Medan IM3 Ep. 1 : Tak Kenal Maka Tak Cinta

Imam Muda Musim Ketiga Bersama Mudirnya, Dato’ Hassan Mahmud | Sumber : Facebook Imam Muda

TAK KENAL MAKA TAK CINTA.

Sebelum pergi dengan lebih jauh, eloklah kita mengimbas dahulu wajah-wajah Imam Muda Musim Ketiga dengan menekan link ini.

Dalam Medan Imam Muda Musim Ketiga Episod yang pertama, tiada sebarang isu dan tema yang dibincangkan. Ianya hanya berkisah tentang diri dan masalah Imam Muda sendiri. Tema yang dipilih pada kali ini ialah Komunikasi Kekeluargaan, justeru Imam Muda juga tidak terlepas daripada terlibat dengan isu-isu yang dibincangkan ini.

ANTARA KISAH-KISAH IMAM MUDA

IM Omar memberitahu bahawa beliau sebenarnya ‘melarikan diri’ daripada keluarga semata-mata untuk menyertai Imam Muda. Mengapa? Kerana beliau tidak mendapat restu daripada keluarga untuk ke Medan Imam Muda. Adakah tindakan ‘melarikan diri’ tersebut salah di sisi agama? Hal ini telah diulas oleh Mudir Imam Muda, Dato’ Hassan Mahmud di dalam Medan ini.

IM Faris pula berkongsi kesedihan dengan bercerita tentang anaknya Aisyah yang bakal dibedah tidak lama lagi. Kerinduan dan kerisauan seorang ayah (IM Faris) yang tidak dapat bersama dengan isteri untuk menjaga anaknya membuatkan kami semua menitiskan air mata.

Antara babak yang menyentuh hati penonton ialah sewaktu anak IM Faris membacakan doa kepadanya dalam panggilan telefon yang disambungkan khas dalam Medan tersebut. Semua IM sangat tersentuh dan menangis ketika itu termasuklah IM Jabar yang juga seorang ayah kepada 2 orang cahaya mata.

Ketika membuat liputan keluarga IM Nasir di Pengkalan Susu, Indonesia | Sumber Photo : Najib Amin

Turut mengambil perhatian ialah IM Nasir, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat cepat menitiskan air mata di kalangan Imam Muda dan Krew Penerbitan. Apabila berbicara tentang ibunya, pasti beliau sebak dan menangis. Saya sendiri ketika bertemu dengan keluarganya di Pengkalan Susu Indonesia, turut berasa sebak ketika saat perpisahan IM Nasir dan keluarga sebelum berangkat ke Medan Imam Muda yang penuh dengan perasaan. Maklumlah, ibu mana yang tidak sebak apabila anaknya ingin berjuang di tempat orang.

Itulah di antara kisah yang dapat dikongsikan. Sesungguhnya setiap daripada kita mempunyai kisah tersendiri yang mungkin mampu untuk memberi kesan yang baik kepada orang lain.

Wallahua’lam.

NOTA : Saya masih menunggu Medan Imam Muda Musim Ketiga ini dimuatkan di Youtube. Pastinya ramai yang tidak berpeluang untuk menyaksikan rancangan ini dan kita perlu berkongsi kisah ini kepada masyarakat.

NUKILAN DARI PENULIS KREATIF IMAM MUDA :

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
57000 Bukit Jalil, 2012.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *