“Boleh kamu sebutkan, benda apa yang paling penting dalam kehidupan kita?”, tanya seorang Ustaz kepada muridnya.
“Emm.. Rumah!”, jawab muridnya.
“Betul. Rumah itu penting dalam kehidupan kita. Tempat kita berteduh, tapi tau tak ada yang lebih penting dari rumah?”, tanya Ustaz lagi.
“Tak tahu. Apa dia ustaz?”
“Pakaian lebih penting dari rumah. Cuba tengok orang yang tak ada rumah kat tepi jalan tu, walaupun tak ada rumah macam mana pun mereka ada baju. Kalau tak ada baju macam mana?”, terang Ustaz.
“Betul-betul. Maknanya pakaian paling penting ye Ustaz?”
“Tak juga, macam mana kalau seseorang tu tak makan? Sampai bila dia boleh bertahan?”
“Ye tak ya juga kan? Mesti lapar, silap-silap boleh mati kalau kebulur sangat”
“Betul tu. Manusia dapat bertahan beberapa minggu saja jika tiada makanan, kalau tak ada air macam mana pulak?”, Ustaz menduga muridnya lagi.
“Lagi cepat matinya! Mungkin beberapa hari! Ustaz, tapi saya rasa kalau manusia tak dapat udara, lagi cepat mati. Kalau macam tu, udaralah yang paling penting dalam hidup kita kan Ustaz?”
“Haha.. Manusia perlukan rumah untuk berteduh tetapi pakaian lebih diperlukan untuk melindungi diri. Makanan pula menjadi rutin harian untuk teruskan hidup apatah lagi air untuk diminum. Manusia juga akan hanya bertahan dalam beberapa minit kalau tak ada udara dengan izin Allah. Tapi yang paling penting dalam kehidupan kita ialah IMAN!”, Ustaz membulatkan jawapannya.
“Semua yang kita bincangkan tadi memang sangat penting dalam hidup kita. Tetapi itu semua itu hanya penting dalam dunia sahaja. Berlainan dengan iman, macam mana keadaan kita apabila bertemu Allah jika tiada secebis iman pun? Pasti akan binasa. Nauzubillah”, Ustaz menyimpulkan nasihatnya.
BINA IMAN DENGAN MASJID
Ramai yang tercari-cari keimanan, tetapi tidak tahu ke mana yang harus ditujui. Di sebalik mencari iman itu, ramai yang akhirnya terus jauh dari keimanan seperti secara tidak sengaja menyertai jemaah ‘Islam’ yang sesat!
Masjid tempat membina iman, para Sahabat sangat rindu berada di masjid
.
Cara yang terbaik untuk membina iman adalah dengan menghampirkan diri dengan masjid. Dalam buku Masjid Itu Hidupku karya Ustaz Mohd Gunawan Che Ab. Aziz ada menyebut masjid adalah tempat rahmat, pertolongan dan hidayah dari Allah.
Ramai yang inginkan hidayah, tetapi berat untuk melangkahkan kakinya untuk ke rumah Allah. Bagaimana kita hendak memohon pertolongan daripada seorang wakil rakyat jika kita tidak berjumpa dengannya? Begitu juga dalam memburu keimanan, MASJID adalah tempatnya memburu iman dan hidayah! Setuju?
BICARA TENTANG IMAN DAN MASJID
Iman sesuatu yang tidak nampak. Oleh kerana itulah ramai manusia kurang ghairah untuk memburu iman daripada memburu harta.
“Yelah.. Iman tu penting, saya tahu. Tapi kalau tak cari duit banyak-banyak, macam mana nak hidup selesa kat dunia ni?”, kebiasaan orang berkata.
Manusia fitrahnya hendak selesa dalam kehidupan. Tetapi ingatlah, selesa di dunia hanya sementara, jika miskin di dunia kita masih lagi berpeluang untuk menambah keselesaan itu.
Tetapi hidup di akhirat selama-lamanya. Bolehkah kita bayangkan hidup selama-lamanya dan ‘harta’nya (iman dan pahala) hanya boleh dikumpul di dunia sahaja? Bagaimana kalau ‘harta’ tidak cukup untuk hidup selama-lamanya?
Sudah cukupkah ‘harta’ kita untuk membayar bayaran masuk ke dalam syurga selama-lamanya?
Bayaran masuk ke syurga adalah dengan iman – Gambar Hiasan
.
Yang mana lebih penting? Iman atau harta dunia?
Letaklah akhirat di hatimu dan letaklah dunia hanya di genggamanmu. Dunia akan lari apabila dikejar, tetapi jika memburu akhirat, dunia akan datang kepada kita (pertolongan Allah).
“Hati mereka benar-benar terikat dan rindu untuk berada di masjid. Inilah hasil didikan Rasulullah s.a.w” (kata hikmah dari buku Masjid Itu Hidupku)
Binalah iman dengan membanyakkan masa beriktikaf di dalam masjid. Kerana Allah menjanjikan sesuatu yang luar biasa kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Janji dan ganjaran yang ternyata lebih bernilai daripada dunia dan seisinya. Siapakah yang ghairah dengan ganjaran itu?
Yang mana lebih penting? Rumah, baju, makanan, minuman atau udara?
IMAN BERNILAI DARI SEISI DUNIA
Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
53000 Kuala Lumpur.
manusia hari ni terlalu berbangga bila menyebut jumlah wang derma untuk membina masjid… “perlukan masjid yg lebih besar utk menampung jemaah yang ramai..” katanya…
tp, orang yg memanfaatkan masjid yg dibina tu, adakah se’ramai’ wang yg disumbangkan??
kebanyakan msjd hari ni hanya gah dr segi binaan fizikal sahaja, tp dr binaan rohani?? Allah Ta’ala A’lam..
Betul tu.. Dah sampai di waktu tanda2 akhir zaman muncul.. Masjid gah, tapi tiada siapa yang mengimarahkannya..