerlukan (mengikut kesesuaian bantuan). Atas sebab itu, ada orang yang setiap bulan akan pergi ke pejabat wakil rakyat dengan membawa bil air dan elektrik untuk dilunaskan oleh wakil rakyat. Ambil kesempatan.

Kadang kala bil mereka lebih tinggi daripada bil-bil orang kebanyakkan! Orang itu bukan minta kepada seorang wakil rakyat sahaja, jika kawasan itu ada Ahli Parlimen dan 3 ADUN, beliau akan pergi kesemua wakil rakyat yang ada.

Adakah orang seperti ini wajar dibantu? Mereka mampu tetapi mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain? Orang yang benar-benar perlu pun kadang kala berasa segan untuk meminta bantuan. Tetapi apa nak dikata, ada jenis manusia seperti itu.

Jika ditanya kepada saya, adakah wajar Wakil Rakyat memberi bantuan kepada orang seperti ini? Jika tidak mampu sekalipun, pergilah ke Jabatan Kebajikan Masyarakat. Wakil Rakyat pula boleh tolong keluarkan surat sokongan. Tetapi tidak pastilah jika JKM mahu mengambil orang ini untuk diberi bantuan setiap bulan.

Apabila pegawai JKM pergi ke rumahnya untuk buat survey, alahai.. TV besar ASTRO BEYOND, motor 3 buah, kereta 2 buah. Pegawai JKM itupun tidak sekaya itu! Jika anda terjumpa dengan spesis orang seperti ini, pasti anda akan menggelengkan kepala dan kadang-kala lucu juga.

BUAT BAIK BERPADA-PADA

Bulan Ramadan bulan yang penuh dengan kebajikan. Di bulan inilah kita dapat lihat kaum Muslimin dan Muslimat berebut-rebut membuat amal ibadat dan kalau boleh semua orang dia nak belanja berbuka puasa. Di sebalik kebajikan itu, ada juga yang mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain.

Setiap hari berdakwah tentang kelebihan memberi makan orang berpuasa ketika berbuka dengan harapan dapat makan percuma setiap hari, itu melucukan. Tanpa berfikir untuk diri sendiri pula membuat amalan yang baik dan beramal dengan apa yang didakwahkan kepada orang lain.

Tidak mengapalah, asalkan apa yang kita lakukan ikhlas kerana Allah. Rebutlah peluang dalam bulan Ramadan yang mulia ini untuk memperbanyakkan sedekah kerana bulan Ramadan menjanjikan bonus yang besar kepada umat Islam.

Buat baik memang digalakkan, tetapi jangan memudaratkan diri sendiri disebabkan manusia yang kuat mengambil kesempatan! Duit habis hati pun sakit kerana ditipu! Itu amat memedihkan, apa pun tak dapat.

Ambil kesempatan harus dielakkan
Membuat ibadah tidak jemu
Harus bijak membuat amalan
Setiap amalan perlu berilmu

SELAMAT BERPUASA!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 19 Julai 2013.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *